Bab 24: Langkah yang Harus Diteruskan

Romance Series 967

Beberapa hari sebelum Izhan dan Adrian perlumbaan MotoGP, Aurora duduk termenung di dalam biliknya. Di tangannya, telefon pintar yang sudah beberapa kali dibuka dan ditutup. Dia ingin menghantar mesej kepada Izhan, tetapi setiap kali jarinya hampir menekan kekunci, dia menarik nafas dalam dan meletakkan telefon semula.

Hatinya bergolak. Sejak menghadiri majlis penghargaan di Universiti Nexus tempoh hari dan melihat Izhan dari jauh, perasaan yang cuba dia padamkan selama ini kembali membuak. Dia cuba menyakinkan dirinya bahawa hubungannya dengan Irfan adalah keputusan yang tepat. Irfan baik, penyayang, dan sentiasa ada untuknya. Namun, jauh di sudut hati, dia tahu bahawa rasa yang ada terhadap Izhan masih belum benar-benar hilang.

Aurora bukan tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku dalam hati sendiri. Dia tahu, antara dia dan Izhan ada sesuatu yang belum selesai. Namun sekarang, semuanya sudah terlalu rumit. Dia bukan lagi perempuan bebas yang boleh bertindak sesuka hati. Dia kini milik Irfan.

Tetapi... benarkah dia sudah membuat pilihan yang betul?

Malam itu, Aurora termenung di tingkap, memandang langit yang gelap. Angin malam bertiup perlahan. Ingatannya kembali kepada waktu-waktu dia bersama Izhan—senyuman lelaki itu, cara dia bersemangat bercakap tentang impian mereka, dan bagaimana mata Izhan akan bercahaya setiap kali menyebut tentang MotoGP dan projek masa depan mereka. Semua itu membuatkan jiwanya makin bergelora.

“Salah ke kalau aku nak jumpa dia sebelum dia pergi?” bisiknya perlahan.

Dia tidak mahu berlaku curang terhadap Irfan. Tapi dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu melepaskan peluang terakhir untuk berkata sesuatu kepada Izhan sebelum lelaki itu berangkat ke Eropah.

Keesokan harinya, selepas kelas tamat, Aurora memandu perlahan ke arah litar PR1M3. Dia tidak pasti sama ada Izhan ada di situ atau tidak, tapi dia tahu itu satu-satunya tempat di mana dia boleh temui lelaki itu sekarang.

Apabila tiba, dia melihat Izhan sedang duduk bersendirian di paddock, mengenakan jaket kulit PR1M3. Langit petang agak mendung, dengan bayu sejuk menyejukkan suasana. Aurora tidak terus keluar dari kereta. Dia hanya memandang dari jauh.

Izhan kelihatan tenang, tapi dalam pandangan mata itu, Aurora tahu masih ada sesuatu yang belum sembuh.

Aurora memegang stereng dengan kuat. Hatinya berperang hebat. Dia ingin turun dan menyapa, tetapi bayangan Irfan muncul dalam benaknya. Lelaki yang tidak pernah melukai hatinya. Lelaki yang kini meletakkan harapan untuk membina masa depan bersama.

Dia terdiam.

Akhirnya, tanpa menurunkan tingkap, tanpa mengangkat tangan, Aurora menghidupkan enjin dan beredar perlahan dari kawasan litar. Air matanya menitis, walaupun dia sendiri tidak pasti kenapa.

Pagi keberangkatan ke Perancis tiba. Lapangan terbang antarabangsa penuh dengan wartawan, kru media dan peminat yang ingin melihat Izhan dan Adrian memulakan misi besar mereka. Bendera PR1M3 berkibar megah di sana-sini. Semua orang penuh semangat, tapi Izhan nampak sedikit termenung.

Sebelum menaiki pesawat, dia sempat memeriksa telefon bimbitnya. Tiada mesej dari Aurora. Tiada panggilan. Hanya notifikasi dari pasukan, sahabat dan keluarga. Dia menghela nafas panjang.

Dia sebenarnya berharap... walau hanya satu mesej.

Adrian menepuk bahunya. “Kau okay, bro?”

Izhan mengangguk. “Ya, aku okay.” jawabnya ringkas sambil tersenyum.
Sesaat kemudian, mereka pun melangkah masuk ke balai perlepasan, membawa bersama harapan, impian besar yang telah lama dipupuk, dan perasaan-perasaan yang belum terungkap sepenuhnya.

Di kampus, Aurora menonton siaran langsung keberangkatan mereka dari telefon. Saat wajah Izhan muncul di skrin, dia terdiam. Air matanya kembali bergenang.

Hari pertama di Le Mans bermula. PR1M3 Racing Team disambut dengan rasa ingin tahu oleh media-media. Dua pelumba muda dengan mesin buatan sendiri—kisah yang jarang berlaku dalam sejarah MotoGP moden.

Izhan duduk dalam pit lane, mengenakan sut perlumbaan PR1M3 berwarna hitam-merah-ungu. Dia menarik nafas dalam, kemudian memakai topi keledar.

Di dadanya, berdegup sebuah semangat yang tidak akan padam.

“Aku akan buktikan... Bukan demi sesiapa. Tapi demi diriku sendiri.”

Dan enjin pun dihidupkan. Sesi latihan pertama baru sahaja bermula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience