Hubungan mereka bermula dengan perlahan—tanpa paksaan, tanpa niat untuk mendekati lebih daripada sekadar sapaan. Namun tanpa disedari, setiap pertemuan yang tidak dirancang membawa mereka lebih dekat.
Hari itu, selepas kelas selesai, Aurora sedang duduk sendirian berhampiran tasik universiti, memegang buku yang tidak dibacanya. Angin bertiup perlahan, dan langit mendung membentuk latar melankolik petang itu. Dia hanya ingin menenangkan fikiran, menjauhkan diri dari segala kekalutan tugasan.
“Tengah cari ilham untuk assignment ?” suara Izhan muncul tiba-tiba dari sisi.
Aurora menoleh. “Bukan. Cuma… berehat sekejap.”
Izhan tidak bertanya lebih, hanya duduk di sisi tanpa izin—tapi Aurora tidak membantah. Dari situ, bicara mereka bermula. Tentang muzik yang mereka suka, tentang tekanan di universiti, tentang impian dan keraguan masing-masing. Tiada pengakuan, tiada janji. Hanya dua insan yang mencari ruang untuk bernafas dalam dunia yang penuh kekeliruan.
Sejak hari itu, mereka semakin kerap bersama. Makan tengah hari, belajar bersama di perpustakaan, atau sekadar berjalan sekitar kampus. Kadang-kadang mereka berbual panjang, kadang-kadang diam saja… tapi sunyi itu tidak pernah janggal.
Rakan-rakan mula menyedari perubahan itu.
“Kau pasti korang tak couple?” tanya Chris sambil menyiku Izhan.
“Yes,” jawab Izhan, senyum nipis.
“Cuma kawan tak macam tu,” sahut Karl pula. “Kau jemput dia depan fakulti hari-hari, hantar dia balik kolej, kadang call malam-malam…”
Izhan hanya ketawa mendengar kata-kata sahabatnya itu.
Tiga bulan berlalu. Dalam tempoh itu, Izhan telah membawa Aurora bertemu keluarganya. Mama nya menyambut gadis itu dengan tangan terbuka. Aurora juga cepat mesra dengan kakak perempuan Izhan, malah membantu memasak bersama mama dan kakak Izhan di dapur.
Bila cuti pertengahan semester tiba, Izhan sendiri menawarkan untuk menghantar Aurora pulang ke kampung.
“Awak pasti nak hantar saya?” tanya Aurora ketika itu.
Izhan hanya tersenyum. “ Ya, saya nak tahu tempat awak dibesarkan.”
Dan dia benar-benar ikut. Tiga hari di kampung Aurora, Izhan bangun seawal pagi untuk melihat apa sahaja yang keluarga Aurora lakukan. Dia menyelami kehidupan yang jauh berbeza daripada rutin kota raya dan dia menyukainya.
Izhan tidak menyangka, kehidupan di rumah panjang yang didiami keluarga Aurora mampu memberikan ketenangan yang selama ini tidak pernah dia rasakan di bandar. Kawasan kampung itu sudah semi-moden, dengan bekalan elektrik stabil, talian internet yang baik dan jalan kecil yang diturap simen menghubungkan rumah ke sekolah dan kedai runcit.
Seawal pagi, Izhan sudah bangun apabila terdengar laungan ayam jantan bersahutan. Tanpa disuruh, dia ikut ayah Aurora ke belakang rumah panjang untuk menyemai benih cili dan sayur. Tangan Izhan yang biasanya hanya memegang tetikus dan papan kekunci, kini kotor dengan tanah merah yang hangat di bawah sinaran matahari pagi.
“Lain dari biasa, ya?” ayah Aurora sempat berseloroh.
Izhan tersenyum. “Tapi rasa puas, pakcik.”
Waktu tengah hari, Izhan membantu ibu Aurora menyiapkan hidangan. Walaupun kekok menghiris serai dan bawang, dia mencuba juga—sekali gus menghiburkan ahli keluarga yang melihatnya bersungguh-sungguh.
“Rajin juga ya kamu ni,” nenek Aurora bersuara sambil tersenyum tanpa gigi, duduk di kerusi rotan sambil menganyam daun kelapa.
Petangnya, Izhan ikut Aurora ke sungai kecil yang terletak tidak jauh dari rumah panjang. Mereka hanya duduk di batu besar tepi tebing, kaki direndam di air jernih yang mengalir perlahan.
“Macam terapi semula jadi,” Izhan berkata sambil melihat buih-buih kecil dibawa arus.
Aurora hanya mengangguk, tenang. Di sinilah dia membesar. Tempat ini menyimpan segala kenangan zaman kecilnya.
Malam pula diisi dengan acara santai di anjung rumah panjang. Jiran-jiran yang rapat akan datang berbual, minum kopi panas, dan kadang-kadang bermain gitar atau menyanyi lagu rakyat. Izhan menyertai mereka, meskipun pada awalnya malu. Tapi selepas dia menyanyikan lagu klasik dengan gitarnya sendiri — yang dibawanya tanpa pengetahuan Aurora — semua orang bersorak kecil dan menepuk tangan.
Aurora yang duduk di sisi hanya tersenyum melihat sisi Izhan yang tidak pernah ditunjukkan di universiti.
Dia tidak pernah tahu dunia ini wujud — dunia yang tidak terlalu moden, tetapi cukup kaya dengan rasa. Dunia yang menciptakan gadis seperti Aurora.
Dan mungkin, jauh dalam hati Izhan, dia tahu... dia sedang jatuh cinta, bukan pada tempat ini sahaja, tapi pada segalanya yang ada bersamanya di sini.
Malam itu langit gelap berhiaskan gugusan bintang yang bersinar terang. Rumah panjang Aurora diterangi cahaya lampu malap dan lilin-lilin kecil yang dipasang sepanjang anjung utama. Malam ini, keluarga dan jiran terdekat menganjurkan majlis kecil-kecilan sebagai tanda penghargaan kepada tetamu mereka — Izhan Zayn.
Bukan majlis besar, cuma sederhana dan penuh makna. Ada kuih tradisional, nasi pulut, rendang ayam kampung dan air teh bunga panas yang dihidang dalam cawan bercorak lama. Suasana penuh tawa dan senyum.
Izhan duduk di sisi Aurora, tidak terlalu dekat, namun cukup untuk merasakan kehadiran antara satu sama lain. Dia memerhati bagaimana Aurora tersenyum kepada jiran-jiran yang menyapanya, cara dia membantu ibu di dapur, dan bagaimana dia tidak pernah lupa untuk menjenguk neneknya yang duduk sedikit jauh.
Selesai majlis, suasana beransur reda. Orang ramai mula beredar pulang ke rumah masing-masing, dan keluarga Aurora perlahan-lahan membersihkan ruang anjung. Izhan dan Aurora menawarkan diri untuk mengemas cawan dan pinggan, namun ibu Aurora menyuruh mereka berehat sahaja.
“Pergi duduk dekat tangga sana. Angin malam ni elok,” ujar ibu Aurora sambil tersenyum.
Mereka duduk di tangga. Dari situ, mereka boleh lihat kawasan sawah dan hutan yang mengelilingi kampung. Ia tempat paling tenang, dan malam ini, paling indah.
Izhan dan Aurora duduk bersebelahan di tangga. Angin sepoi membawa bau tanah lembap dan daun basah. Bunyi serangga malam bersahutan dari celah pokok. Suasana seperti membekukan waktu.
“Esok awak balik,” Aurora bersuara perlahan, matanya memandang gelap yang luas di hadapan.
Izhan angguk. “Ya. Tapi, saya rasa... saya tinggalkan sesuatu kat sini.”
Aurora memandang sekilas, dahi berkerut.
“Saya tinggalkan hati saya,” sambung Izhan, perlahan tapi pasti. “Bersama semua yang saya jumpa di sini. Awak... keluarga awak... tempat ni. Semua yang buat saya rasa hidup tanpa perlu pura-pura.”
Aurora terdiam. Dia tidak menolak. Tapi dia juga tidak membalas.
Hanya diam. Tapi dalam diam itu, Izhan tahu — dia akan kembali.
Dan dia tahu, Aurora sedang belajar membuka sedikit ruang di dalam dunianya, untuk seseorang seperti dia.
Di malam terakhirnya di kampung, mereka duduk di atas tangga kayu rumah Aurora, melihat langit gelap bertabur bintang.
“Terima kasih sebab sudi terima saya di sini,” ujar Izhan perlahan.
Aurora menoleh. “Sama-sama. Terima kasih juga hantar saya balik.”
Mereka diam seketika, menikmati angin malam yang nyaman.
Tiada pengakuan cinta.
Hanya dua hati yang sedang belajar memahami — bahawa kadang-kadang, kehadiran lebih bermakna daripada janji manis. Dan mungkin, perlahan-lahan… cinta sedang tumbuh, tanpa mereka perlu memaksa.
Share this novel