Bab 31: Hidup Tanpa Jawapan

Romance Series 967

Satu semester akhirnya berlalu. Aurora menjalani kehidupannya dengan sebaik mungkin, walaupun pertengahan semester itu penuh dengan luka, kehilangan, dan kesedihan yang dalam.

Dia belajar menerima kenyataan dan mengurus perasaannya. Walau sesekali ingatan kepada Izhan datang menerpa tanpa diundang, dia belajar untuk menarik nafas panjang, tersenyum kecil dan membiarkannya berlalu — perlahan tapi pasti.

Tamat sahaja peperiksaan akhir, dia pulang ke kampung halaman. Tujuannya cuma satu — merehatkan minda dan menenangkan jiwanya. Dia menyibukkan diri dengan membantu ibu di rumah dan menjalani latihan industri di sebuah syarikat tempatan.

Waktu cuti ini, Aurora memanfaatkannya sebaik mungkin. Dalam diam, dia mengubati dirinya. Melangkah sedikit demi sedikit ke hadapan. Namun di suatu sisi hatinya, tetap ada ruang kosong yang tak dapat ditutup.
Dari pertengahan sehingga akhir semester Adrian langsung tiada khabar dan dia juga tidak menghadiri kelas. Senyap. Sunyi. Bagai ditelan bumi. Aurora tidak tahu harus mengharapkan apa lagi.

Dalam kesibukan tugasan dan peperiksaan akhir, Aurora juga tidak sempat bertemu dengan sahabat-sahabat rapat Adrian dan Izhan. Setiap orang sibuk mengejar masa, menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.

Namun setiap kali dia berjalan sendirian melewati fakulti, atau duduk di meja belajar hingga lewat malam — satu rasa tetap menghantuinya.

Kosong.

Kosong tanpa Izhan.

“Kalau Izhan masih hidup... mengapa tiada seorang pun beritahu apa-apa?”

Namun walau hatinya luka dan kepalanya penuh dengan persoalan, Aurora tetap memilih untuk terus berjalan ke depan. Dia tidak mahu lagi menjadi lemah, tidak mahu lagi larut dalam kenangan. Dia tahu itu bukan lagi pilihan.

Pada masa yang sama, Irfan sering cuba mendekati Aurora semula, berharap dapat memperbaiki hubungan mereka yang telah lama renggang. Dia berulang kali mengajak Aurora berjumpa, memohon peluang kedua untuk menjernihkan keadaan.

Namun Aurora tetap dengan pendiriannya.

Hatinya sudah tertutup untuk cinta yang baru.

Bagi Aurora, rasa sayang dan cinta hanya milik seorang — Izhan.
Walaupun dia tidak tahu bagaimana keadaan Izhan sekarang, hatinya tetap setia.
Cinta itu kekal hidup, walau tanpa khabar, walau tanpa kepastian.

Sudah terlalu banyak yang Aurora lalui. Kecurangan Irfan bukanlah luka yang dalam di hati Aurora. Oleh sebab itu dia tidak pernah menyoal tentang itu, dia tahu segalanya. Cerita dari ibunya, dari rakan-rakan sekampung yang pernah melihat Irfan bersama wanita lain, semua itu dia simpan sahaja.

Kini, apabila Irfan muncul semula dan mengharapkannya kembali, Aurora hanya mampu tersenyum hambar.

Irfan masih tidak putus asa. Dia menghantar pesanan, menghubungi Aurora dengan harapan bahawa masa akan melembutkan hati gadis itu. Namun bagi Aurora, cintanya telah mati untuk Irfan.

Yang hidup... hanya ingatan dan doanya buat Izhan.
Meskipun tanpa sebarang khabar, hatinya tetap berharap agar satu hari nanti, Izhan kembali dan segalanya dapat dimulakan semula — dari takdir yang benar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience