Bab 34

Drama Series 3858

Rumah Musalmah/ Kedai Timah Tonggek. Waktu pagi.

 

Ibu Zaihan pandang ke laman melalui jendela bila ada seorang lelaki mengucapkan salam di beranda rumah. Langkahnya bertitir pula ke pintu bila dia rasa lelaki itu muncul demi mencari seseorang.

          “Abang Daim ada?”

          “Abang Daim ke kebun. Kamu ni siapa?”

          “Saya Adi, adik angkatnya. Saya datang dari Kuala Lumpur.”

          “Sebentar lagi mungkin dia balik. Naiklah.”

          “Ya, saya tunggu di beranda saja.”

Paman Adi melepaskan lelahnya berjalan dari simpang masuk ke kampung di beranda rumah. Topi yang menutupi kepala diangkat dan dikibas-kibaskan ke muka. Cahaya matahari sudah benar-benar meninggi. Waktu yang sesuai untuk meletakkan kain jemuran di ampaian.

          “Paman Adi!” jeritan Musalmah buat kepalanya mendongak memandang jalan. Dia lihat Musalmah berlari ke arahnya dengan wajah girang. Paman Adi bangun dari beranda. Di satu sisi, di jendela rumah. Ibu Zaihan memerhati gelagat mereka berdua.

          “Musalmah. Bagaimana khabarmu? Adik mana?”

          “Adik ikut ayah ke pekan.”

          “Oh... kenapa kau tak balas surat yang paman kirimkan? Paman bimbang sesuatu menimpa kalian, makanya Paman ke mari.”

          “Surat? Surat apa?” muka Musalmah tampak bingung-bingung.

          “Siapa perempuan atas rumah kakakku?”

          “Dia ibu tiri Musalmah.” 

          “Ayahmu sudah kahwin lain?”

Musalmah angguk kepala. Paman Adi pandang di jendela dan dia perasan yang perbualan mereka sedang diintip.

          “Ayuh paman belanjamu makan nasi lemak di kedai.”

Musalmah angguk kepala. Hatinya senang dengan jemputan Paman Adi. Mereka berjalan kaki ke warung Timah Tonggek. Pagi-pagi begini, biasanya Timah Tonggek menjual nasi lemak dan segala macam jenis kuih muih.

          Musalmah ambil nasi lemak daun pisang dan mula menjamahnya. Paman Adi memesan milo panas untuk dua orang.

          “Paman tak makan?”

          “Paman sudah makan tadi. Kamu makanlah.”

Musalmah teruskan suapan nasinya.

          “Kenapa kamu tak ikut ayah ke pekan?”

          “Ayah cuma mahu bawa adik. Ayah nak pujuk adik sebab semalam ayah...” bicara Musalmah terhenti.

          “Ayah apa?”

Musalmah geleng kepala.

          “Baikkah mak tirimu?”

Musalmah pandang muka Paman Adi. Terasa takut benar dia nak bersikap jujur dengan lelaki itu.

          “Jujur saja Musalmah. Jangan takut dengan Paman.”

Ah, mudah bagi Paman menebak apa yang ada dalam kepalanya. Musalmah menggeleng. Matanya sudah berkaca. Titisnya tumpah ke dalam nasi lemak yang dimakan.

Paman Adi senyap terus setelah mendengar cerita dari mulut Musalmah. Dari wajah itu, Musalmah tahu Paman Adi tak sukakan Ibu Zaihan.

          “Mari kita balik.”

Musalmah bingkas. Air matanya sudah dapat dikeringkan. Dadanya terasa benar-benar lapang. Apa yang sangat menyesakkan selama ini sudah dapat dipunggah keluar. Setelah bayaran dilunaskan, mereka kembali berjalan menuju ke rumah. Dalam perjalanan pulang, mereka disapa oleh Pak Daim. Maizurah pantas turun dari motorsikal demi mendapatkan Paman Adi.

          “Abang baliklah dulu. Biar kami berjalan kaki saja.”

Pak Daim mengangguk. Lagipun rumahnya sudah tidak beberapa jauh.

          “Adik beli apa kat pekan?”

          “Ni, anak patung cantik.”

Paman Adi tersenyum.

          “Paman, adik nak capuk belakang Paman.”

Paman Adi pantas membongkokkan badannya. Setelah Maizurah memaut lehernya barulah dia bangun dan mereka kembali meneruskan langkah.

          “Paman, tenguk tangan adik ni. Merah kena pukul dengan ayah semalam.” Adu Maizurah sambil menunjukkan telapak tangannya yang masih berbekas. Muka Paman Adi berubah terus. Dipandangnya Musalmah demi sebuah penjelasan kerana dalam ceritanya tadi Musalmah tidak ungkit sedikit pun kisah Maizurah dipukul ayah.

          “Kakak pun kena juga tapi kat pinggang.” Adu Maizurah lagi.

          “Paman harus bicara sama ayah kamu!”

          “Paman.” Panggil Musalmah dengan langkah yang terhenti. Wajahnya risau. Melihat langkah Paman Adi yang tak mahu berhenti, Musalmah tenggelam dalam keresahan.

Terima kasih kerana sudi singgah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience