Bab 28

Drama Series 3858

Rumah Musalmah. Waktu petang.

 

Setelah Cikgu Khairina pulang tadi. Musalmah masuk ke dalam bilik. Adiknya masih tidur di atas tilam toto. Ya, bilik yang itu tidak ada katil. Buku tulis yang diberikan oleh Cikgu Khairina tadi diselak satu persatu. Memang itu bukunya. Buku latihan yang dihantar sebelum cuti sekolah bermula. Musalmah selak lagi hingga ke tulisan yang terakhir. Di situ, dia menemukan sehelai surat yang sudah dilipat.

 

 

Musalmah sayang,

Cikgu ada mendengar cerita dari Mak Lijah tentang apa yang berlaku tadi. Cikgu simpati dengan nasib yang menimpa kamu dua beradik sekarang. Bersabarlah. Hanya itu yang dapat cikgu katakan kerana tiada jalan lain lagi selain sabar. Sekiranya, Musalmah dalam kesulitan dan memerlukan pertolongan, tulislah surat pada cikgu dan masukkan dalam peti surat rumah cikgu. Hal ini hendaklah kekal rahsia antara kita sampai bila-bila. Jika ayah kamu tahu yang cikgu turut berbohong, rosaklah kepercayaan dia pada cikgu. Tolong cikgu hapuskan surat ini supaya tiada siapa lagi yang membacanya selain kamu demi maruah cikgu sebagai seorang pendidik bangsa. Terima kasih.

Sekian.

 

Musalmah bingkas. Dia ambil gunting dalam laci almari pakaian dan surat itu diguntingnya menjadi kecil-kecil cebisan hingga dia berasa yakin tulisannya sudah pecah dan tak bisa lagi bercantum menjadi ayat. Ketukan kasar di pintu buat dia tersentak. Maizurah yang sedang tidur pun turut terjaga.

 

******

 

Tuk! Tuk! Ketukan di pintu makin kasar. Musalmah teragak-agak nak buka.

          “Buka pintu ni Musalmah!” tinggi suara ibu Zaihan buat Musalmah tak jadi bangun.

          “Jangan buka kak. Nanti dia pukul kita lagi.” Suara Maizurah perlahan.

Musalmah tak buka langsung pintu itu. Dan dia tahu, esok... selepas ayahnya pergi ke kebun, pasti ada sesuatu yang berlaku. Debaran itu kerap mengusik malamnya hingga dia gelisah terus dan tak bisa tidur dengan jenak.

Sejenak, ketukan di pintu lembut. Tidak deras seperti selalu. Musalmah pandang adiknya yang sedang tidur. Kemudian, dia pandang jam di dinding. Sudah pukul sebelas malam. Siapakah yang mengetuk pintu biliknya malam-malam begini? Musalmah bingkas dan melangkah ke pintu. Tangannya masih teragak-agak nak jatuhkan ensel.

          “Siapa?” mulutnya tergerak nak tanya.

          “Ayah.” Lembut suara itu masuk ke telinga.

Musalmah tarik kekunci hingga ensel jatuh dan daun pintu dikuak. Ayahnya melangkah masuk.

          “Mah dah tidur?”

          “Baru nak lelap ayah.”

          “Ayah nak minta maaf sebab pukul Mah tanpa usul periksa siang tadi.”

Musalmah terdiam. Matanya mudah pula berkaca.

          “Seharusnya ayah pukul kerana mendidik bukan kerana terlalu ikutkan perasaan yang membabi buta.”

Menitik juga air mata Musalmah. Mulutnya tergagap-gagap nak bercakap.

          “Ayah tak marah kalau Mah nak ke kubur mak tapi Mah kena bagitahu ayah. Biar ayah yang hantar. Ayah risau kalau Mah pergi sendiri dengan adik. Kebun tu banyak ular. Kebun Pakcik Peng banyak anjing. Lagipula Mah tu perempuan. Kalau orang tangkap Mah, bawa masuk hutan, buat sesuatu yang tak baik pada Mah, macam mana ayah nak tolong?”

Musalmah angguk kepala. Kini, baru dia faham maksud sebenar ayahnya melarang dia pergi ke kubur bersama adiknya.

          “Baik ayah. Mah faham.”

          “Dah lah. Pergi tidur.”

Musalmah mengangguk. Pak Daim keluar dari bilik anaknya. Musalmah rapatkan pintu dan menguncinya semula. Lampu ditutup setelah lilin dinyalakan. Buku puisi digapai dan malam itu, puisi yang tulis Musalmah terasa sangat jauh ekapismenya pergi sampai dia jadi lupa bagaimana sakitnya dilibas tali pinggang siang tadi.

Terima kasih kerana sudi singgah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience