Bab 19: Bila Hati Sudah Jauh

Romance Series 967

Hari-hari terus berlalu begitu sahaja. Hidup Izhan terasa semakin sunyi tanpa kehadiran Aurora. Setiap langkah, setiap detik, seolah-olah membawa bayangan kenangan bersama gadis itu. Dia cuba untuk tidak menunjukkan apa-apa, cuba kelihatan seperti biasa — fokus dalam kelas, aktif dalam latihan, dan sentiasa tersenyum di hadapan rakan-rakan. Namun jauh di dalam hati, dia tahu... dirinya sedang hilang arah.

Kadang-kadang dia termenung lama di meja belajar, memandang telefon bimbitnya yang sepi daripada mesej Aurora. Kadang-kadang dia terdengar lagu yang mengingatkan dia pada detik-detik mereka bersama, dan dadanya mula rasa sesak tanpa sebab yang jelas. Ia mengingatkannya pada rasa kehilangan yang pernah dia alami suatu ketika dahulu — ketika putus dengan Ryena, cinta pertamanya yang juga pernah meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi.

Tetapi kali ini, kesunyian itu terasa berbeza. Ia tidak datang daripada kekecewaan semata-mata, tetapi lebih kepada penyesalan dan rasa tidak mampu berbuat apa-apa. Dia tahu Aurora bukan miliknya. Dia tahu dia mungkin terlambat.

Namun, Izhan tetap memilih untuk tidak lemah. Dia salurkan kesedihan itu ke dalam fokus terhadap akademik dan projek MotoGP bersama Adrian. Dengan menyibukkan diri, dia dapat melupakan semuanya — walaupun seketika. Adrian kadang-kadang perasan perubahan itu, namun tidak pernah mendesak. Dia tahu sepupunya itu sedang bertarung dengan perasaan sendiri.

Di kampus, Aurora menjalani kehidupan seperti biasa. Kelas, tugasan, dan aktiviti kuliah semuanya berjalan lancar. Namun, di sebalik senyuman dan kelincahannya, hanya dia yang tahu hati dan fikirannya tidak pernah benar-benar tenang. Irfan masih ada, sentiasa mengambil berat dan menemani bila ada masa terluang. Tapi entah kenapa, hatinya tidak sehangat seperti waktu awal mereka mula rapat semula.

Ada waktu-waktu tertentu, Aurora duduk di bangku taman kampus dengan buku terbuka tetapi fikiran melayang jauh. Setiap kali dia melihat pasangan bergurau senda atau teman-teman bergelak ketawa, dia teringat kepada seseorang yang pernah membuatnya senyum tanpa sebab — Izhan.

Walaupun mereka tidak lagi berhubungan seperti dulu, Aurora sering tertanya-tanya bagaimana keadaan Izhan. Adakah dia okey? Adakah dia rindukan saat-saat mereka belajar bersama, berborak lewat malam, atau ketawa atas perkara kecil?

Suatu hari, selepas kelas, Aurora menerima pesanan ringkas daripada Yasmin:

“Aurora, kalau hati kau masih keliru… jangan abaikan perasaan tu. Kadang-kadang, cinta bukan tentang siapa yang paling dekat… tapi siapa yang kau tak boleh lupakan walau dah berjauhan.”

Pesanan itu menyentak hatinya. Malam itu, Aurora termenung di meja belajarnya, memandang kosong ke arah telefon bimbitnya. Tanpa sedar, dia membuka galeri gambar dan melihat kembali gambar-gambar lama — gambar dia dan Izhan semasa study week, gambar ketika mereka hiking dan mandi air terjun. Senyumannya ketika itu begitu tulus.

Aurora memejam mata. Dalam diam, dia tahu. Dia belum sepenuhnya melepaskan Izhan.
Suatu hari, fakulti Aurora dan Izhan berkolaborasi menganjurkan sebuah program universiti bertemakan Teknologi dan Masyarakat. Pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang hari — forum ilmiah, bengkel interaktif, pameran teknologi serta sesi seni budaya yang mencerminkan gabungan ilmu sains dan kemanusiaan.

Kebetulan, Aurora bertugas sebagai pengacara majlis bagi sesi forum, manakala Izhan pula menjadi fasilitator bagi salah satu bengkel berkaitan inovasi digital. Tanpa dirancang, mereka dipertemukan semula setelah sekian lama membawa haluan masing-masing.

Ketika mata mereka bertentang buat pertama kali selepas berbulan tidak bersua, waktu seolah-olah terhenti. Namun, reaksi Izhan tenang. Dia hanya mengangguk kecil dan tersenyum sopan, cukup untuk menunjukkan rasa hormat — namun tiada lagi kehangatan seperti dulu. Dalam hatinya, dia sudah mula belajar melepaskan dan mengikhlaskan kepergian Aurora.

Aurora pula terdiam seketika. Walaupun dia cuba berlagak profesional, kehadiran Izhan membuatkan dirinya tidak tenang. Dia menyedari ada sesuatu yang hilang dalam diri Izhan — tidak lagi ada tatapan mata yang mendalam seperti dahulu, tiada usikan kecil yang pernah menceriakan harinya.

Suasana antara mereka menjadi sedikit janggal. Mereka berinteraksi hanya bila perlu, itupun secara formal dan berhati-hati. Kawan-kawan sekeliling turut menyedari suasana aneh itu, namun tiada siapa berani membuka mulut.

Waktu rehat tengah hari, Aurora duduk sendirian di sudut kafeteria program, memandang Izhan dari jauh yang sedang berbual dengan Adrian. Jauh di lubuk hatinya, dia sedar — Izhan bukan lagi lelaki yang menunggunya di setiap hujung perbualan. Dia sudah bergerak ke hadapan.

Dan di saat itu, Aurora mula bertanya pada dirinya sendiri… adakah dia benar-benar membuat keputusan yang tepat dahulu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience