Kampung Bidan Noi, Lumut. Waktu malam.
Kereta yang dipandu Pak Osman berhenti di satu rumah. Suasananya tampak meriah sekali. Pengantin lelaki dah sampai! Jeritan orang kampung buat Musalmah tersedar. Dikejut adiknya yang masih nyenyak ketiduran.
“Dik, bangun. Dah sampai.”
Maizurah terpisat-pisat memandang keadaan sekeliling.
“Kak, ayam masak merah ada tak? Adik lapar sangat dah ni.”
“Jangankan ayam masak merah, landak goreng pun ada.” Sampuk Pak Osman bergurau. Musalmah paksa mulutnya untuk senyum sekadar nampak budinya menumpang kereta lelaki itu. Dia lihat ayahnya sudah masuk ke dalam satu kelompok lelaki.
“Duduk sini, Musalmah. Ayah kamu nak menikah tu. Hah, ceduk nasi tu, bagi adik kamu makan. Kesian dia lapar.”
Musalmah terhenyak. Lauk-lauk yang siap terhidang di atas meja dipandang sebelum diceduk dan letak ke dalam pinggan.
“Basuh tangan cepat,” suara Musalmah seraya angkat kendi. Setelah itu, barulah Maizurah memulakan suapan pertamanya.
“Kenapa kamu tak makan?” tanya Pak Osman.
“Saya tak lapar lagi, pakcik.”
Pak Osman angguk. Musalmah pandang kembali ke dalam rumah. Dia tercari-cari yang mana satu ibu tirinya. Orang di dalam rumah sudah mengangkat tangan berdoa. Tahulah dia kini yang ayahnya sudah selamat bernikah.
Musalmah masih duduk di bawah khemah. Tiba-tiba, dia didatangi ayahnya dan seorang perempuan muda yang cantik.
“Mah, adik. Salam dengan ibu.” Pinta Pak Daim. Sebagai anak yang taat, Musalmah pantas hulur tangan dan mencium tangan wanita yang ada di depannya. Maizurah pula hanya sekadar salam, tak cium tangan.
“Fatin! Farhana!” Wanita itu memanggil dua orang budak perempuan yang sedang bermain kejar-kejar dengan kawannya tidak jauh dari kedudukan mereka. Musalmah pandang dua orang budak yang menapak ke arahnya.
“Ni anak makcik. Fatin dan Farhana.”
Musalmah angguk kepala. Tangan dihulur lagi. Sekadar salam. Tiada senyum yang diukir. Sepertinya, mereka juga tak suka mendapat ayah baru seperti mana Musalmah dan adiknya, tak gemar ada ibu baru.
“Alhamdulillah, sudah selamat semua.” Suara Pak Osman sebaik saja enjin kereta dihidupkan.
“Alhamdulillah.” Sambut Pak Daim pula.
“Sekarang ni kan cuti sekolah dua minggu. Memang musim nasi minyak.”
Pak Daim mengangguk dalam senyum. Maizurah sudah tertidur kerana terlalu mengantuk. Musalmah pandang ke luar tingkap. Ribuan bintang-bintang mengingatkan dia pada buku puisinya. Setelah dua jam perjalanan, barulah mereka sampai di rumah. Pak Daim angkat Maizurah dan letakkan atas katil.
Musalmah tutup pintu biliknya setelah Pak Daim keluar. Dia buka almari bajunya dan sepasang baju kurung hijau muda milik arwah ibunya dibawa keluar sebelum dipeluk erat-erat. Saat itu, air matanya sudah tumpah membasahi baju. Maakkk! Panggilnya perlahan dan teresak-esak.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel