Rumah Musalmah. Waktu malam.
Selepas solat isya’ . Maizurah tanggal telekung di kepala. Dia pandang kakaknya dengan senyum.
“Kenapa?” tanya Musalmah hairan.
“Kejap lagi ayah balik. Nanti mesti ayah panggil kita makan sama-sama. Adik nak makan ayam puas-puas.”
Musalmah turut sama senyum. Ubun-ubun adiknya dilurut. Bunyi motor ayahnya buat senyum Maizurah tambah kembang. Saat itu, kedengaran juga suara Ibu Zaihan di dapur sedang berbual dengan ayahnya.
“Mah, Adik. Mari makan malam sekali.” Laung Pak Daim, lembut.
“Betul tak cakap adik?”
Musalmah cuit hidung adiknya. Mereka sama-sama melangkah keluar dan seketika terdengar pula suara makciknya.
“Sudah saya panggilkan tadi tapi katanya dah kenyang. Mereka dah makan nasi pukul enam petang tadi.” Nada itu lembut tetapi isinya menekan. Musalmah pandang Fatin dan Farhana yang sedang duduk menjamu hidangan malam.
“Adik lapar lagi. Adik nak makan ayam. Siang tadi, makcik bagi tulang je kat adik.”
Musalmah perasan riak di muka Ibu Zaihan sudah lain.
“Eh, mana ada tulang. Saya bagi peha ayam. Isinya dah lerai.”
Pak Daim diam. Dia cedukkan nasi di pinggan dan diletakkan seketul ayam yang tegap isinya.
“Mari dik makan.”
Maizurah berlari dapatkan kerusi di sebelah ayahnya.
“Mah tak nak makan?” tanya Pak Daim sebaik saja langkahnya sudah memusing semula ke pintu bilik.
“Mah dah kenyang ayah.”
Pak Daim tidak lagi bertanya. Musalmah masuk ke dalam bilik. Dadanya masih menyimpan debar yang sama. Dia yakin, esok bila ayah sudah pergi ke kebun, pasti sesuatu akan berlaku. Dan malamnya gelisah terus gara-gara itu.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel