Di Kedai Pak Ali. Waktu petang.
Musalmah capai gula dan meletakkannya di kaunter. Pak Ali pandang muka Musalmah.
“Seronok ada mak baru?”
Musalmah sekadar senyum. Dia lihat Maizurah tiada di sebelahnya. Gula dipegang dan dia melangkah ke sisi lain, mencari-cari adiknya. Dia lihat Maizurah sedang membelek batang pensel.
“Adik buat apa ni?”
“Adik tenguk pensel ni. Cantikkan kak?”
Musalmah angguk kepala.
“Dah la. Jom balik.”
Maizurah kelihatan berat hati nak letakkan pensel yang dipegang.
“Adik nak pensel ni boleh?”
“Adik, duit ni dari tangan makcik. Akak tak berani nak guna untuk beli pensel tu. Nanti kita minta ayah duit ya.”
Maizurah angguk kepala. Dia letak pensel itu semula ke tempatnya dan berlalu pergi mengikut Musalmah pulang.
******
Fatin turun ke beranda bila dilihat ada posmen yang datang. Surat dari tangan posmen diambil dan dibaca empunya nama yang tertulis sekilas lalu.
“Mama!” panggilnya kuat. Ibu Zaihan memunculkan diri di beranda.
“Ada apa?”
“Ni ha ada surat untuk Musalmah.”
Ibu Zaihan ambil surat itu dan membukanya terus.
“Aku dah agak dah. Dia ni mesti ada pakwe! Kecik-kecik lagi dah pandai bercinta.”
Surat itu dibaca sekilas. Dan tiada apa yang menarik melainkan tuan yang menulisnya. Paman Adi. Siapa Paman Adi? Akal fikir Ibu Zaihan jadi tertanya-tanya.
“Nak buat apa dengan surat tu mama? Nak buang?”
Ibu Zaihan tak menyahut pertanyaan anaknya itu. Surat itu dilipat semula dan dimasukkan ke dalam bajunya.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel