Seminggu telah berlalu sejak pembukaan rasmi litar PR1M3. Sejak hari itu, Izhan dan Adrian mula menggunakan sepenuhnya kemudahan yang mereka usahakan selama ini. Mereka akan menjalani sesi latihan setiap hari sabtu dan ahad untuk menjalani sesi latihan intensif bersama pasukan teknikal mereka.
Bunyi deruman enjin, aroma tayar terbakar, dan kelajuan meluncur di selekoh tajam menjadi terapi jiwa buat Izhan. Walaupun hatinya masih berasa sepi dan terluka akibat apa yang berlaku antara dia dan Aurora, setiap kali dia menaiki jentera PR1M3 di atas litar, semua kesedihan itu seakan-akan hilang buat seketika. Hanya dia, motosikalnya, dan jalan yang terbentang di hadapan. Namun, apabila malam menjelma dan dia bersendirian, kenangan serta rasa kehilangan itu kembali menghantui.
Dalam masa dua minggu sahaja lagi, Izhan dan Adrian bakal berlepas ke Le Mans, Perancis—lokasi pusingan ketujuh MotoGP. Segala persiapan teknikal dan logistik sedang dipantau oleh pasukan mereka, manakala Izhan dan Adrian berusaha keras untuk menyempurnakan semua tugasan universiti sebelum berangkat ke Eropah.
Walaupun jadual mereka sangat padat, kedua-duanya tidak mahu mengabaikan pelajaran. Mereka masih pelajar di Universiti Nexus, dan kejayaan akademik tetap penting bagi mereka. Setiap malam, mereka berdua akan duduk bersama menyemak nota kuliah dan menyiapkan tugasan. Mereka juga sentiasa hadir kelas secara fizikal. Pensyarah-pensyarah mereka sangat memahami dan sentiasa memberikan ruang serta sokongan, melihat betapa seriusnya mereka membahagikan masa antara dunia akademik dan sukan profesional.
Satu malam, selepas selesai sesi latihan petang, Izhan duduk bersendirian di atas kerusi panjang berhampiran pit utama. Angin sejuk meniup perlahan. Dia memandang langit yang mula gelap, memikirkan segala apa yang telah dilaluinya selama ini. Kehidupan sebagai pelumba bukanlah mudah. Ia penuh tekanan, jadual ketat, kecederaan, dan harapan tinggi daripada pasukan serta peminat.
Namun, bagi Izhan, cabaran paling besar bukanlah dari atas litar—tetapi dari hatinya sendiri. Kehilangan Aurora bukanlah perkara yang mudah untuk dia lupakan. Melihat gadis itu kini bersama orang lain, dan menyedari bahawa mereka mungkin tidak akan kembali bersama, membuatkan jiwanya kadangkala terasa kosong. Tetapi, dia sedar, hidup mesti diteruskan. MotoGP kini menjadi fokus utama dalam hidupnya.
Adrian datang menghampirinya, membawa dua cawan di tangannya. “Kau okay?” tanya Adrian sambil duduk di sebelahnya.
Izhan mengangguk perlahan. “Aku cuba. Kadang-kadang okay, kadang-kadang rasa macam hilang arah.”
Adrian tidak membalas dengan kata-kata tersebut. Dia hanya menepuk belakang bahu Izhan dengan penuh pemahaman. Dia tahu tiada kata-kata yang mampu mengubah rasa hati seseorang yang sedang terluka. Yang penting, dia ada di sisi untuk sokongan.
Beberapa hari berikutnya, mereka menghabiskan masa dengan jadual yang lebih ketat. Selain latihan fizikal dan mental, mereka juga menjalani simulasi perlumbaan dan diskusi teknikal bersama jurutera PR1M3. Mesin PR1M3 V4 semakin stabil, dan segala data prestasi menunjukkan bahawa mereka berada di tahap yang kompetitif.
Izhan juga mendapat pesanan daripada prinsipal pasukan mereka, Frederick Mola, bahawa media Eropah kini mula memberi perhatian kepada mereka berdua yang juga sebagai pengasas pasukan sendiri—sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah MotoGP. Berita itu menjadi motivasi tambahan buat Izhan dan Adrian untuk memberikan persembahan terbaik nanti.
Sebelum hari keberangkatan mereka ke Le Mans, satu majlis ringkas penghargaan diadakan oleh pihak Universiti Nexus untuk memberikan sokongan moral kepada Izhan dan Adrian. Ramai pelajar hadir, termasuk Aurora. Namun, Izhan hanya memberi tumpuan kepada acara. Dia kelihatan tenang dan profesional, membalas senyuman dan kata-kata semangat dari rakan-rakan tanpa menunjukkan sebarang emosi terganggu.
Aurora memandang dari jauh. Hatinya sedikit sayu. Dia tahu, Izhan sedang mengejar impiannya dan dia benar-benar bangga dengan lelaki itu.
Malam sebelum penerbangan ke Le Mans, Izhan menatap semula rak buku di dalam biliknya. Di salah satu sudut, terselit satu kotak kecil berisi gambar dan nota lama—kenangan antara dia dan Aurora. Dia pegang sebentar, sebelum tersenyum nipis dan meletakkannya semula.
“Aku dah lepaskan... dan aku dah bersedia untuk permulaan yang baru,” bisiknya perlahan.
Esoknya, mereka berdua terbang ke Perancis, membawa harapan, tekad, dan cita-cita besar. Le Mans bukan sekadar satu litar—ia adalah pentas untuk membuktikan segalanya.
Share this novel