Langit Sabtu itu biru terang, seolah menyambut semula tenang yang hilang. Selepas berminggu-minggu tenggelam dalam lautan kerja, akhirnya PR1M3 dan segala tugasan universiti selesai dengan sempurna. Izhan menarik nafas panjang sewaktu duduk di biliknya, pandangan matanya akhirnya bebas dari skrin komputer yang selama ini menjadi temannya siang dan malam.
Tangannya perlahan membuka aplikasi pesanan, melihat kembali mesej terakhir Aurora yang belum pernah dia balas.
“Jangan risau kalau sibuk. Saya faham. Cuma... harap awak jaga diri.”
Dia menelan keluh. Rasa bersalah itu kembali menikam. Dia menaip sesuatu.
“Aurora, saya minta maaf sebab baru menjawab pesanan awak sekarang. Kalau awak sudi, jom keluar.”
Jawapan Aurora mengambil masa. Beberapa minit yang terasa seperti berjam. Akhirnya mesej itu tiba.
“Awak patut berehat. Mesti awak penat.”
"Hmm, penat lah juga tapi kalau tak jumpa awak lagi lah penat."
"Baiklah. Tapi esok awak kena rehat ya?"
"Okay."
Izhan tersenyum lebar.
Izhan menjemput Aurora di kolej. Dia sangat terpegun melihat kecantikkan Aurora.
Izhan senyum, “Awak nampak... cantik”
Aurora hanya membalas dengan senyuman kecil. Namun matanya menyimpan seribu cerita.
Mereka menonton filem kegemaran Aurora — yang entah bagaimana Izhan boleh tahan walaupun itu genre yang dia tidak pernah minat. Kemudian mereka berjalan ke beberapa lokasi pelancongan dalam bandar — galeri seni, taman botani, dan sempat menaiki feri menyusuri sungai buatan yang dihias seperti bandar luar negara.
“Macam honeymoon dalam drama,” Izhan berseloroh ketika mereka berdiri bersebelahan di tepi pagar feri.
Aurora menjeling kecil. “Anggap saja saya teman pelancong jalan-jalan.”
Malam itu, mereka ke waterfront.
Lampu-lampu bergemerlapan di permukaan air. Kanak-kanak bermain buih sabun, pasangan berpegangan tangan, dan suara busker menyanyi lagu balada perlahan di sudut jalan.
Izhan dan Aurora duduk di bangku kayu menghadap sungai. Angin malam membelai senyap.
Izhan memandang Aurora, tidak berkata apa-apa seketika. Cuma menatap, seolah mahu menyimpan momen itu dalam ingatan.
“Aurora…” suaranya perlahan.
Aurora berpaling sedikit.
“Terima kasih... sebab sudi keluar dengan saya hari ini. Saya takut awak dah tak nak jumpa saya.”
Aurora menghela nafas perlahan. “Tidak mengapa, saya faham dengan kesibukan awak sekarang.
Izhan tersenyum kerana Aurora sangat memahaminya.
“Saya berjanji tidak akan mengabaikan awak lagi,” katanya akhirnya.
Aurora tidak menjawab. Tapi buat pertama kali malam itu, dia senyum — senyum yang tidak dibuat-buat, tidak dipaksa, dan tidak terlalu manis.
Hanya cukup… untuk Izhan tahu, dia masih diberi peluang.
Selepas beberapa ketika berdiam, Izhan bersandar ke belakang bangku, matanya merenung langit malam yang dipenuhi bintang. "Pelik kan… dulu saya hidup terlalu cepat. Sekarang, saya cuma nak masa macam ni — tenang, perlahan, dan… ada awak."
Aurora masih senyap, namun dia tidak bangun. Kakinya digoyang perlahan, sesekali matanya melirik ke arah air sungai yang beralun lembut.
Izhan menyambung, suaranya kini lebih perlahan. “Awak tahu tak… sejak balik dari kampung awak, saya rasa banyak benda berubah. Saya belajar hargai diam. Hargai senyap. Hargai masa yang tak perlu pun diisi dengan cakap-cakap kosong.”
Aurora berpaling sedikit. “Kadang-kadang diam lebih kuat dari kata-kata.”
Izhan ketawa kecil, pendek dan jujur. “Betul tu.”
Suasana sekeliling terus dipenuhi bunyi malam — riuh rendah dari pengunjung, bunyi gitar dari busker, dan deruan angin yang berhembus perlahan.
Kemudian, Izhan menyeluk poket jaketnya dan mengeluarkan sesuatu.
“Saya ada beli ni masa di Sepanyol. Tapi saya lupa nak beri tadi.” Dia menghulurkan kotak kecil, baldu biru tua.
Aurora memandangnya sejenak, kemudian mengambilnya perlahan. Dia membuka kotak itu — seutas rantai halus dengan loket berbentuk bintang kecil, berkilau sederhana di bawah cahaya lampu.
“Bila saya tengok benda tu… saya teringat awak.”
Aurora tidak berkata apa-apa. Tangannya menutup semula kotak itu, dan dia genggam kemas di riba.
“Terima kasih.”
Itu saja. Tapi Izhan tahu — kadang-kadang dua patah perkataan itu cukup untuk menyembuhkan waktu-waktu yang dilupakan.
Malam semakin larut. Mereka masih di bangku itu, masing-masing tidak tergesa untuk pulang. Izhan dan Aurora hanya duduk bersebelahan, dalam diam yang selesa, seperti dua insan yang akhirnya menemui tenang yang dicari.
Dan dalam hati Izhan, dia tahu — malam ini bukan sekadar pertemuan selepas minta maaf. Ia permulaan kepada sesuatu yang lebih besar… walaupun belum pasti apa.
Langit semakin gelap, dan angin malam mula membawa hawa dingin. Izhan melihat jam di pergelangan tangan, kemudian memandang Aurora di sisi.
“Jom, saya hantar awak balik.”
Aurora hanya angguk perlahan. Mereka berjalan ke arah kereta yang diparkir tidak jauh dari waterfront itu. Suasana masih sepi antara mereka, tapi bukan kekok — sebaliknya penuh pengertian.
Sepanjang perjalanan, lagu dipasang perlahan, lagu balada Sepanyol mengisi ruang hening. Izhan sesekali menjeling ke arah Aurora yang memandang keluar tingkap, wajahnya tenang dalam cahaya jalan yang suram.
Sampai di hadapan kolej, Izhan memberhentikan kereta. Enjinnya masih hidup, tapi tiada siapa tergesa turun.
“Terima kasih… untuk hari ini,” ujar Aurora perlahan, membuka tali pinggang keledarnya.
Izhan mengangguk. “Maaf sebab terlepas banyak hari… Tapi saya janji, saya takkan hilang macam tu lagi.”
Aurora tidak membalas, tapi dia senyum sedikit — senyuman yang ringkas, namun dalam.
Kemudian Izhan keluar dari kereta dan membuka pintu kereta Aurora.
Sebelum sempat melangkah jauh, Izhan bersuara, “Aurora.”
Gadis itu menoleh.
“Selamat malam.”
“Selamat malam, Izhan.”
Dan dengan itu, dia berjalan masuk menuju blok kolejnya. Izhan memerhati sehingga kelibat Aurora hilang di balik bangunan itu. Baru dia menghela nafas panjang, seperti melepaskan beban yang dipikul sejak hari mereka berjauhan.
Malam itu berakhir bukan sekadar dengan hantar pulang. Ia berakhir dengan harapan — bahawa mereka masih berjalan ke arah yang sama, perlahan-lahan… tapi bersama.
Share this novel