Bab 28: Sepi di Hujung Harapan

Romance Series 967

Sudah dua minggu berlalu sejak insiden tragis itu berlaku di litar lumba Perancis. Namun, keadaan Izhan masih kekal sama—tidak sedarkan diri, tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Mesin di sekelilingnya terus memantau degupan jantung dan kadar pernafasannya, tetapi tiada perubahan signifikan.

Adrian masih berada di Perancis, tidak berganjak dari sisi sepupunya itu. Kedua ibu bapa Izhan juga enggan pulang ke Sepanyol, tekad menemani anak mereka selagi hayat dikandung badan.

Sebenarnya, doktor masih belum membenarkan Izhan dipindahkan ke Sepanyol. Salah satu sebabnya adalah keadaan tulang rusuk Izhan yang retak teruk dan menghimpit organ penting, termasuk paru-paru. Dalam kes seperti ini, tekanan kabin dalam pesawat, meskipun pesawat perubatan khas, boleh memburukkan keadaan dan berisiko mencetuskan komplikasi seperti pneumotoraks (paru-paru runtuh). Oleh itu, dia terpaksa dirawat sepenuhnya di Perancis sehingga tubuhnya cukup stabil untuk dipindahkan.

Setiap hari, Adrian menerima panggilan dan mesej daripada rakan-rakan pelumba, kenalan rapat dan sahabat mereka di Malaysia termasuk pensyarah yang bertanyakan perkembangan Izhan. Mereka semua menunjukkan keprihatinan dan menghantar doa.
Namun satu nama tidak muncul—Aurora.

Aurora masih belum menghubungi Adrian.

Setiap hari, dia memerhati perkembangan Izhan dari jauh melalui laporan berita dan akaun media sosial pasukan PR1M3. Hatinya semakin berat. Rasa bersalah menyelubungi seluruh jiwanya. Dia berasa dia telah mengkhianati Izhan—lelaki yang pernah memberinya rasa dihargai dan dicintai sepenuh hati.

Dia masih teringat malam sebelum Izhan berlepas ke Perancis. Dia mahu bertemu dengan Izhan. Dia hampir melakukannya… namun dia takut. Takut akan kebenaran perasaannya sendiri. Takut menyakiti Irfan. Dan sekarang, semuanya sudah terlambat.

Setiap malam, Aurora menangis sendiri di biliknya. Dia menatap telefon dengan jari yang bergetar—terhenti di nombor Adrian.

Tapi dia tak pernah menekan butang ‘call’.

Adrian pula kelihatan semakin lesu. Tubuhnya ada, tetapi jiwanya kosong. Dalam dirinya berputar-putar soalan yang tidak mampu dijawab—"Kenapa bukan aku yang terjatuh hari itu?

Setiap kali dia memandang wajah sepupunya yang kaku, dia teringatkan saat mereka sama-sama ketawa di garaj, mempersenda mekanik, berbincang tentang strategi, dan saling mendorong untuk jadi lebih baik.

Namun kini, hanya bunyi mesin ventilator dan degupan jantung lemah Izhan yang menemani dia.

Kadang-kadang, dia bercakap dengan Izhan—menceritakan hal-hal kecil tentang dunia luar, pasukan mereka, mesej-mesej peminat yang masih mengharapkan Izhan akan kembali menunggang jentera PR1M3.

Malam itu, Aurora tidak dapat tidur. Dia bangun dan berdiri di hadapan cermin. Matanya sembap, wajahnya kelihatan lebih pucat dari biasa. Dia memandang dirinya dan untuk pertama kalinya, dia berkata dengan jujur,

“Aku rindukan dia. Aku terlalu rindukan dia …”

Beberapa hari kemudian, ketika waktu makan malam tiba, suasana sunyi menyelubungi ruang khas keluarga. Walaupun makanan terhidang, tiada siapa yang benar-benar punya selera. Adrian duduk di sebelah ibu Izhan, memerhati wajah wanita itu yang terlihat kurang tidur.

Ayah Izhan memecahkan kesunyian dengan suara lembut, namun tegas.

“Adrian… kami sangat hargai semua yang kamu buat di sini. Tapi kamu juga ada tanggungjawab di Malaysia. Kamu perlu sambung belajar dan teruskan hidup seperti biasa dulu. Kami akan tetap di sini menemani Izhan.”

Ibu Izhan turut mengangguk sambil memegang tangan Adrian.

“Kamu anak yang baik, sayang. Tapi kami tak mahu kamu terbeban. Pulanglah dulu. Kalau ada perkembangan, kamu orang pertama yang akan kami hubungi.”

Adrian menghela nafas perlahan. Sungguh, hatinya berat. Tetapi dia tahu, Uncle dan Auntie-nya benar. Dia tidak boleh terus berhenti daripada kehidupannya sendiri.

Keesokan harinya, sebelum berangkat ke lapangan terbang, Adrian masuk semula ke bilik ICU di mana Izhan masih tidak sedarkan diri. Bunyi mesin perubatan menjadi latar sunyi dalam suasana penuh emosi itu.

Adrian menghampiri katil Izhan dan duduk di tepi, memegang tangan sepupunya yang kaku.

“Bro… aku terpaksa balik Malaysia. Tapi ini bukan selamat tinggal, okey?” bisiknya, suaranya bergetar.

“Aku akan balik semula ke sini… bila-bila masa kau perlukan aku. Tapi sekarang, kau kena kuat… kau kena bangun. Kami semua tunggu kau."

Setibanya di Malaysia, Adrian disambut oleh sahabatnya di lapangan terbang. Wajahnya nampak tenang di luar, namun dalamannya bergelora. Dia kembali ke kampus beberapa hari kemudian, cuba menyesuaikan diri dengan rutin semula. Namun fikirannya masih tidak lepas daripada Izhan.

Rakan-rakan terdekat datang menegur dan bertanya perkembangan. Adrian menjawab dengan ringkas, tapi cukup untuk menggambarkan bahawa Izhan masih belum sedar. Ada masa dia termenung di perpustakaan, di bilik kuliah, atau ketika menunggang motosikalnya sendiri. Segalanya mengingatkan dia pada Izhan.

Hari itu, selepas tamat kelas petang, Adrian melangkah perlahan menuju ke parkir motosikal. Dia tidak berniat untuk keluar ke mana-mana, hanya mahu pulang dan berehat selepas seminggu yang cukup melelahkan secara mental dan fizikal. Namun ketika melewati bangunan fakulti, langkahnya terhenti.

Di bangku batu berhampiran taman kecil kampus, dia terlihat seseorang yang amat dikenali. Aurora.

Gadis itu duduk bersendirian, merenung kosong ke arah rumput yang mula menguning. Wajahnya kelihatan letih, matanya sembap seperti kurang tidur. Aurora langsung tidak perasan kehadiran Adrian.

Adrian memerhati sejenak sebelum menghampiri perlahan.
“Aurora?” sapanya dengan suara tenang.

Aurora terkejut kecil, lalu menoleh. Dia cuba mengukir senyuman, namun tidak berjaya menutup kesedihan yang begitu jelas terpancar di wajahnya.

“Kau okay?” soal Adrian, walaupun dia tahu jawapannya sudah jelas dari air muka Aurora.

Aurora tunduk, tidak mampu menjawab. Adrian tidak mendesak. Dia hanya berkata,
“Jom. Aku belanja kau minum. Kita pergi tempat yang tenang sikit.”

Beberapa minit kemudian, mereka berdua duduk di sudut paling hujung sebuah kafe yang tenang. Bau kopi menyelubungi ruang, tetapi suasana di antara mereka berat dan sunyi.
Aurora masih belum berkata apa-apa. Dia hanya memandang cawan di hadapannya, jari jemarinya bermain di bibir cawan tanpa tujuan.

Adrian akhirnya bersuara, perlahan dan penuh empati.

“Aku tahu kau nak tahu pasal Izhan. Tapi mungkin kau takut nak tanya aku secara terus…”
Dia berhenti sebentar, memberi ruang untuk Aurora bersedia.
“Jadi aku akan cerita semuanya.”

Aurora mengangkat wajah, matanya berkaca.

Adrian menyambung.

“Izhan masih belum sedar, koma sejak hari kejadian. Sehingga kini, dia masih belum menunjukkan sebarang tindak balas yang stabil."

Adrian memaklumkan bahawa doktor masih berusaha keras memantau perkembangan Izhan, dan setiap hari penuh dengan debaran menanti keajaiban.

Adrian menambahkan, "Izhan juga tidak dapat dipindahkan ke Sepanyol. Tulang rusuk dia ada patah, dan paru-paru dia terkesan dari hentakan kuat waktu kemalangan tu. Doktor kata perjalanan pemulihan akan ambil masa.”

Aurora terdiam, bagai hilang kata. Dadanya sesak, matanya mula digenangi air mata yang tak mampu ditahan lagi. Selama ini dia cuba menghapuskan rasa terhadap Izhan — namun semua kenangan kembali satu demi satu, menghantui setiap ruang jiwanya.

Aurora menggenggam cawan erat. Air matanya jatuh tanpa suara dan akhirnya bersuara, perlahan dan lemah.

“Kenapa aku rasa sangat bersalah… Aku pergi daripada dia. Aku jauhkan diri. Aku… aku kecewakan dia.”

Adrian menggeleng.

“Dia tak pernah salahkan kau, Aurora. Kau tahu apa yang dia cakap pada aku sebelum race hari tu?”

Adrian senyum pahit.

“Dia cakap, walau apa pun jadi… dia nak terus berjuang. Untuk orang-orang yang dia sayang. Aku tahu, dia maksudkan kau juga.”

Aurora tidak dapat menahan tangis. Dia menutup wajah dengan tangan, bahunya bergetar.

Adrian duduk di situ, membiarkan dia lepaskan segala rasa. Dia tahu, itu yang Aurora perlukan — bukan penjelasan, bukan nasihat, tetapi seseorang yang faham kesakitan hatinya.

Petang itu berlalu dengan perbualan yang berat, namun penuh kelegaan. Aurora akhirnya meluahkan semuanya kepada Adrian — rasa rindu, rasa bersalah, rasa takut kehilangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience