Rumah Musalmah. Waktu pagi.
Pak Daim sudah ke kebun. Musalmah turun ke laman rumah untuk menyapu dengan ditemani adiknya. Tiba-tiba, dia didatangi Mak Lijah.
“Makcik Lijah datang ni sebab nak jumpa mak tiri saya ke?”
“Eh tak lah. Mak Lijah nak jumpa kamu. Ni Mak Lijah nak tanya sikit. Macam mana mak tiri kamu tu layan kamu dua beradik?”
Musalmah terdiam. Dipandangnya muka Maizurah.
“Mak tiri tu jahat!” Jawab Maizurah, tiba-tiba. Muslamah pekup mulut adiknya dengan tangan.
“Makcik dah agak dah! Kalau dia apa-apakan kamu. Kamu lari ke rumah makcik tau. Arwah mak kamu tu kawan baik makcik.”
Musalmah angguk kepala. Setelah Makcik Lijah pergi, dia pandang ke jendela rumah. Mujur tiada siapa di situ.
“Adik, jangan cakap macam tu lagi. Nanti makcik cubit mulut adik.”
Maizurah diam.
“Kak, jom pergi kubur mak. Dah berapa hari kita tak pergi jumpa mak.”
“Tak boleh. Akak nak kena tolong makcik masak lepas habis menyapu ni. Nanti bila ada masa terluang, kita pergi ya.”
Maizurah diam tidak bersuara. Tahulah Musalmah yang adiknya itu sedang merajuk kerana ajakannya ditolak.
Setelah usai masak. Ibu Zaihan panggil anak-anaknya turun ke dapur untuk makan. Musalmah masuk ke dalam bilik dan panggil adiknya. Saat pinggan sudah digapai, Ibu Zaihan pun bersuara.
“Nak buat apa pinggan tu? Nak makan?”
Musalmah angguk kepala. Pinggan yang ada di tangannya, dirampas Ibu Zaihan. Perempuan itu mencedukkan nasi ke pinggan. Kari ayam dalam mangkuk dikisai-kisai hingga senduk menceduk tulang dan tulang itulah yang diletakkan ke dalam pinggan beserta sedikit kuah.
“Nah, ambil ni. Pergi makan kat sana.”
Musalmah pandang lauk di pinggannya.
“Nak makan ke tak nak?” tanya Ibu Zaihan bila pinggan yang dihulur masih juga tidak disambut. Akhirnya, Musalmah angguk kepala dan pinggan itu digapai sebelum dia duduk bersila di atas lantai bersama adiknya. Nasi yang bergaul dengan kuah dijemput dengan tangan sebelum disuapkan ke mulut adiknya.
“Kak, nak makan ayam juga.” Rengek Maizurah. Musalmah dongak ke meja makan. Ibu Zaihan mengerling.
“Lain kali ya dik.” Ucapnya perlahan. Maizurah tidak lagi bersuara.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel