Hari Isnin akhirnya tiba. Suasana kembali seperti biasa — rutin harian dan kuliah di universiti pun bermula. Pagi itu, Izhan memandu keretanya ke universiti bersama Adrian. Kedua-duanya kelihatan bersemangat dan tidak sabar untuk bertemu semula dengan rakan-rakan serta memulakan semula sesi pembelajaran mereka yang tertangguh.
Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan universiti, kehadiran mereka segera menarik perhatian para pelajar. Ramai yang terkejut melihat kelibat Izhan dan Adrian, lebih-lebih lagi Izhan yang sebelum ini dikhabarkan koma selama beberapa bulan. Tidak ramai yang mengetahui keadaan sebenar mereka, dan kepulangan mereka seakan satu kejutan besar.
Ketika melangkah masuk ke dalam kelas, rakan-rakan sekelas termasuk sahabat-sahabat mereka terpaku seketika. Tiada kata-kata yang terluah, hanya renungan penuh rasa tidak percaya. Beberapa saat kemudian, suasana berubah menjadi penuh emosi — pelukan, senyuman dan titisan air mata menyambut kepulangan dua sahabat itu.
Izhan dan Adrian memeluk erat sahabat-sahabat mereka. Rasa syukur jelas terpancar di wajah semua. Kehadiran mereka bukan sahaja mengubat kerinduan, tetapi juga membakar semangat untuk kembali fokus menamatkan pengajian bersama-sama.
Berita tentang kepulangan Izhan dan Adrian tersebar dengan pantas di kalangan pelajar dan pensyarah universiti. Tidak lama kemudian, khabar itu sampai ke telinga Aurora.
Jantungnya berdegup kencang, dia hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Terkejut — ya, namun jauh di sudut hatinya, dia sangat gembira dan bersyukur kerana Izhan sudah kembali dengan selamat.
Namun begitu, kegembiraannya terhenti di situ sahaja. Aurora tidak berniat untuk mendekati Izhan. Bukan kerana dia tidak mahu, tetapi kerana dia takut. Takut jika Izhan sudah tidak lagi menganggap dirinya istimewa. Takut jika segala rasa dan kenangan dahulu telah terkubur sepenuhnya di hati Izhan.
Rakan-rakannya juga menasihatinya agar tidak meletakkan harapan yang tinggi.
“Aurora, mungkin Izhan dah ada kehidupan baru sekarang. Jangan terlalu berharap... Kami tak nak kau terluka lagi,” kata salah seorang daripada mereka dengan nada lembut.
Aurora hanya mengangguk. Dia tahu mereka benar. Namun dalam diam, dia masih menyimpan rasa. Rasa yang tidak pernah hilang, walaupun masa telah memisahkan mereka begitu lama. Kini, dia hanya mampu melihat dari jauh… dan berdoa agar takdir sekali lagi memberi ruang untuk mereka bersua mata, walaupun hanya seketika.
Selesai sahaja kelas pagi itu, Izhan dan Adrian bersama sahabat-sahabatmmenuju ke kafe universiti — tempat yang pernah menjadi lokasi kegemaran mereka untuk makan dan berkumpul. Nostalgia menyapa sebaik sahaja mereka melangkah masuk. Suasana kafe masih sama seperti dahulu, cuma kini mereka kembali sebagai pelajar yang pernah "hilang" untuk satu tempoh yang panjang.
Mereka duduk di meja biasa, memesan makanan kegemaran, dan tidak henti-henti berbual. Suasana di meja mereka dipenuhi dengan tawa dan kisah yang bersambung dari hari-hari yang tertangguh. Izhan kelihatan tenang dan ceria, seolah-olah sedang memulakan lembaran baharu dalam hidupnya.
Pada masa yang sama, Aurora bersama rakan-rakannya berjalan menuju ke kafe tersebut. Dia tidak tahu siapa yang berada di dalam, namun perutnya lapar dan langkah mereka spontan sahaja ke situ.
Sebaik sahaja melangkah masuk, mata Aurora secara refleks menoleh ke arah satu sudut kafe. Dan di situlah dia terlihat Izhan… sosok yang telah lama mengisi ruang rindunya. Dia terdiam seketika, langkahnya terhenti. Pandangannya terarah tepat kepada Izhan yang sedang berbual mesra bersama rakan-rakannya.
Hatinya bergetar, senyuman terukir secara perlahan di wajahnya. Rasa rindu yang disimpan sekian lama seperti hadir semua dalam sekelip mata.
Aurora tidak berniat untuk menghampiri, namun melihat Izhan dari jauh sudah cukup untuk membuatkan hatinya terasa lapang dan bersyukur. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan debaran di dada. Hari itu, walaupun tanpa sebarang kata, pandangan dari kejauhan sudah cukup untuk mengubati sedikit kerinduannya.
Aurora dan rakan-rakannya memilih untuk duduk di meja yang agak jauh dari tempat Izhan dan sahabat-sahabatnya. Mereka makan seperti biasa, cuba mencipta suasana tenang.
Namun, bagi Aurora, ia bukan situasi biasa. Sesekali, matanya tetap mencari wajah yang telah lama dirinduinya. Pandangannya jatuh ke arah Izhan — lelaki yang pernah hadir begitu istimewa dalam hidupnya. Wajah itu, senyuman itu… suara yang pernah menenangkan jiwanya. Segalanya bermain dalam ingatannya.
Di sudut lain, Izhan dan rakan-rakannya mula bersiap untuk beredar dari kafe — mereka ada kelas petang yang perlu dihadiri. Sewaktu melangkah keluar, langkah Izhan secara tidak sengaja terhenti apabila matanya tertumpu pada sosok yang dikenalinya — Aurora.
Pandangan mereka bertaut.
Beberapa saat berlalu dalam diam, namun terasa seperti begitu lama. Seolah-olah dunia berhenti seketika hanya untuk mereka berdua.
Izhan mengukir senyuman — senyuman ikhlas yang sarat dengan seribu rasa. Dia tidak mendekati, tidak berkata apa-apa. Hanya senyuman itu sebagai salam dari jauh. Dia tidak mahu mengganggu Aurora, apatah lagi jika dirinya tidak lagi layak untuk hadir dalam hidup gadis itu.
Aurora membalas senyuman itu walau hatinya sedikit pedih. Dia sedih kerana hanya itu yang berlaku, namun dalam masa yang sama dia faham. Mungkin itu yang terbaik buat masa sekarang.
Hari itu menjadi hari yang bermakna buat mereka berdua. Bukan kerana pertemuan yang sempurna, tetapi kerana kerinduan yang terubat walau seketika — hanya dengan satu pandangan dan satu senyuman.
Share this novel