Bab 11: Kembali ke Realiti

Romance Series 967

Minggu kedua bulan itu bermula dengan langit kelabu dan angin sejuk yang menyapa kampus Universiti Nexus. Mahasiswa kembali memenuhi ruang fakulti, dewan kuliah, dan kafeteria — wajah-wajah segar selepas dua minggu cuti panjang.

Aurora melangkah ke fakulti Sains Sosial dengan beg sandang kemas di bahu, rambutnya lepas dan sedikit ditiup angin. Cuti lepas banyak mengajarnya tentang perasaan sendiri — bagaimana Izhan yang sebelum ini hanya bayang samar, kini menjadi sosok yang lebih nyata dalam hidupnya.

Di fakulti seberang, Izhan baru saja tiba dari lapangan terbang pagi itu. Matanya masih letih, namun hatinya tenang. Dia rindu suasana kampus… dan Aurora.

Di perpustakaan petang itu, Izhan berjalan menuju meja bacaan biasa yang sering didudukinya. Aurora sudah di situ — membaca buku dengan tenang, tak perasan kehadirannya.
“Saya rindu tempat ni,” kata Izhan perlahan.

Aurora mendongak. Ada senyuman kecil di bibirnya.

“Saya rindu kopi kafeteria,” balasnya, selamba.

Izhan ketawa. “Saya rindu kopi dan awak sekali.”

Aurora hanya senyum, tidak menjawab. Tapi mata mereka bertaut lama.

Mereka tidak terburu-buru. Masih tiada gelaran “pasangan” antara mereka. Tapi semua orang mula perasan — bagaimana Izhan kini lebih matang dalam gerak-geri, bagaimana Aurora lebih terbuka dalam senyum dan bicara.

Di fakulti, Amran dan Chris mula mengusik.

“Bro… kalau kau tak couple, aku pun tak tahu lah!” kata Chris.

Izhan cuma senyum. “Kami kawan. Tapi kawan yang… penting.”

Petang itu, selepas habis kelas terakhir, Izhan dan Aurora berjalan beriringan di laluan pejalan kaki berhampiran tasik universiti. Matahari senja menyinari wajah mereka dengan cahaya keemasan yang lembut.

“Macam pelik pula dah kembali ke rutin,” ujar Aurora sambil memandang air tasik yang beralun tenang.

Izhan mengangguk perlahan. “Saya pun rasa macam baru balik dari satu dunia yang lain.”
Aurora tersenyum tipis. “Kampung saya taklah dunia lain…”

“Bukan macam tu maksud saya,” Izhan ketawa perlahan. “Maksud saya… saya rasa tenang di sana. Dan awak yang buat tempat tu rasa berbeza.”

Aurora tidak menjawab. Namun, langkahnya perlahan dan tidak menjauh — itu sudah cukup sebagai jawapan bagi Izhan.

Satu malam, di rumah Adrian...

Adrian sedang membelek fail projek PR1M3 mereka — enjin jentera MotoGP buatan sendiri yang mereka bangunkan dengan bantuan beberapa jurutera profesional. Progres terkini menunjukkan pencapaian besar dalam sistem penyejukan dan kawalan tork.

Izhan masuk ke ruang kerja dengan dua cawan kopi.

“Dah lama kau tak termenung sambil pandang pelan biru tu,” usik Izhan sambil menyerahkan kopi kepada sepupunya.

Adrian menyambut dan senyum. “Aku termenung sebab kagum juga… kita betul-betul buat ni, Iz.”

Izhan duduk, menyandar. “Dan aku tak pernah rasa lebih bermotivasi. Entah kenapa, semuanya rasa lebih jelas sekarang.”

Adrian merenung sahabat dan sepupunya itu sejenak. “Aurora, ya?”

Izhan hanya tersenyum, tak menafikan.

Keesokan harinya, di kampus...

Aurora didekati oleh sahabatnya, Sarah.

“Awak dan Izhan… macam pasangan kekasih dah,” kata Sarah berhati-hati.

Aurora menoleh, sedikit terkejut tapi tidak menafikan.

“Kami cuma kawan,” jawabnya pendek, tapi senyum di wajahnya tidak berjaya disembunyikan.
Sarah ketawa kecil. “Awak tak pernah senyum macam tu sejak tahun lepas.”

Malam itu, Izhan menulis mesej kepada Aurora.

“Hari ni saya tengok reka bentuk akhir untuk fairing PR1M3. Tapi saya asyik teringat kopi yang mak awak buat. Rasa dia masih melekat kat tekak saya.

Aurora membalas:

“Kalau awak rindukan kopi tu, lain kali datang lagi. Mungkin kami boleh sediakan versi khas — ‘Izhan Blend’.”

Izhan tersenyum sendirian.

“Deal. Tapi saya cuma datang kalau awak yang bancuh.”

Beberapa hari berlalu dengan padatnya waktu Izhan. Projek PR1M3 kini memasuki fasa akhir simulasi enjin dinamik. Dia dan Adrian hampir tidak tidur, terkurung dalam bilik kerja khas mereka yang dilengkapi dengan peralatan rekaan digital serta jentera skala kecil.

Setiap kali Aurora menghantar mesej — ucapan ringkas, pautan berita menarik, atau sekadar bertanya khabar — Izhan akan senyum, tetapi tidak sempat membalas. Dia sering berkata dalam hati, "Nanti aku balas lepas ni...", namun masa terus mencuri niat itu.

Sehingga satu malam...

Aurora menghantar satu pesanan terakhir.

“Jangan risau kalau sibuk. Saya faham. Cuma... harap awak jaga diri.”

Mesej itu dilihat, tapi tidak dibalas.

Bukan kerana Izhan tidak peduli. Tapi kerana ketika itu dia tertidur di atas meja kerja, telefon masih di tangan, dan Aurora… tertinggal di benaknya — bukan di kotak masuk, tapi di satu sudut hati yang sedang dilupakan oleh kesibukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience