Rumah Musalmah. Waktu pagi.
Sejak hal malam tadi, Ibu Zaihan lebih gemar memerapkan dirinya di dalam bilik. Pak Daim masuk ke bilik demi mendapatkan isterinya.
“Makan sikit Zai. Abang ada beli nasi lemak tu.”
Zaihan mengerling.
“Selagi budak kurang ajar tu ada di sini. Selagi itu, Zai takkan keluar dari bilik ni.”
“Makanlah sikit Zai.” Pak Daim masih memujuk.
“Sekarang ni abang cakap dengan saya. Abang nak saya yang keluar dari rumah ni atau abang halau adik angkat abang tu balik ke Kuala Lumpur?”
Pak Daim kelihatan terhenyak.
“Zai...”
“Abang buat pilihan sekarang!”
Zaihan sudah bangun. Pintu almari dibuka dan kain bajunya diambil dan dicampakkan ke atas katil sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian. Pak Daim cuba menghalang perbuatan itu.
“Abang buat pilihan sekarang!”
“Baiklah. Kalau itu yang Zai nak, abang akan bercakap dengan Adi.”
“Jangan izinkan dia datang lagi ke rumah ni!”
Pak Daim mengangguk perlahan. Melihat anggukan itu, Zaihan berhenti memasukkan baju-bajunya ke dalam beg.
******
Girang suara Maizurah bercakap memecah sunyi di laman rumah. Musalmah duduk di beranda demi membuang lelah. Buku tulis berkulit tebal masih lagi dipeluk. Hadiah dari Paman Adi itu buat hatinya girang sedikit. Tiba-tiba, muncul Pak Daim di pintu anjung. Di tangan lelaki itu ada beg sandang Paman Adi.
Paman Adi panar. Dipandangnya lelaki yang memegang begnya itu dengan satu pandangan paling sadis.
“Kau mahu menghalau aku, bang?”
“Aku bukan menghalau tapi aku ingin memohon padamu. Ambil beg ini dan pulanglah ke kota besar. Jangan datang lagi ke sini. Jangan sesekali.”
“Ayah?” Musalmah cuba menyampuk tapi dihalang oleh Paman Adi. Maizurah sudah mencemek. Air matanya mudah bertakung. Musalmah juga.
“Baiklah bang. Aku takkan datang lagi ke sini. Kakakku sudah mati. Begitu juga dengan hubungan kita bang. Halalkan makan minumku selama aku duduk di rumahmu ini. Ku doakan semoga kau berbahgia dengan isteri baru mu, bang.”
Pak Daim senyap. Matanya seakan-akan berkaca tapi masih juga ditahan. Sedang di jendela Ibu Zaihan sudah tersenyum.
“Jaga adikmu baik-baik. Ingat pesan paman. Menulislah kalau kau sunyi dan tiada teman untuk mengadu lara di hati. Menulislah kalau kau perlukan teman untuk berbicara, meluahkan rasa. Jadikan menulis sebagai teman rapatmu yang paling baik dan bisa kau percayai.”
Air mata Musalmah sudah menitik. Paman Adi peluk Maizurah dengan linangan air mata. Topi yang hampir jatuh dari kepala, dibetulkan semula saat kakinya mula melangkah mendapatkan Pak Daim.
“Bang. Panggil isterimu. Aku akan pergi tanpa dendam di hati kalau dia pulangkan semula buku puisi Musalmah yang diambilnya.”
Pak Daim kelihatan agak berkerut.
“Zai!”
Zaihan yang sememangnya ada berdekatan dengan pintu depan pantas melangkah turun. Wajahnya masih mencuka.
“Pulangkan buku puisi Musalmah.”
“Saya tak ambillah!”
“Sungguh? Sanggup kau bersumpah atas anak yang kau kandung, kalau benar kau tidak mengambilnya? Tapi kalau kau berdusta, anak dalam perutmu yang akan mendapat laknatNya.”
Zaihan panar. Dia naik ke anjung dengan muka yang berbaur. Dan kembali semula ke anjung dengan buku di tangan. Buku itu diberinya pada Pak Daim. Paman Adi ambil buku dari tangan Pak Daim dan menyerahkannya pada Musalmah dan terus berlalu pergi.
“Paman!” Panggil Musalmah tetapi Paman Adi tidak berpaling. Langkahnya semakin deras sebaik saja beg sandang kemas di badan. Maizurah mengejar, Musalmah mengikuti. Betapa hubungan yang terjalin sejak mereka kecil lagi, bisa terlerai begitu saja. Pak Daim tak pula menghalang anak-anaknya pergi mendapatkan Adi. Saat itu, Zaihan muncul di pintu anjung. Pak Daim berpaling melihat wajah itu.
“Kalau bukan kerana anak yang ada dalam perutmu, abang takkan putuskan silaturrahim kami.”
Zaihan masih tersenyum. Perutnya diusap perlahan. (Waktu ini, Zaihan baru mengandung dua bulan).
Share this novel