Rumah Musalmah. Waktu pagi
Fatin dan Farhana berlari-lari anak sebelum masing-masing duduk di beranda rumah. Gelak tawanya mencuri perhatian Maizurah. Anak kecil itu pantas mengintai dari sisi pintu.
“Cantikkan pensel ni?” tanya Farhana. Fatin mengangguk. Ibu Zaihan turut duduk di beranda sambil mengibas-ngibas wajahnya yang berpeluh akibat berjalan dengan kipas kain. Maizurah lihat beberapa batang pensel yang ada dalam tangan kakak tirinya. Pensel-pensel itu begitu cantik hingga menarik perhatiannya.
“Mama, nanti mama pujuklah ayah belikan kami basikal. Senang kami nak ke sekolah esok.”
“Yelah. Nanti mama usahakan.”
Fatin pandang muka Farhana dengam senyum penuh semuka.
“Dah... cepat habiskan biskut tu. Nanti Maizurah nampak, dia nak pula!”
Maizurah pandang biskut yang dimakan kakak tirinya. Serta merta dia jadi teringin nak makan sama tapi ditahan keinginan tu. Dia turun mendapatkan kakaknya yang sedang menyidai kain di belakang rumah.
“Kak,” panggilnya perlahan.
“Jom pergi lambak.” Sambungnya lagi.
Musalmah geleng kepala.
“Makcik tak bagi kita pergi lambak.”
“Makcik tu memang. Kalau kita semuanya tak boleh. Anak-anak dia boleh pula.”
“Shhh... jangan cakap kuat-kuat. Nanti makcik dengar.”
Maizurah mencebik. Rajuk di mukanya masih ada.
******
Seisi keluarga sudah duduk di kerusi makan demi menjamu hidangan tengahari. Ibu zaihan pandang Musalmah sebelum satu soalan diungkap keluar dari bibirnya.
“Malam-malam kamu pasang lilin kenapa, Musalmah? Takut tidur dalam gelap?” Nada Ibu Zaihan kedengaran sinis. Musalmah pandang ayahnya. Pak Daim seperti sedang menunggu satu jawapan terbit dari mulutnya.
“Taklah. Mah menulis.”
“Menulis? Menulis apa malam-malam? Lepas ni, kamu jangan pasang lilin lagi. Nanti buatnya tengah-tengah menulis tu, kamu terlelap, tertepis pula lilin tu. Boleh terbakar satu rumah.” Suara Ibu Zaihan, jelas penuh dengan peringatan.
“Kenapa tak buka lampu je kalau nak menulis?” tanya Pak Daim pula.
“Mah takut bil elektrik mahal ayah.”
Pak Daim terdiam. Ibu Zaihan sudah bingkas bila bicara suaminya tak menampakkan tanda-tanda nak marah.
“Mah kalau nak menulis, Mah buka ja lampu. Jangan pasang lilin lagi, boleh rosak mata Mah kalau menulis macam tu.”
Ibu Zaihan melangkah ke singki bersama pinggan kotor di tangan. Mulutnya mengajuk-ngajuk cakap suaminya dengan muka meluat!
Setelah Pak Daim keluar dengan motorsikalnya, Ibu Zaihan pantas mendapatkan Musalmah di bilik dapur. Pintu yang sedikit renggang itu ditolak kasar. Musalmah dan Maizurah terpinga.
“Apa yang kau tulis. Bagi sini aku tenguk!”
Tambah terpinga Musalmah dengan pertanyaan itu.
“Saya tulis nota periksa makcik.”
“Bak sini! Aku nak tenguk! Entah-entah kau tulis surat cinta. Umur baru setahun jagung dah kemaruk nak bercinta ya!”
Musalmah geleng kepala. Dia gapai buku nota peperiksaan yang ditulisnya dan dihulurkan pada Ibu Zaihan. Wanita itu menyelak tiap helaian dengan kasar.
“Kau jangan nak menulis lewat-lewat malam lagi. Kau ada duit nak bayar letrik?”
Musalmah geleng kepala.
“Kalau aku nampak kau buka lampu sampat lewat malam, siap kau!”
Musalmah masih diam setempat. Ibu Zaihan mengeluarkan beg duit dari kocek uncang di pinggangnya.
“Nah, ambil duit ni. Pergi kedai beli gula!”
Musalmah angguk kepala.
“Kau tunggu apa kat sini? Pergilah ikut kakak kau tu!”
Maizurah berlari keluar dari bilik. Setelah dua beradik itu berada di jalan besar, Ibu Zaihan menyelongkar bilik itu seperti mencari-cari sesuatu. Almari baju diselak. Kain baju yang elok berlipat diangkat dan sebuah buku jatuh dari celahan baju itu. Ibu Zaihan ambil buku itu dan selaknya satu persatu.
“Ini rupanya yang kau tulis!” Mulutnya menceber setelah buku puisi itu diselak. Dia keluar bersama buku di tangan.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel