Waktu malam / Di rumah Musalmah – ruang tamu.
Musalmah menemani adiknya membuat kerja sekolah sambil mengulangkaji pelajaran memandangkan tahun ini, dia akan menduduki peperiksaan besar bagi murid darjah enam.
“Kak, kenapa adik tenguk muka kak muram saja dari siang hari tadi?”
Muslamah pandang adiknya. Tak terjawab di mulut. Terkebil-kebil matanya memandang Maizurah.
“Adik tak nak tidur awal ke malam ni?” Musalmah ubah tajuk perbualan. Maizurah geleng kepala.
“Kenapa?”
“Adik tak nak paksa mak datang jumpa adik. Kesian kat mak. Syurga tu kan jauh. Mak pun bukannya sihat sangat.”
Musalmah diam.
“Kak, esok pagi tak sekolah. Boleh kita pergi lambak?”
“Adik nak beli apa?”
“Adik nak beli biskut ABC.”
Musalmah angguk kepala.
“Cepatlah siapkan kerja tu. Pastu kita tidur. Kalau nak ke lambak kena pagi-pagi, baru best.”
Maizurah tersengih. Kepalanya diangguk-angguk. Laju tangannya menulis menyiapkan kerja rumah.
“Kita buat malam esok je lah. Jom tidur.” Suara Maizurah tiba-tiba.
“Tak boleh. Malam esok kita nak berjalan.”
Maizurah pandang kakaknya dengan mulut melopong.
“Jalan ke mana?”
“Ke Lumut. Ikut ayah pergi rumah kawan dia.”
“Lumut tu dekat ke jauh kak?”
“Jauh rasanya.”
“Kita naik kereta?”
Musalmah angguk kepala.
“Yesss.” Hati Maizurah benar-benar girang.
*Lambak ialah bahasa kampung kami yang bermaksud pasar minggu. Seperti pasar malam tapi pada waktu pagi. Lambak biasanya dalam kawasan kampung. Peniaga-peniaga dari luar datang ke kampung bersama barang yang ingin mereka jual.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel