Bab 29: Jika Ini Takdirnya…

Romance Series 967

Waktu demi waktu terus berlalu, hari bertukar menjadi minggu, dan minggu melangkah ke bulan. Namun keadaan Izhan tetap tidak berubah — dia masih terbaring kaku di hospital, tidak sedarkan diri, seakan-akan berada dalam dunia yang jauh dari semua insan yang menyayanginya.

Di sisi katil, kedua ibu bapa dan kakaknya sentiasa setia menemani. Tanpa jemu, setiap hari mereka berbicara dengannya — bercerita tentang hal-hal kecil, tentang kenangan manis, tentang kekuatan Izhan suatu ketika dahulu. Mereka percaya, walau tiada reaksi, Izhan masih mendengar. Dalam perit dan sakit, mereka bertahan… kerana kasih dan harapan tidak pernah padam.

Sementara itu, Adrian kembali meneruskan perlumbaan bersama pasukan PR1M3.
Sudah empat perlumbaan dilaluinya — dan dari empat itu, tiga kali dia berdiri di podium juara, baik dalam Sprint Race mahupun Main Race. Prestasinya semakin mencuri perhatian dunia MotoGP.

Namun di sebalik sorakan peminat dan kilauan trofi, Adrian tahu jiwanya tidak sepenuhnya berada di atas podium. Sebahagian hatinya tetap tertinggal di Perancis — bersama Izhan.

Setiap kali sebelum perlumbaan, dia akan menggenggam helmetnya dan berbisik perlahan:

"Ini untuk kau, Izhan. Untuk impian kita. Aku akan teruskan… sampai kau kembali, dan sambung apa yang kita mulakan."

Dan setiap kali Adrian berdiri di atas podium, dia akan mendongak ke langit. Dia tahu… Izhan melihat semuanya.

Di sisi lain dunia, Aurora tidak pernah berhenti memikirkan Izhan.
Dia masih setia berdoa, berharap agar Izhan segera membuka mata dan kembali ke dunia nyata. Meski tidak kerap menghubungi Adrian, dia sentiasa bertanya khabar Izhan melalui mesej, sekadar ingin tahu, sekadar ingin tahu dia masih ada peluang untuk berharap.

Hubungannya dengan Irfan pula… kian hambar. Dia tidak lagi merasakan apa-apa. Ibunya beberapa kali menyampaikan khabar bahawa Irfan sering dilihat bersama gadis lain di kampung. Irfan juga jarang ke ibu kota; meskipun ada urusan kerja, dia tidak bertemu Aurora, memberi alasan sibuk.

Namun Aurora tidak marah. Dia juga tidak kisah. Hatinya sudah lama tidak berada di sisi Irfan.

Yang terus bermain di fikirannya… hanyalah Izhan.

"Aku cuma nak dia buka mata… itu saja," bisiknya satu malam, sambil merenung langit penuh bintang.

Tiga bulan telah berlalu sejak kejadian yang meragut seluruh keceriaan dalam hidup Izhan dan orang-orang yang mencintainya.
Namun harapan masih hidup dalam hati mereka — walau sedikit, walau sekadar sisa doa dan air mata.

Namun pada suatu hari yang mendung di Perancis, kenyataan yang paling menyakitkan akhirnya tiba.

Seorang doktor, pakar neurologi terkemuka yang merawat Izhan, memanggil kedua ibu bapa serta kakaknya ke sebuah bilik khas. Wajahnya tenang, namun nadanya berat dan penuh beban.

“Maafkan saya… tapi kami rasa sudah sampai masanya untuk berbincang tentang melepaskan Izhan daripada sokongan mesin. Keadaannya semakin lemah, dan berdasarkan pemerhatian kami, peluang untuk dia sedar sangat tipis. Mesin ini tidak lagi membantunya untuk pulih… malah hanya menambahkan penderitaan.”

Kata-kata itu bagaikan panahan petir. Ibunya terduduk, menangis teresak-esak sambil menggenggam tangan suaminya. Kakaknya pula, yang selama ini menjadi tulang belakang ketabahan keluarga, menangis dalam diam, bahunya terketar-ketar.

“Kami tidak memaksa,” sambung doktor perlahan.
“Namun kami ingin keluarga mempertimbangkan… kerana kadang-kadang, melepaskan adalah bentuk cinta yang paling dalam.”

Keluarga diberi masa untuk berbincang. Namun tiada siapa mampu berkata apa-apa. Sunyi menyelubungi ruang menunggu. Hanya esakan perlahan kedengaran.

Berita itu segera sampai ke pengetahuan keluarga besar dan juga Adrian.
Ketika itu Adrian sedang menjalani sesi latihan di Sepanyol untuk perlumbaan seterusnya. Setelah mendengar berita itu dia serta beberapa ahli keluarga yang lain termasuk datuk dan neneknya tanpa berfikir panjang, mereka segera terbang ke Perancis.

Yang Adrian tahu, dia perlu berada di sisi Izhan… walau untuk kali terakhir.

Aurora pula mendapat tahu dari Adrian sendiri — buat pertama kali, suara Adrian di telefon kedengaran pecah dan lemah.

“Aurora… mungkin… mungkin Izhan tak akan kembali…”

Khabar itu menghentak seluruh jiwa Aurora. Dia menangis sepuas-puasnya. Selama ini dia menahan rasa, berdoa dalam diam, menunggu dengan sabar… namun semuanya seakan runtuh dalam sekelip mata.

Malam itu, semua ahli keluarga berkumpul di sisi katil Izhan.
Adrian dan keluarga yang baru tiba terus memeluk bapa ibu dan kakak Izhan tanpa kata. Hanya tangisan yang menyatu.
Ibunya duduk di sisi, menggenggam tangan anak yang pernah dia dodoikan suatu ketika dahulu.

“Mama tahu kamu penat, nak. Tapi kalau kamu masih ada di dalam sana… kalau kamu masih mahu hidup, tolong beri kami tanda… walau sedikit. Kami akan terus menunggu. Tapi kalau kamu mahu pergi, mama redha… mama akan lepaskan…”

Tiada siapa mampu berkata-kata. Mesin-mesin terus berbunyi dalam rentak perlahan, namun tetap. Suasana menjadi hening. Masa seolah-olah terhenti.

Tiga hari telah berlalu sejak doktor mencadangkan agar sokongan mesin dihentikan.
Namun keluarga masih belum mampu membuat keputusan itu. Setiap hari yang berlalu terasa seperti beban yang menyeksa emosi mereka.

Ayah dan datuk Izhan tidak pernah berhenti berusaha. Mereka terus mencari alternatif — bertanya tentang rawatan lain, pemindahan ke pusat pemulihan, atau terapi eksperimental. Bagi mereka, selagi nadi Izhan masih berdenyut, selagi itu ada ruang untuk harapan.

Di sisi lain, Aurora semakin terperangkap dalam rasa bersalah dan kesedihan. Dia tidak mampu lagi menangis — air matanya seolah telah kering. Namun rakan-rakan rapatnya tidak pernah membiarkannya keseorangan. Mereka datang hampir setiap hari, membawanya keluar menghirup udara segar, berbual, atau sekadar menemani dalam diam.

“Kau kena kuat, Aurora,” kata salah seorang sahabatnya perlahan.
“Izhan perlukan doa dan semangat kita semua…”

Aurora hanya mengangguk, meskipun senyuman masih belum mampu terukir di bibirnya.
Dalam hatinya, dia hanya berharap… agar dia masih sempat menyampaikan segala yang belum pernah diucapkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience