Dalam tempoh tiga minggu persiapan program itu, mereka sangat sibuk dengan tugasan masing-masing. Namun, di sebalik kesibukan itu, hubungan antara Izhan dan Aurora semakin rapat semula. Ini kerana mereka sering bekerjasama dan meluangkan banyak masa bersama sebagai pengarah program. Keserasian yang pernah wujud antara mereka perlahan-lahan kembali, tanpa mereka sedari — segalanya terasa semula jadi.
Walaupun sibuk dengan persiapan program, mereka tetap menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar. Tugasan dan pembelajaran tidak diabaikan — mereka tetap menyiapkan assignment, menghadiri kelas, dan belajar seperti biasa. Kesibukan itu membuatkan masa terasa singkat, namun mereka bijak membahagikan waktu antara akademik dan komitmen program.
Hari yang dinanti akhirnya tiba. Program anjuran bersama fakulti itu akan bermula tepat jam 10 pagi dan dijangka meriah dengan kehadiran para pelajar, pensyarah, serta tetamu kehormat yang dijemput khas untuk merasmikan majlis. Seawal jam 8 pagi, semua ahli jawatankuasa sudah bersedia di lokasi — memastikan sistem bunyi berfungsi dan menyempurnakan segala persiapan terakhir.
Izhan dan Aurora, selaku pengarah bersama, kelihatan sibuk namun tenang. Mereka saling membantu, memberi arahan, dan memastikan segala perincian berjalan lancar. Tanpa mereka sedari, kerjasama selama tiga minggu itu telah membina kembali sebuah kepercayaan dan rasa yang dulu pernah wujud — kini hadir semula dalam bentuk yang lebih matang.
Adrian, yang bertugas sebagai ketua protokol, tersenyum melihat kedua-duanya. Dia tahu, hari ini bukan sahaja hari penting untuk program itu, tetapi juga mungkin permulaan baru buat Izhan dan Aurora.
Majlis berjalan dengan lancar dari awal hingga ke penghujung, meskipun terdapat sedikit masalah teknikal semasa sesi penutup — namun semuanya dapat ditangani dengan baik oleh pasukan yang cekap dan tenang. Para pensyarah memuji komitmen serta kerja keras yang ditunjukkan oleh seluruh ahli jawatankuasa, terutamanya dua pengarah program, Izhan dan Aurora.
Selepas majlis selesai dan tetamu mula beredar, kesemua jawatankuasa, termasuk pensyarah pengiring, mengadakan sesi perjumpaan ringkas bagi memberi maklum balas dan penghargaan. Suasana santai dan penuh rasa puas hati mengisi ruangan bilik mesyuarat kecil itu.
Kemudian mereka semua dijemput untuk makan bersama di ruang khas yang telah disediakan. Di situ, Izhan dan Aurora duduk bersebelahan, berbual seperti dua sahabat lama yang akhirnya menemui kembali irama yang pernah hilang. Ketawa mereka kembali hadir — bukan sebagai kenangan, tetapi sebagai permulaan yang baru.
Dua minggu berlalu sejak program itu berakhir. Namun apa yang dijangkakan Adrian ternyata meleset. Dia sangka hubungan Izhan dan Aurora akan semakin rapat setelah detik-detik manis sepanjang mereka bekerjasama — namun sebaliknya yang berlaku.
Izhan dan Aurora kembali seperti sebelumnya — saling menyapa sekadar perlu, sekadar bertukar pandang tanpa kata. Tiada lagi perbualan panjang, tiada lagi gelak tawa bersama seperti waktu persiapan program. Adrian perasan perubahan itu. Dia cuba memahami, tetapi sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi.
“Kenapa macam ni semula?” bisik hatinya.
Dia pernah melihat sinar dalam mata Izhan saat bersama Aurora, dan dia juga pasti melihat debar yang sama dalam pandangan Aurora. Tapi entah mengapa, setelah program tamat, seolah-olah mereka memilih untuk menjauh semula — mungkin kerana ragu, mungkin kerana takut untuk berharap... atau mungkin kerana masih ada luka yang belum sembuh sepenuhnya.
Adrian hanya mampu memerhati dari jauh, berharap masa akan menyatukan mereka kembali — atau sekurangnya memberikan jawapan kepada apa yang belum selesai di antara mereka.
Suatu malam yang tenang, selepas pulang dari sesi belajar malam, Adrian dan Izhan duduk di beranda rumah sambil menikmati udara malam yang dingin. Suasana senyap seketika sebelum Adrian bersuara, memecahkan keheningan yang sudah lama memeluk mereka.
"Iz ... aku nak tanya satu benda," kata Adrian perlahan.
Izhan hanya mengangguk tanpa menoleh.
"Apa sebenarnya yang jadi antara kau dengan Aurora? Masa program tu aku tengok kau berdua makin rapat... tapi lepas tu, macam orang asing balik."
Izhan terdiam sejenak, menarik nafas panjang sebelum menjawab dengan suara yang perlahan tapi jelas, “Aku yang menjauh.”
Adrian berpaling memandang Izhan, terkejut. “Kenapa?”
Izhan menunduk. “Sebab aku tak nak timbulkan salah faham... Irfan masih pasangan Aurora. Walaupun aku tak pernah nampak mereka bersama sejak aku balik, aku tahu... aku tak patut ganggu.”
Adrian mendiamkan diri, membiarkan Izhan menyambung.
“Aku rasa bersalah, bro. Aku tak nak jadi sebab hubungan orang lain runtuh. Mungkin Aurora dah bahagia dengan Irfan.”
Adrian mengeluh kecil. “Tapi kau tahu tak... kadang-kadang diam tu lebih menyakitkan. Kau patut cakap dengan dia. Sekurangnya untuk tahu kebenaran.”
Izhan hanya menggeleng perlahan. “Aku tak ada keberanian tu. Kalau dia bahagia, aku akan undur. Aku masih sayangkan dia, tapi kalau dia gembira dengan orang lain, aku akan terima."
Malam itu berakhir dengan sunyi yang panjang, tapi hati Adrian sarat dengan simpati dan rasa tidak puas hati. Dia tahu, cerita antara Izhan dan Aurora masih belum tamat — cuma waktu dan keberanian yang belum tiba.
Pada pagi hari Sabtu, Izhan terbangun sedikit lewat daripada kebiasaannya. Mungkin kerana keletihan selepas seharian penat belajar dan bermain futsal bersama Adrian dan rakan-rakan. Usai mandi, dia segera turun ke dapur untuk bersarapan. Namun langkahnya terhenti seketika apabila melihat kelibat Ryena sedang duduk di ruang tamu bersama ahli keluarganya.
Ryena tersenyum lalu menyapa, “Selamat pagi, Iz.”
Izhan membalas senyuman itu dan menghampiri keluarganya dan Ryena di ruang tamu itu. Dia duduk bersebelahan dengan kakaknya. Dengan nada ingin tahu, dia bertanya, “Bila sampai? Datang sini sebab apa?”
Ryena menjelaskan dengan tenang tujuannya datang, dan Izhan hanya mengangguk mendengar jawapan itu. Tidak mahu berlengah kerana perutnya sudah lapar, dia meminta diri untuk bersarapan terlebih dahulu.
Selesai bersarapan, kakaknya memandang Izhan sambil tersenyum dan berkata, “Iz, bawa lah Ryena jalan-jalan hari ni. Dah lama tak keluar sama-sama kan,.”
Izhan mengangguk patuh tanpa banyak bicara. Dia naik ke bilik untuk menukar pakaian, kemudian kembali ke ruang tamu dan bersedia untuk menemani Ryena keluar.
Share this novel