Rumah Musalmah. Waktu tengahari.
Pak Daim menunggu adik angkatnya di beranda rumah.
“Bagaimana khabarmu, bang?”
“Baik, alhamdulillah. Kapan kamu sampai?”
“Baru sebentar tadi,”
Pak Daim mengangguk.
“Bisa aku tumpang tidur rumah abang barang semalam?”
“Bicara apa kamu ni Adi? Bukankah ini juga rumah kamu? Rumah kakakmu!”
“Kakakku sudah tiada. Sudah abang gantikan dengan yang lain. Yang terlalu jauh sikap dan pekertinya dengan kakakku.”
Pak Daim terdiam.
“Tak mungkin ada perempuan lain sepersis kakakmu, Adi!”
“Lalu, untuk apa abang kahwin lain?”
Pak Daim memandang muka Paman Adi. Kemudian dia memberi isyarat mata kepada Musalmah dan Maizurah untuk masuk ke dalam rumah.
“Kalau kamu tak suka dengan isteri baru abang, kamu jangan datang lagi ke sini Adi. Abang tak mahu kerana sikap tak suka kamu, hubungan baik kita pula yang tercalar. Kamu mengingatkan abang kepada kakakmu. Dia sangat sayangkan kamu. Kamu itu benar-benar dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Dan kerana itu jugalah, kamu... aku benarkan bermalam di sini tapi jangan kau bahas soal perasaan tidak sukamu pada isteri baru abang.”
“Seharusnya abang ceraikan saja perempuan tu bila dia meminta.”
Muka Pak Daim berubah. Agak terkejut dia bila Adi mengetahui perbualan sulitnya.
“Isterimu yang dulu pernah berpesan kepadaku bang, untuk menjenguk keadaan anak-anaknya bila dia sudah tiada kelak. Pesan itu, harus ku anggap seperti satu amanah dan juga tanggungjawab. Makanya, aku di sini bila surat yang ku kirimkan pada Musalmah tidak berbalas.”
Sekali lagi Pak Daim terdiam.
******
Pak Daim lihat lauk yang terhidang atas meja. Fatin dan Farhana sudah mengambil tempat duduk. Musalmah dan Maizurah juga.
“Adi, mari makan sekali.” Ajak Pak Daim dari tangga dapur. Tidak naik ke atas. Dia lihat tetamunya itu sudah bingkas dari kerusi dan menapak datang ke arah dapur. Paman Adi duduk di sebelah Musalmah dan menceduk nasi ke pinggan. Lauk juga sekadarnya.
“Tambah lagi Adi,
“Maaf, bang. Lauk yang dimasak isteri barumu ni tak seenak masakan kakakku.”
“Kurang ajar kamu!” tingkah ibu Zaihan.
“Aku atau kamu yang kurang ajar?”
“Adi!” keras suara Pak Daim demi mengelakkan pertelingkahan menjadi panjang.
“Kenapa kau diam? Seharusnya, kau yang sedar diri! Datang menumpang rumah kakakku tapi kau perhambakan anak-anaknya! Kau pukul mereka tanpa belas! Manusia jenis apa kau ni? Binatang pun tahu hormatkan anak binatang lain!”
“Adiii!!” nada Pak Daim benar-benar tinggi. Ibu Zaihan terdiam. Jelingannya tajam. Nasi di pinggannya masih berbaki tapi dia sudah bingkas dan naik ke atas rumah, langsung masuk ke dalam bilik. Pak Daim benar-benar panar.
“Kalau abang mahu aku pergi, malam ini juga aku akan pergi tapi ingat bang, aku takkan maafkan apa yang perempuan tu dah buat pada keponakan ku, sedikit pun tidak!”
Pak Daim basuh tangan di sinki. Langkahnya mendapatkan Adi.
“Bermalam di sini. Abang tak menghalau mu pergi.”
Paman Adi berhenti melangkah.
“Seharusnya kau ceraikan saja dia bang bila dia memintanya darimu.” Nadanya sangat rendah.
“Aku tak bisa. Dia mengandungkan anak aku, Adi.”
Paman Adi pandang Pak Daim. Dilurutnya rambut bahagian hadapan dengan tangan. Riaknya berbaur!
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel