Bab 39

Drama Series 3858

Sepanjang jalan keluar ke simpang Kampung Gelugor, langkah Paman Adi jadi semakin perlahan bila esak tangis Maizurah dan Musalmah berjejeran di telinga. Dipalingkan muka ke belakang dan langkahnya jadi terhenti bila dia melihat dua orang anak yatim itu sedang mengejarnya dengan linangan air mata. Mereka berpelukan sekali lagi.

          “Paman, jangan tinggalkan kami. Jangan pergi.” Pinta Musalmah.

          “Maafkan paman. Paman tak ada tempat lagi di sini.”

Paman Adi kembali melangkah namun langkahnya terhenti dan dia berpatah semula ke belakang dalam setapak dua demi mendapatkan Musalmah dan Maizurah. Beg duitnya dibawa keluar dari poket seluar dan not lima puluh diambil dan dimasukkan dalam tangan Musalmah.

          “Ambil duit ni Musalmah. Belanja adikmu juga. Ini mungkin wang terakhir dari paman. Mungkin juga tidak. Jaga adikmu Musalmah. Jaga adikmu baik-baik. Jangan tinggal solat. Berdoalah kepada Tuhan supaya deritamu akan berakhir dengan aman. Paman kira, kalau ibumu bisa berkata-kata, itu jualah pesanannya.”

          “Paman. Ambil buku puisi Mah sebagai tanda kenang-kenangan.”

          Paman Adi tersenyum. Dia pusingkan beg galasnya ke depan dan sebuah buku yang lebih kurang sama warna dan saiznya diambil dan diberikan pula kepada Musalmah.

          “Ini buku puisi paman. Bacalah demi persaudaraan yang pernah terjalin antara kita.”

Musalmah angguk kepala.

          “Selamat tinggal Musalmah. Selamat tinggal adik.”

          “Terima kasih Paman, izinkan kami mengikut paman hingga ke simpang.”

          “Ayuh, langkah-langkah ini... akan kita kutip dan simpan dalam kenangan.”

Musalmah melangkah. Buku puisi paman dipeluknya rapat-rapat ke dada seperti mana dia ingin memeluk figura ibunya.

 
***
 

-Musalmah tak bisa melelapkan mata. Dia teringat kenangannya bersama Paman Adi siang hari tadi.  

~imbas kembali.

Paman Adi masuk ke dalam kedai runcit. Buku nota berkulit tebal diambil dan diberikan kepada Musalmah. Maizurah pantas mendapatkan beberapa batang pensel kesukaannya. Paman Adi meletakkan not ringgit di kaunter dan mereka pun terus berjalan pulang.

 

Musalmah berpaling melihat Maizurah sebaik saja dia tersedar dari lamunan. Gadis itu tidur sambil memegang pensel pemberian Paman Adi.

Musalmah sebak langsir tingkapnya hingga cahaya bulan masuk ke melalui tingkap dan tumpah di lantai. Buku puisi paman diselak dan mulutnya terkumat-kamit membaca sajak nukilan Paman Adi. Musalmah selak lagi hingga ke beberapa halaman terakhir. Di situ dia menemukan sesuatu.

 

Jika kalian terjumpa buku ini, sila telifon saya di nombor 03- 213 3300 (Adi)

Musalmah baca tulisan itu sekali lagi dan seketika, bibirnya mengulit senyum sambil buku puisi itu dibawa ke dada dan dipeluk.

 

 

******

Rumah Musalmah. Waktu pagi.

 

Pak Daim sudah pergi ke kebun.

          “Musalmah!”

Musalmah pantas menampakkan diri. Sebuah baldi dicampak ke arahnya hingga mengena lutut kirinya.

          “Pergi ambil air kat telaga. Penuhkan kolah tu! Air tak ada! Anak aku nak mandi!”

Musalmah gapai baldi di kakinya dan berjalan menuju ke telaga yang terletak betul-betul di belakang rumah Mak Lijah.

          “Ambil air Musalmah? Mari Mak Lijah tolong penuhkan baldi.”

          “Tak apa Mak Lijah. Saya boleh buat sendiri. Terima kasih.”

Mak Lijah senyum. Musalmah mengangkat air berulang-ulang kali demi memenuhkan kolah di rumahnya. Kain yang dipakai, basah lencun gara-gara air yang diangkat tumpah berkolek sedikit demi sedikit.

          Saat dia letak baldi di tepi luar rumah. Zaihan mencampakkan baju kotor Musalmah dan adiknya ke tanah.

          “Pergi cuci sendiri! Jangan harap aku nak cuci! Cuci kat telaga tu! Bilik air tu, anak aku nak mandi! Habis cuci nanti, kau angkat lagi air!”

Musalmah kutip baju di tanah dan masukkan dalam baldi. Maizurah yang sedang bermain bersama teman sepermainannya pantas mendapatkan kakaknya.

          “Kenapa makcik campak baju kita.”

          “Baju ni akak nak basuh. Adik pergilah main dulu. Nanti datang mandi di telaga ya. Hari ni tak ada air di rumah.” Pesan Musalmah pada adiknya. Maizurah mengangguk.

Terima kasih kerana sudi singgah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience