Bab 43: Hujan yang Mendekatkan

Romance Series 1415

Petang Jumaat itu, langit kampus mula diselaputi awan mendung sejak awal tengah hari. Ramalan cuaca telah menjangka hujan, namun tiada siapa menyangka ia akan turun seawal itu — dan selebat itu.

Aurora masih berada di perpustakaan universiti ketika hujan mula membasahi bumi. Suasana di dalam bangunan menjadi sejuk, dan angin mula masuk melalui celah tingkap yang tidak tertutup rapat. Beberapa pelajar mula berkemas, tergesa-gesa mahu pulang sebelum hujan menjadi lebih teruk. Ada juga yang terus menunggu, bersila di lantai atau bersandar pada dinding dengan fon telinga terpasang.

Aurora, sebaliknya, tidak terburu-buru. Dia tahu dia tiada payung. Dan dia juga tahu dia tidak suka basah — bukan kerana manja, tapi kerana dia pernah demam seminggu hanya kerana pulang dalam hujan. Sejak itu, dia belajar menunggu… dan bersabar.

Dia duduk di tangga luar bangunan perpustakaan. Bahagian itu terlindung sedikit dari hujan, tetapi angin sejuk mula menyelinap masuk ke dalam sweater. Di pangkuannya ada dua buah buku yang baru dipinjam, dipeluk erat seolah-olah memberi sedikit kehangatan. Sesekali dia melihat ke langit — hujan bukannya mereda, malah semakin menggila. Titik-titik air turun deras menghentam lantai batu, mengalir laju ke tepi longkang.

Pelajar-pelajar yang lain semakin berkurang. Ada yang dijemput rakan, ada yang nekad berlari pulang. Aurora masih di situ — menunggu dan termenung.

Beberapa meter dari bangunan perpustakaan, Izhan baru sahaja selesai menghadiri mesyuarat fakulti, di dewan berhampiran. Dia berjalan menuju ke tempat letak kereta, beg disangkut di bahu, earpod masih terpasang di telinga.

Ketika melalui bangunan perpustakaan, langkahnya terhenti seketika. Matanya menangkap susuk tubuh yang sangat dikenalinya — duduk sendirian di tangga, berbalut sweater kelabu, memeluk dua buah buku.

Aurora.

Dia menanggalkan earphone perlahan-lahan. Hujan masih turun lebat. Dia perasan Aurora tidak bergerak. Wajahnya redup, memandang hujan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

Izhan tidak berfikir lama. Dia membuka bonet keretanya, mengambil payung yang sentiasa disimpan di situ, dan melangkah semula ke arah perpustakaan.

“Awak tak balik lagi?” tegurnya, lembut.

Aurora mendongak sedikit. Terkejut, tapi senyum muncul juga. “Tengah tunggu hujan reda…”

Izhan menghulurkan payung tanpa berkata banyak. “Kalau awak tak kisah, jom. Saya hantar.”

Aurora teragak-agak. “Awak tak sibuk?”

“Dah habis meeting. Tak ada apa-apa lepas ni.” Izhan masih tenang, tidak memaksa.

Aurora akhirnya bangun perlahan-lahan. “Terima kasih…”

Mereka berjalan berdua di bawah payung yang sederhana besar. Hujan masih lebat, dan hanya bunyi titisannya serta bunyi kasut mereka menghentam laluan pejalan kaki kedengaran. Tidak banyak bicara antara mereka. Tapi dalam senyap itu, ada kenyamanan yang sukar digambarkan.

Payung itu condong sedikit ke arah Aurora. Izhan seperti biasa — diam, tapi perhatiannya jelas. Sesekali dia melangkah lebih perlahan agar Aurora tidak terkejar-kejar. Sesekali dia menghalakan payung lebih ke kiri supaya bahu Aurora tidak terkena hujan.

Aurora perasan semua itu. Tapi dia tidak berkata apa-apa, cuma mengukir senyum kecil yang tidak dapat disembunyikan.

Sampai di tempat letak kereta, Izhan membuka pintu dan Aurora masuk tanpa banyak soal.

Izhan masuk ke tempat pemandu, memanaskan enjin seketika. Dia menoleh ke arah Aurora.

“Awak nak terus balik ke kolej ke… atau nak singgah makan dulu? Saya tak makan lagi.”

Aurora kelihatan teragak-agak.

“Tak paksa. Tapi kalau awak okay, jom?" Izhan senyum sedikit.

Aurora akhirnya mengangguk perlahan. “Okey."

Mereka berhenti di sebuah kedai makan kecil di luar kampus — bukan kafe besar, tapi restoran sederhana dengan suasana yang tenang. Lampu kekuningan, muzik instrumental di latar belakang, dan bau sup panas memenuhi ruang.

Mereka duduk di meja untuk dua orang, di bahagian sudut. Aurora menanggalkan sweaternya, rambutnya sedikit basah, tetapi wajahnya kelihatan lebih segar.

“Terima kasih sebab bawa saya makan dan sudi hantar balik,” katanya sambil membelek menu.

“Sama-sama. Kebetulan lalu…” jawab Izhan.

Mereka makan berdua. Perbualan kali ini lebih terbuka. Mereka menikmati makan petang waktu itu.

Ketika Aurora menyuap suapan terakhir nasi gorengnya, Izhan diam sejenak sebelum berkata, “Saya suka suasana macam ni.”

Aurora memandangnya.

“Tenang. Tak ada tekanan. Tak ada silap faham."

Aurora meletakkan sudu dan bersandar ringan. “Saya pun suka. Tapi saya takut bila saya dah terbiasa dengan suasana ni… nanti kalau hilang, saya tak tahu macam mana nak hadapi.”

Izhan memandang terus ke dalam matanya. “Saya tak janji benda ni kekal. Tapi saya janji… saya akan buat yang terbaik untuk tak ulang silap lama.”

Aurora hanya diam dan tersenyum kecil.

Dan itu cukup untuk buat jantung Izhan berdegup.

Selepas makan, hujan sudah mula reda. Langit malam gelap, tetapi awan tidak lagi berat. Angin terasa lebih ringan, dan suasana lebih damai.

Dalam perjalanan pulang ke kolej, mereka tidak banyak berbual. Aurora hanya memandang keluar tingkap, melihat lampu jalan yang berkilauan di atas jalan basah.

Sampai di hadapan kolej, Izhan menghentikan kereta. Aurora membuka pintu perlahan, tapi sebelum keluar, dia berpaling.

“Terima kasih… bukan saja untuk tumpang, tapi… untuk makan tadi.”

Izhan angguk. “Saya patut ucapkan terima kasih sebab sudi.”

Aurora melangkah keluar dan sebelum menutup pintu, dia sempat berkata, “Saya tak pasti tentang banyak perkara sekarang. Tapi saya tahu satu benda…”

Izhan menoleh.

“Saya rasa… saya tak takut sangat bila awak ada.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience