Bab 17

Drama Series 3858

Rumah Musalmah. Waktu pagi.

 

Musalmah lihat ayahnya sudah bersiap.

          “Ayah nak ke mana?”

          “Ayah nak ke pekan sekejap.”

Musalmah angguk kepala.

          “Adik mana?”

          “Adik mandi, ayah.”

Pak Daim pula yang mengangguk.

          “Nanti ibu nak datang dengan Fatin dan Farhana. Mereka akan tinggal di sini.”

          “Baiklah ayah.”

Pak Daim sarung helmet ke kepala dan naik ke atas motor. Musalmah lihat motor ayahnya pergi. Perasaannya kembali bergedup. Tiba-tiba, muncul Maizurah di beranda.

          “Dah makan? Ayah ada buat bihun goreng tu.”

          Maizurah angguk kepala.

          “Kak, yang dua orang perempuan semalam tu, dia akan jadi adik beradik kita juga ke?”

          “Ye dik. Adik beradik tiri.”

Maizurah diam.

          “Adik tenguk depa macam sombong ja. Cakap pun macam tak mau.”

Musalmah sekadar diam. Fatin dan Farhana, mereka adalah kembar yang hanya tua dua tahun dari umurnya. Bermakna, mereka itu adalah kakak tirinya.

Bunyi hon kereta di laman rumah buat langkah Maizurah bergegas ke tingkap. Musalmah turut melakukan hal yang sama. Sebuah kereta jenis Honda Accord berhenti di laman rumah. Setelah beberapa orang perempuan turun dari kereta itu bersama beg besar di tangan, kereta itu pun pergi dari situ. Musalmah turun ke beranda, memandangkan ayahnya masih belum pulang dari pekan lagi.

          “Makcik, jemputlah naik. Ayah tak ada. Ayah ke pekan sekejap.”

Mak tirinya itu mengerling sekilas. Perhatiannya tercampak ke setiap ceruk laman. Kipas kecil yang ada di tangan dikibas-kibaskan ke mukanya yang jelas bersolek. Maizurah berdiri di sebelah kakaknya.

          “Fatin, Farhana. Bawa beg kamu tu naik ke atas.”

          “Beratlah mak.” Rengek Fatin.

          “Mari saya tolong,” Musalmah pantas turun dari beranda. Beg yang ada di hadapan Fatin diangkat.

          “Bawa yang ni sekali.” Ujar Fatin sambil menghulurkan beg Farhana.

Musalmah angguk. Di fikirannya, mereka itu tetamu. Tak salah kalau dia melayan kerenah mereka barang sehari dua walaupun dia tahu mereka akan tinggal lama di rumahnya ini. Seketika, dia lihat adiknya sedang ralit melihat seekor kucing yang gebu di dalam sangkar kucing.

          “Comelnya kak. Nak pegang boleh?”

Musalmah pandang ibu barunya.

          “Ni kucing aku lah. Kau jangan mengada nak pegang!” ucap Fatin sambil angkat sangkar itu. Maizurah buat muka merajuk.

 

Terima kasih kerana sudi singgah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience