Langkah Izhan perlahan menyusuri koridor bangunan fakulti. Kali ini, dia tidak terus pulang. Sebaliknya, dia singgah di kawasan lapang berhampiran tasik buatan universiti — tempat yang jarang dikunjunginya. Angin senja bertiup lembut, menggoyangkan dedaunan dan menyegarkan fikirannya yang bercelaru.
Dia duduk di bangku batu, membiarkan dirinya larut dalam suasana tenang itu. Tangannya mengeluarkan earbuds untuk mendengar muzik yang biasanya menghiburkan, kali ini cuma menjadi latar kosong.
Sedang dia leka memerhati permukaan tasik, terdengar suara ketawa halus dari kejauhan. Matanya terarah kepada sekumpulan pelajar perempuan yang baru selesai aktiviti berkumpulan — antara mereka, Aurora.
Bersama beberapa rakan fakulti, Aurora ketawa kecil sambil mengemas alat tulis dan buku-buku nota. Dia tidak nampak Izhan. Tapi Izhan melihat jelas — ada sisi dirinya yang belum pernah dia lihat. Sisi yang tenang, sederhana, dan jauh dari bayang sinis yang pernah terlukis dalam mata gadis itu.
Izhan tidak mendekat. Dia tahu masanya belum tiba. Tetapi melihat Aurora tertawa begitu, membuatkan hatinya sedikit goyah — ada sesuatu tentang gadis itu yang tidak mahu hilang dari fikirannya.
Telefon di tangan dikeluarkan. Kali ini, bukan untuk menatap gambar, tetapi dia membuka aplikasi catatan. Sesuatu yang jarang dilakukannya.
"She doesn't know. But that smile made my whole day make sense."
Dia simpan nota itu, menutup telefonnya kembali. Lalu berdiri perlahan dan meninggalkan kawasan itu tanpa sesiapa menyedarinya — kecuali takdir, yang mungkin sudah merancang sesuatu yang lebih besar buat mereka berdua.
Beberapa langkah selepas meninggalkan tasik, Izhan terdengar namanya dipanggil. Suara yang biasa, lantang tapi bersahaja.
"Izhan!"
Dia menoleh. Adrian sedang berjalan ke arahnya bersama Karl dan Feng. Di belakang mereka, Amran dan Chris masih berbual sambil mengunyah snek dari kedai serbaneka kampus.
"Kita orang cari kau dalam kelas tadi. Tak sangka kau dah cabut awal," ujar Feng, melemparkan botol air ke arah Izhan. Dia sambut dengan satu tangan.
Izhan tersenyum nipis. "Saja jalan-jalan. Angin kampus petang-petang ni best."
Adrian menjeling sambil mengangkat kening. “Atau kau ikut angin lain?”
Izhan hanya ketawa kecil, menyorokkan sebarang petanda yang boleh dibaca. Mereka berjalan bersama-sama ke arah ruang rehat fakulti, lalu duduk di bangku panjang yang biasa jadi port lepak mereka. Sembang bertukar dari tugasan kuliah ke topik-topik ringan — game, filem, dan sedikit gossip kampus.
Namun walau mulutnya menyambung bicara, minda Izhan masih berputar tentang senyuman yang dilihat sebentar tadi.
Karl perasan perubahan itu. “Kau okay, bro?”
“…aku okay,” balas Izhan pendek, masih mengelak dari pandangan Adrian yang kini sudah memicingkan mata.
Tapi dalam dirinya — dia tahu dia sedang berubah. Dan perubahan itu bermula dari seorang gadis yang tak pernah pun berniat untuk mendekatinya.
Dan dia tak pasti sama ada itu menakutkannya… atau membuatkannya mahu lebih.
Chris bersandar pada bangku dengan malas. “Kalau dia cakap ‘okay’, maksudnya ada sesuatu. Betul tak, Adrian?”
Adrian ketawa kecil. “Biasanya, ya. Tapi kita tak nak jadi FBI. Kalau dia nak cerita, dia cerita.”
Izhan gelak perlahan, sekadar mengiyakan tanpa benar-benar memberi jawapan. Dia bersandar ke belakang, memandang langit yang mula berubah warna menjelang senja. Petang yang biasa… tapi hatinya tidak lagi setenang dulu.
“Aku rasa nak balik dulu,” katanya perlahan, bingkas bangun sambil menyarung semula beg galas ke bahu.
“Belum maghrib pun, bro. Chill la dulu,” ujar Amran.
“Ada benda sikit nak buat kat rumah,” jawabnya ringkas. Tiada siapa mendesak. Mereka kenal benar bila Izhan mahu berdiam, maka biarlah begitu.
Izhan melangkah meninggalkan kumpulan itu, tapi langkahnya bukan sekadar menjauh dari teman-temannya — seolah-olah dia sedang menuju ke ruang baru dalam hidupnya. Sesuatu yang dia sendiri belum pasti… tetapi mahu dia teroka, perlahan-lahan.
Share this novel