Bab 13: Langkah Perlahan Menuju Hati

Romance Series 967

Keesokan paginya, sinar matahari menyelinap masuk melalui celah langsir bilik Izhan. Dia membuka mata perlahan. Tubuhnya masih terasa penat, tapi ada sesuatu yang hangat di dadanya — bukan dari selimut, tetapi dari kenangan malam semalam.

Aurora.

Nama itu melintas dalam fikirannya dan senyuman kecil terukir di bibir.

Tangannya mencapai telefon. Tiada mesej baru, tapi itu tidak mengganggunya. Hubungan mereka bukan tentang siapa mesej dahulu atau siapa yang lebih cepat membalas. Ia lebih dalam daripada itu — perlahan, tetapi jujur.
Fikirannya kembali kepada semalam, kepada langkah-langkah perlahan di waterfront, kepada suara Aurora yang perlahan namun penuh makna, kepada kotak baldu biru yang kini pasti tersimpan rapi di tempatnya.

Dia menarik nafas panjang lalu bangun untuk bersiap pergi ke universiti.

Di kolej Aurora, pagi itu juga membawa tenangnya sendiri. Aurora duduk di meja belajar biliknya, membuka kotak kecil yang diberikan Izhan malam tadi. Loket bintang itu bersinar lembut.

Dia memegangnya lama, seolah cuba memahami maksud di sebalik pemberian itu. Hatinya tidak terburu. Dia bukan gadis yang mudah terbuai. Tetapi Izhan... dia bukan sekadar orang yang lalu singgah.

Petang itu, kelas Izhan tamat lebih awal. Dia dan rakan-rakannya terus pergi ke kafe. Semasa di kafe, dia terserempak dengan Aurora yang sedang bersama rakannya. Namun, dia hanya menegur Aurora secara ringkas kerana tidak mahu mengganggu mereka meluangkan masa bersama.

Mereka berada di kafe selama hampir satu jam, masing-masing sibuk berbual dan bergelak ketawa bersama sahabat sendiri. Izhan dan Aurora tidak berinteraksi lebih daripada sapaan awal tadi, namun sesekali mata mereka bertembung secara tidak sengaja.

Setelah selesai makan dan berbual, Izhan dan rakan-rakannya memutuskan untuk beredar dari kafe kerana mereka telah merancang untuk bermain futsal petang itu. Sebelum pergi, Izhan sempat menegur Aurora dan rakannya sekali lagi dengan senyuman mesra.

Karl dan Feng, seperti biasa, sempat mengusik Izhan dan Aurora, membuatkan suasana menjadi sedikit kecoh namun masih dalam nada bersahabat. Aurora hanya tersenyum, dan Izhan sekadar menggeleng kepala sambil ketawa kecil—mereka berdua tidak ambil hati dengan gurauan itu. Beberapa minit kemudian, Izhan dan rakan-rakannya beredar dari kafe.

Mereka bermain futsal dari jam 6 petang hingga 8 malam. Walaupun penat, semua orang kelihatan puas dan gembira. Peluh membasahi baju, namun semangat di wajah masing-masing masih membara.

Sebelum pulang, mereka singgah di sebuah gerai makan tepi jalan yang sering menjadi port kegemaran mereka. Perut yang dari tadi berbunyi tidak lagi dapat ditahan. Bau nasi goreng panas dan teh ais sejuk menggoda deria mereka sebaik duduk.

Sambil menikmati juadah, suasana tiba-tiba berubah apabila Karl dengan senyuman nakal membuka topik yang sudah lama ingin dibangkitkan.

"Iz, cuba kau bagitahu kita orang bila kau dengan Aurora nak jadi pasangan rasmi?" tanya Karl sambil mengangkat kening.

Rakan-rakan lain sudah mula tersengih, menunggu reaksi Izhan. Dia tersenyum tenang sambil menyuap nasi ke mulut.

“Lambat lagi bro. Lagipun aku baru je kenal dia” jawabnya ringkas.

“Jangan simpan lama sangat bro, nanti menyesal,” kata Karl.

Sahabatnya yang lain Mengiyakan kata-kata Karl tersebut.

Setelah Izhan menjawab segala pertanyaan tentang hubungannya dengan Aurora, topik perbualan mereka perlahan-lahan beralih ke perkara lain. Suasana kembali santai, dan gelak ketawa mula memenuhi meja makan.

Dalam keseronokan itu, Izhan hanya memerhati rakan-rakannya sambil tersenyum. Walaupun fikirannya sesekali teringat pada Aurora, dia bersyukur dikelilingi sahabat-sahabat yang sentiasa membuat hari-harinya lebih bermakna.

Malam itu, bukan sahaja perut yang kenyang, malah hati mereka turut terasa hangat — disatukan oleh persahabatan yang ikhlas dan momen-momen kecil yang penuh makna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience