~ Dua tahun kemudian.
Rumah Musalmah. Waktu petang.
Hujan mula turun renyai-renyai. Sayang Musalmah duduk di tangga beranda rumah sambil menghadapkan wajah dan tubuhnya ke jalan raya. Sunyi hidupnya bertambah kalau dia masuk ke dalam rumah kerana sejak kematian ibunya dua tahun yang lalu, tiada lagi yang menemani hari-hari siangnya melainkan adinda tercinta yang baru mulai kenal erti keperitan hidup tanpa seorang ibu.
Suasana di luar rumah sangat redup. Awan hitam sudah menampakkan bayang. Di sisi Musalmah, ada adiknya, Sayang Maizurah.
“Kak, adik rindu sangat dengan mak. Kak janji semalam nak bawa adik jumpa dengan mak.”
Musalmah pandang adiknya.
“Hari nak hujanlah dik. Akak takut nanti kita terperangkap kat kubur macam hari tu. Lagi pun dah nak masuk asar ni. Kejap lagi ayah mesti balik dari kebun.”
Maizurah buat muka cemberut. Dia bangun dengan langkah yang menghenyak. Payung yang tergantung di papan beranda digapai dan langkahnya laju mencari selipar.
“Nak ke mana?” tanya Musalmah risau.
“Biar adik pergi sorang. Kakak duduk ja kat rumah ni tunggu ayah. Kalau ayah balik, kakak cakap kat ayah yang adik pergi kedai.”
Musalmah betulkan kain selendang di muka. Kakinya turut mencari selipar. Langkah Maizurah dikejar. Saat kaki sudah menjejak ke jalan, guruh pun menegur.
“Dik, kita pergi esok je lah. Akak janji, esok lepas habis sekolah agama, kita terus pergi kubur mak.”
Maizurah menggeleng. Musalmah seperti terpaksa akur dengan kehendak adiknya. Berjalanlah mereka dua beradik menelusuri kebun-kebun getah penduduk kampung demi menuju ke tanah perkuburan. Guruh di langit sudah pun berdentum. Resah di wajah Musalmah kian bercambah.
“Cepat sikit dik. Hujan dah nak turun ni. Kalau lebat nanti, susah kita. Kakak takut kalau-kalau ada petir. Bahaya.”
Maizurah cepatkan langkah di kaki. Dua puluh minit berjalan, bau harum kemboja sudah menusuk ke hidung. Suram di wajah Maizurah, bertukar ceria. Langkahnya nampak berlari. Musalmah mengejar.
“Maaakkkk!” Jeritan riang Maizurah kedengaran di telinga. Jeritan yang bercampur dengan air mata. Payung di tangan dicampaknya ke tanah bila dirasanya benda itu membuat langkahnya jadi lambat. Musalmah ambil payung yang dibuang adiknya. Senyum terlempar ke satu arah. Seperti ibunya sedang menggamit kedatangannya dengan senyum dan dia membalasnya. Maizurah sudah memeluk tanah pusara ibu mereka sepertimana dia biasa memeluk ibunya dulu. Air mata lebat mengalir.
Tik. Tik. Hujan sudah menitik. Musalmah buka payung di tangan dan duduk di sebelah adiknya. Tangan sebelah mula ditadah bila tangan kirinya memegang payung. Maizurah letakkan pipinya di pusara. Matanya merenung perbuatan Musalmah.
“Dah. Jom kita balik. Nanti kalau hujan tambah lebat, lagi payah kita nak bergerak.”
Maizurah geleng kepala. Tangannya meraba pusara ibu seperti tubuh belakang ibu yang diusap. Musalmah pegang pusara ibunya.
“Mak, Musalmah balik dulu ya. Esok, Musalmah datang lagi dengan adik.” Suara Musalmah pada jasad ibunya yang sudah jauh tertanam ke dalam bumi. Maizurah memandang tepat ke muka kakaknya.
“Janji?” soalnya pula. Musalmah angguk kepala. Hanya setelah melihat anggukan itu, kepalanya diangkat dan tubuhnya bingkas berdiri.
“Mak. Adik balik dulu ya. Esok adik datang lagi. Adik rindu mak. Mak datang dalam mimpi adik tau. Jangan lupa. Adik tidur awal nanti. Adik janji.”
Selepas itu, mereka pun berpimpin tangan menuju ke jalan untuk pulang ke rumah. Hujan makin lebat bila mereka keluar dari kawasan perkuburan. Musalmah pandang adiknya.
“Seronok dapat pergi rumah baru mak?”
Maizurah angguk kepala. Di bibirnya ada senyum. Musalmah balas senyuman itu.
Terima kasih kerana meluangkan masa untuk baca kisah ini.
Share this novel