Beranda rumah Musalmah. Kira-kira enam petang.
Dua beradik itu sudah siap berbaju kurung. Musalmah betulkan kain selendang yang menutupi kepalanya.
“Mana ayah ni kak? Ke ayah dah lupakan kita?”
“Entahlah. Dah satu jam kita tunggu di sini.”
“Ha tu pun ayah.” Tunjuk Maizurah ke simpang masuk rumah. Sebuah kereta proton berwarna merah masuk ke laman rumah. Pak Daim yang duduk di bahagian depan menggamit anaknya untuk masuk ke dalam kereta.
Musalmah pandang rumahnya saat kereta itu bergerak pergi. Dan bila tiba di simpang tiga kedai Timah Tonggek, dia pandang ke belakang. Jalan itu sepi sekali. Jalan untuk ke kubur tempat arwah ibunya bersemadi. Terasa ada hening yang luar biasa dalam hati melihat sepi di jalan itu.
Dalam kereta, hanya Pak Osman dan Pak Saja yang bercerita. Perjalanan ke Lumut dari Taiping itu mengambil masa lebih kurang dua jam. Maizurah sudah terlena di riba Musalmah.
“Lepas nikah ni, nak duduk mana? Duduk kampung ka atau pindah Lumut?” Soal Pak Osman. Soalan yang menarik telinga Musalmah untuk dia terus berjaga.
“Duduk kampung la.”
Musalmah tarik nafas lega. Kiranya dia tak perlu nak pindah ke tempat orang. Pindah ke tempat orang dan berjauhan dari pusara ibunya, bukanlah sesuatu yang dia mahu!
“Maknanya orang rumah baru tu mai datang duduk sini la.”
Pak Daim mengangguk.
“Dengan anak dia sekali?”
Pak Daim angguk lagi. Musalmah tersentak. Anak dia sekali? Bermakna orang tu ada anak? Hati Musalmah jadi tertanya-tanya terus.
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel