Rumah Musalmah. Waktu tengahari.
Musalmah pegang tangan adiknya bila dia perasan muka ayahnya sudah lain.
“Ke mana?”
“Ke rumah Cikgu.”
“Kecik-kecik lagi dah pandai menipu ya!” sinis Ibu Zaihan. Riak di muka Pak Daim tambah lain.
“Sejak bila Mah pandai berbohong ni!” tegas sekali suara Pak Daim. Langkahnya merapat. Musalmah tolak adiknya ke belakang badan dan dia berdiri mengadap langkah ayahnya. Dia lihat ayahnya sudah tanggal tali pinggang di badan.
“Mah tak tipu, yah.”
Zas! Satu libasan hinggap di badan. Musalmah tolak adiknya ke tepi supaya libasan itu tak kena di badan adiknya. Ibu Zaihan tersenyum sambil memandang Fatin. Maizurah sudah menangis bila kakaknya dipukul. Mak Lijah yang baru pulang dari kedai Ali, pantas berlari ke arah Musalmah.
“Kenapa ni bang Daim?” soalnya dengan muka berkerut sambil memeluk tubuh Musalmah.
“Aku tak suka anak-anak aku berbohong. Aku tak pernah ajar mereka berbohong!” tegas suara Pak Daim.
Mak Lijah peluk Maizurah juga bila budak kecil itu menangis teresak-esak.
******
Sedang Pak Daim dan Ibu Zaihan duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen bersama Fatin dan Farhana, tiba-tiba kedengaran suara seorang perempuan memberi salam. Pak Daim bingkas sambil jawab salam yang diberikan di muka pintu.
“Cikgu Khairina, jemputlah naik.”
Cikgu Khairina pantas naik ke atas rumah. Buat pertama kalinya, dia bertentang mata dengan Ibu Zaihan dan anak-anaknya.
“Ada hal apa Cikgu ke mari?” tanya Pak Daim, sopan.
“Saya nak pulangkan buku Musalmah ni dengan kotak pensil dia. Tertinggal di rumah saya tadi.”
Pak Daim pandang dua benda yang diunjukkan Cikgu Khairina. Muka Ibu Zaihan dan Fatin juga statik ke tempat yang sama.
“Jadi tadi, anak saya memang ada pergi ke rumah cikgu?”
“Iya. Dia datang bertanyakan tentang soalan ulangkaji yang dia tak faham. Tapi tu lah, cepat sangat dia nak balik. Takut ada yang marah agaknya.”
Pak Daim terdiam. Dikerlingnya juga muka isteri barunya dengan perasaan yang berbaur tapi masih ditahan. Mungkin ada Cikgu Khairina di situ.
“Mah.” Panggil Pak Daim. Musalmah pantas naik ke atas dan berdiri di sebelah ayahnya.
“Ambil buku tu. Cakap terima kasih kat cikgu kerana susah payah datang hantar ke mari.”
Musalmah angguk kepala.
“Terima kasih Cikgu,” ucap Musalmah. Langkahnya beranjak lagi ke depan demi mendapatkan bukunya. Air mata yang ingin mengalir di hadapan Cikgu Khairina ditahan supaya tidak jatuh menitik. Sepi mengilir ruang hingga Cikgu Khairina meminta diri untuk pulang.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel