Minggu pertama Izhan dan Adrian memulakan semula sesi pembelajaran berjalan dengan lancar. Kehadiran mereka disambut baik oleh pensyarah dan rakan-rakan. Tugasan, kelas dan aktiviti mula kembali seperti biasa. Minggu-minggu seterusnya juga berlalu dengan baik, namun jauh di sudut hati Izhan, ada rasa yang tidak mampu dia nafikan.
Walaupun dia kelihatan ceria di hadapan orang ramai, namun bila bersendirian, ada kekosongan yang mencengkam jiwa. Dia tahu perasaan itu datang daripada satu nama yang pernah bertakhta dalam hatinya — Aurora. Walaupun mereka pernah bertentang mata dan saling tersenyum, namun hakikat bahawa mereka tidak lagi berbicara atau mendekati seperti dahulu sangat meresahkan jiwanya. Dunia terasa sunyi walaupun semuanya kelihatan baik di luar.
Aurora juga merasai perkara yang sama. Setiap hari dia cuba untuk meyakinkan diri bahawa semuanya baik-baik sahaja, namun apabila mengenangkan Izhan yang kini hanya wujud dari kejauhan, hatinya menjadi sayu. Rindunya tidak pernah surut. Hatinya seperti memberontak untuk meluahkan rasa, namun egonya tetap menghalang.
Dua hati yang saling merindui, namun masih diam dalam jurang masa dan keadaan. Masing-masing memilih untuk memendam rasa, kerana takut andai langkah mereka akan mengganggu kebahagiaan satu sama lain. Maka, mereka terus menjalani hari-hari seperti biasa, meskipun jauh di dalam hati, satu nama masih kuat bergema.
Kali ini, takdir benar-benar memainkan peranannya. Setelah sekian lama hanya dipertemukan dalam kebetulan yang sunyi dan senyuman dari kejauhan, akhirnya laluan mereka bersilang kembali dalam ruang yang lebih jelas dan bermakna.
Izhan dan Aurora, tanpa mereka sedari, sama-sama terpilih untuk menjadi pengarah bersama bagi satu program besar yang dianjurkan oleh universiti — hasil kerjasama antara Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Program ini bersifat antara fakulti dan memerlukan dua peneraju utama dari kedua-dua bidang — dan nama mereka diumumkan serentak di papan pengumuman universiti serta di emel rasmi fakulti.
Aurora terdiam ketika membaca emel itu. Nama yang tertulis di sebelah namanya membuatkan jantungnya berdegup lebih laju. Begitu juga dengan Izhan, yang memegang telefon dengan senyap saat membaca pengumuman itu. Nama “Aurora” terpampang jelas di sebelah namanya sebagai rakan sejawat.
Hari pertama mesyuarat perancangan program tiba. Izhan tiba lebih awal dan mengambil tempat di ruang mesyuarat. Ketika Aurora melangkah masuk, suasana menjadi hening seketika. Mata mereka bertemu, dan untuk beberapa saat, dunia seolah-olah berhenti. Namun, mereka tetap profesional. Izhan mengangkat sedikit tangannya memberi isyarat mesra, dan Aurora membalas dengan anggukan kecil dan senyuman halus.
Mereka duduk berhadapan. Perbincangan pun dimulakan dengan kehadiran ahli jawatankuasa yang lain. Walaupun kelihatan tenang di luar, namun di dalam hati masing-masing sedang bergelora. Adakah ini peluang untuk mereka berdamai dengan perasaan sendiri? Atau sekadar urusan rasmi yang akan berlalu seperti angin?
Namun yang pasti, takdir kini memberi ruang — ruang untuk dua hati yang pernah hampir menyatu, untuk kembali belajar saling memahami... dan mungkin, menyembuhkan luka yang belum sepenuhnya sembuh.
Setelah mesyuarat selesai, mereka semua bergerak ke kafe universiti untuk makan tengah hari bersama — sebagai tanda permulaan kerjasama dan semangat berpasukan. Suasana santai mula mengisi ruang, dengan gelak tawa kecil dan perbualan ringan antara ahli jawatankuasa.
Izhan dan Aurora duduk di meja yang sama, walaupun berjarak sedikit — masing-masing dikelilingi rakan dari fakulti sendiri. Namun, sesekali pandangan mereka bertaut, dan senyuman tipis dilemparkan sebagai tanda bahawa mereka menyedari kewujudan satu sama lain. Biarpun tidak banyak bicara, namun kehadiran itu sendiri cukup membahagiakan.
Bagi Izhan, ini adalah momen yang sangat berharga — duduk bersebelahan dengan seseorang yang pernah menjadi dunia dalam diamnya. Begitu juga bagi Aurora. Dia tidak menyangka hari ini akan datang — hari di mana mereka dapat duduk semeja lagi, walaupun bukan sebagai kekasih, tapi cukup sebagai dua insan yang pernah saling menyayangi.
Tiada kata soal hati yang terucap hari itu. Namun getar halus dalam diam dan renungan yang berbicara lebih dari seribu patah kata telah menyentuh hati mereka masing-masing. Seolah-olah, dunia memberi isyarat bahawa kisah mereka belum sepenuhnya selesai. Dan biarpun segalanya masih belum jelas — satu hal pasti, mereka kini kembali dalam orbit yang sama.
Selepas makan, suasana semakin mesra antara semua jawatankuasa. Mereka mula berbual lebih terbuka, bertukar nombor telefon, dan merancang pertemuan seterusnya untuk perbincangan program. Izhan dan Aurora masih belum berbual secara peribadi, namun beberapa kali mereka saling melemparkan pandangan dan senyuman kecil — seolah-olah keduanya sedang membina kembali jambatan yang pernah runtuh, bata demi bata.
Adrian yang duduk tidak jauh daripada mereka hanya memerhati dengan tenang. Dia tahu — dalam diam — kedua-duanya masih menyimpan sesuatu yang belum selesai. Walaupun Izhan jarang bercerita tentang perasaannya sejak kembali dari Sepanyol, Adrian tahu betapa dalam cinta Izhan terhadap Aurora. Dan dari cara Aurora memandang Izhan hari ini, dia juga dapat membaca rasa yang masih belum pudar.
Share this novel