Rumah Musalmah. Waktu malam.
Malam itu, Musalmah tak dapat lelapkan mata. Setiap kali dia pandang wajah adiknya yang sedang tidur itu, hatinya jadi kasihan dan sedih. Dia bingkas duduk. Keinginannya untuk sembunyikan segala perasaan yang berkecamuk dalam puisi jadi terhalang gara-gara buku puisinya hilang. Mahu diluahkan di atas kertas saja, terasa ekapismenya hilang! Ya, buku itu adalah ekapismenya. Satu-satunya tempat yang diberi Paman Adi untuk dia mencipta dunia fantasinya sendiri.
Musalmah lihat jam di dinding. Sudah pukul 1 pagi. Tekaknya terasa dahaga. Dia bingkas dan keluar dari bilik. Cerek diangkat dan air putih dituang ke dalam gelas. Saat tekaknya rakus menegup air putih itu, telinganya menangkap suara orang bercakap dari atas rumah. Musalmah amati lagi suara itu. Seperti suara orang bergaduh pun ada. Gelas yang dipegang, diletakkan ke atas meja. Musalmah atur langkahnya perlahan-lahan ke atas rumah. Melihat ayah dan Ibu Zaihan di anjung tamu, kakinya terhenti di tangga. Badannya merunduk kerana tidak mahu ketahuan. Dan perbualan itu diintip.
“Bila abang nak ceraikan saya?” keras pertanyaan Ibu Zaihan.
“Abang takkan ceraikan Zai.”
“Tapi abang tahukan yang kita kahwin ni sebab nak buat cina buta. Bekas suami Zai masih menunggu Zai! Tolonglah faham. Zai masih sayangkan dia! Lepaskan Zai. Biar Zai dan anak-anak Zai bersatu semula dengan ayah dia.”
“Habis abang nak jawab apa pada orang kampung? Zai ingat abang tak ada maruah?”
Musalmah terkesima. Perkataan cina buta melekat kuat di fikirannya tanpa dia tahu apakah maksud sebenar perkataan itu. Melihat riak di muka ayahnya, Musalmah tidak mahu lagi mengintip. Perlahan-lahan dia turun dan masuk semula ke dalam bilik.
******
Pagi itu ada sesuatu yang mendesak kaki Musalmah untuk terus melangkah ke rumah Cikgu Khairina. Desakan yang sangat kuat!
“Assalamualaikum,” salam sudah diucap saat tubuhnya berdiri di anjung rumah Cikgu Khairina.
“Waalaikummussalam,” salam yang disambut oleh tuan rumah buat hati Musalmah lega. Tahulah dia yang Cikgu Khairina ada di rumahnya.
“Musalmah, naiklah.”
Musalmah naik ke atas rumah dan duduk di atas kerusi kayu setelah dipelawa oleh gurunya.
“Kejap, Cikgu ke dapur buatkan air panas.”
“Tak payah Cikgu. Saya tak boleh lama ni. Nanti makcik marah.”
Cikgu Khairina duduk di hadapan Musalmah.
“Ada masalah apa kamu jumpa dengan Cikgu ni. Ceritalah. Jangan takut. Yang mana perlu Cikgu rahsiakan, Cikgu akan rahsiakan.”
Hati Musalmah tambah lapang dengan jaminan yang diterimanya. Terasa ringan terus mulutnya untuk membuka pertanyaan.
“Cikgu tahu tak maksud cina buta?”
Pertanyaan Musalmah itu buat muka Cikgu Khairina kelihatan tergamam.
“Mana kamu dapat perkataan tu?”
Musalmah terhenyak bila pertanyaan itu sampai kepadanya. Haruskan dia menceritakan semuanya pada Cikgu Khairina?
“Saya terbaca dalam buku cerita. Ada perkataan cina buta dan saya tak faham maksudnya.”
Cikgu Khairina mengangguk.
“Ustazah Natrah tentu ada beritahu kamu dalam kelas tentang hukum seorang perempuan yang diceraikan suami dengan talak tiga?”
Musalmah mengangguk.
“Apa yang Musalmah faham kalau seorang isteri sudah diceraikan dengan talak tiga dan ingin kembali lagi kepada suaminya?”
“Tak boleh cikgu melainkan isterinya berkahwin lain dan bercerai, barulah mereka boleh bernikah semula.”
“Jadi, untuk berkahwin dan bercerai dalam masa yang singkat, istilah cina buta selalu digunapakai oleh masyarakat kita. Mereka perlu berkahwin dan bercerai supaya si perempuan tadi dapat bernikah semula dengan suami pertamanya.”
Musalmah angguk faham.
“Terima kasih Cikgu. Saya balik dulu.” Musalmah sudah bingkas. Ya, dia tak bisa berlama-lama lagi di situ. Bimbang dicari ibu tirinya. Bimbang juga dimarahi.
“Musalmah, kalau ibu tiri kamu dan ayah kamu berkahwin atas dasar cina buta. Cikgu benar-benar gembira kerana mungkin perkahwinan mereka tak lama, Cuma sebentar saja.” Ucap Cikgu Khairina saat Musalmah sarungkan selipar di kaki.
“Tapi ayah saya tak mahu ceraikan mak tiri saya Cikgu atas nama maruah.”
Senyum di muka Cikgu Khairina jadi layu serta merta. Dia melihat langkah pulang Musalmah dengan simpati yang berkoyan.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel