Bab27: Saat Dunia Terhenti

Romance Series 967

Selesai segala urusan rasmi pasca perlumbaan—sidang media, sesi bersama media, dan pemeriksaan teknikal motorsikal—Adrian segera menukar pakaian. Tanpa membuang masa, dia bersama ketua pasukan, Frederick Mola, serta beberapa kru teknikal PR1M3 terus bergegas ke hospital yang terletak kira-kira 15 minit dari Litar Le Mans.

Beberapa staf PR1M3 telah pun berada di sana sejak Izhan dibawa keluar dari trek. Mereka menemani Izhan sejak awal, memastikan dia menerima rawatan segera dan memberitahu perkembangan semasa kepada keluarga dan pasukan.

Khabar tentang kemalangan Izhan kini sudah tersebar luas. Dunia MotoGP, media sosial, dan seluruh peminat sedang memperkatakan tentang insiden itu. Dan jauh di Sepanyol, datuk Izhan—seorang bangsawan ternama yang dihormati—turut mendapat tahu. Tanpa berlengah, beliau terus menghubungi doktor pakar terbaik yang ada di Perancis. "Izhan cucu saya. Jaga dia seperti kamu menjaga nyawa kamu sendiri," pesan datuknya tegas kepada pengurus perubatan hospital.

Setibanya di hospital, Adrian terus melangkah laju ke ruang menunggu ICU. Wajahnya muram, penuh kegusaran. Frederick Mola berada di belakangnya, menepuk bahunya sesekali untuk menenangkan, walaupun hatinya sendiri goyah.

Seorang kru PR1M3 yang menemani Izhan sejak awal bangkit menyambut mereka.

“Macam mana Izhan?” soal Adrian dengan suara parau, hampir bergetar. Matanya merah, jelas tidak mampu lagi menahan emosi.

Kru itu menunduk sejenak, kemudian bersuara perlahan, “Doktor dah beri maklumat awal. Izhan alami gegaran otak dan 6 tulang rusuknya retak. Dia masih belum sedarkan diri…”

Adrian terduduk di kerusi yang tersedia di tepi dinding. Kepalanya tunduk, tangannya menggenggam kuat topi pasukannya. Nafasnya berat.

“Semua ni… salah aku ke?” bisiknya, hampir tak terdengar.

Frederick duduk di sebelahnya. “Ini bukan salah sesiapa, Adrian. Ini perlumbaan. Tapi kita akan buat apa saja untuk Izhan. Dia kuat… dia akan lawan.”

Adrian mengangguk perlahan, namun matanya terus tertancap ke pintu ICU yang tertutup rapat.

Malam mula melabuhkan tirainya. Aurora yang sejak tadi menangis di biliknya, akhirnya tertidur dengan telefon masih berada dalam genggaman. Matanya bengkak, pipinya masih basah dengan air mata yang belum sempat kering.

Sebelum terlelap, hanya satu nama bermain dalam hatinya—Izhan.

Perasaannya hancur apabila melihat berita kemalangan itu. Dia cuba menahan, cuba menepis rasa cemas dengan menyakinkan diri bahawa Izhan akan selamat. Namun hati seorang wanita, apatah lagi yang pernah menyayangi lelaki itu sepenuh jiwa—tidak mudah untuk berpura-pura kuat.

Dia mahu berada di sisi Izhan. Tapi bagaimana? Adakah masih berhak?

Dan di antara kesedihan itu, dia tersedar satu perkara yang selama ini dia cuba nafikan—perasaannya terhadap Izhan masih belum padam. Malah mungkin, lebih besar daripada apa yang pernah dia rasakan terhadap Irfan.

Di hospital, Adrian tidak pulang. Dia tidur di bangku luar ICU, bersandar dengan jaket pasukan membalut tubuhnya. Frederick, kru, dan beberapa ahli pasukan bergilir menjenguk ke dalam melalui cermin kecil di pintu, berharap ada pergerakan dari tubuh Izhan yang masih tidak sedarkan diri.

Doktor pakar melakukan pemeriksaan dan hasil imbasan menunjukkan keadaan Izhan stabil namun kritikal. Segalanya masih berjaya dikawal, dan sekarang mereka hanya perlu tunggu dia sedar.

“Kami percaya dia hanya koma sementara. Fizikalnya kuat. Kalau semuanya berjalan lancar, dia boleh pulih dalam beberapa minggu. Tetapi… untuk kembali berlumba—itu bergantung pada semangatnya nanti,” jelas doktor itu kepada Adrian dan Frederick.
Adrian menghela nafas lega, walau masih berat.

Beberapa hari telah berlalu sejak kejadian itu, namun keadaan Izhan masih tidak berubah. Dia masih tidak sedarkan diri, terbaring kaku di katil hospital ICU, dengan wayar-wayar dan mesin yang terus memantau denyut nadi serta tekanan tubuhnya. Di sebalik dinding kaca, setiap orang yang datang melihatnya hanya mampu berdoa dalam diam, berharap keajaiban akan segera berlaku.

Suasana di hospital itu menjadi saksi bisu kepada kedukaan yang menyelubungi ramai pihak.

Dari Sepanyol, beberapa ahli keluarga terdekat Izhan telah tiba – ibu bapanya yang segera terbang dari Barcelona bersama neneknya yang selama ini menjaga Izhan sewaktu kecil, serta datuknya . Mereka melangkah masuk ke bilik ICU dengan langkah yang perlahan, penuh rasa cemas dan sebak. Wajah datuk Izhan yang selalunya tegas kini kelihatan sangat murung. Matanya memandang cucunya dengan penuh kasih yang tersembunyi di sebalik ketegasan selama ini.

Ibunya menggenggam tangan Izhan yang kaku dan mengusap lembut pipinya.

"Iz, mama di sini. Bukalah mata tu, sayang. Lawan… macam selalu Iz buat," bisiknya sambil menahan tangis.

Di garaj PR1M3, suasana juga tidak seperti biasa. Segala aktiviti dihentikan buat sementara waktu. Semua kru diarahkan untuk berehat. Prinsipal pasukan, Frederick Mola, membuat keputusan rasmi untuk menarik diri dari perlumbaan seterusnya – sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh mana-mana pasukan MotoGP.

“Kami bukan hanya satu pasukan. Kami adalah keluarga. Dan keluarga tidak akan berlumba selagi salah seorang daripada kami terlantar dalam pertarungan hidupnya,” ujar Frederick dalam satu kenyataan rasmi kepada media.

Pengumuman itu mencetuskan gelombang sokongan daripada pasukan-pasukan lain. Ramai pelumba ternama dan legenda MotoGP turut mengirim mesej sokongan, malah beberapa daripada mereka datang melawat Izhan.

Adrian pula kekal di sisi Izhan, hampir setiap hari dan malam. Dia tidak bercakap banyak. Dia hanya duduk dan menunggu, membaca mesej-mesej peminat untuk Izhan, dan kadang-kadang… bercakap dengan Izhan walaupun tahu tiada balasan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience