Bab 40: Benih Yang Disemai Kembali

Romance Series 1415

Adrian menarik kerusinya dan duduk kembali di meja berhadapan dengan Izhan.

“Sorry, barisan panjang.” katanya sambil meletakkan gelas di atas meja.

Sofea yang duduk kembali di hadapan Aurora turut menambah, “Serius, ramai sangat orang kat kaunter tadi. Maaf ya, lama tunggu.”

Izhan hanya mengangguk perlahan. “Tak apa…” jawabnya pendek, walaupun dalam hati, jantungnya sedikit laju sejak tadi.

Adrian tersengih sambil menyandar ke kerusi. “Tapi sempatlah korang borak-borak, kan?”

Sofea mencelah, pandangannya ke arah Aurora. “Nampak macam tenang je meja ni. Senyap, tapi lain macam.”

Aurora tersenyum kecil tanpa menjawab. Izhan pula sekadar mengangkat kening, cuba menutup rasa berdebarnya dengan senyuman nipis.

Adrian ketawa kecil, “Entah kenapa… aku rasa macam ada harapan nak tengok suasana dulu balik semula.”

Sofea mengangguk setuju. “Kalau betul, alhamdulillah. Kami sokong je.”

Izhan hanya tersenyum sambil mengalihkan pandangan ke arah lain. Dalam diam, dia tahu — perbualan ringkas itu membawa maksud yang lebih besar daripada sekadar usikan biasa.

Setelah selesai makan, mereka berempat masih duduk berbual-bual di meja masing-masing yang bersebelahan. Tanpa sedar, hampir 30 minit telah berlalu.

Suasana terasa ringan dan menyenangkan. Izhan kelihatan sangat selesa berada di sisi Aurora, dan Aurora juga tidak kelihatan kekok seperti sebelumnya.

Perbualan mereka melangkaui topik harian — daripada Sukan Fakulti hinggalah ke program pelajar akhir anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Sesekali mereka ketawa kecil mendengar cerita lucu tentang aktiviti kampus, sesekali pula mereka berkongsi pandangan tentang beban tugasan yang semakin banyak menjelang akhir semester.

Masa seolah-olah berlalu begitu pantas. Apa yang dimulakan dengan sedikit kekok, kini berubah menjadi saat yang sederhana namun bermakna.

Dalam hati masing-masing, mungkin tidak terluah sepenuhnya — tetapi mereka tahu, saat seperti ini adalah sesuatu yang sudah lama mereka rindukan.

Tepat jam 6 petang, mereka memutuskan untuk pulang. Tanpa sedar, sudah terlalu lama mereka berada di kafe — suasana santai dan perbualan yang berlarutan membuat masa terasa begitu pantas berlalu.

Izhan dan Adrian kemudian menawarkan diri untuk menghantar Aurora dan Sofea pulang ke kampus dengan kereta. Lagipun, laluan mereka searah, jadi tiada masalah untuk menghantar kedua-dua gadis itu pulang terlebih dahulu.

Aurora dan Sofea pada mulanya ingin menolak dengan sopan, namun setelah dipujuk secara bersahaja oleh Adrian, mereka akhirnya bersetuju.

Petang itu berakhir dengan suasana yang tenang — tidak terlalu meriah, tetapi cukup meninggalkan rasa selesa dalam hati masing-masing.

Setelah selesai menghantar Aurora dan Sofea ke kolej, Adrian meneruskan perjalanan dengan menghantar Izhan pulang ke rumah.

Sepanjang perjalanan, suasana dalam kereta dipenuhi dengan gelak tawa dan cerita ringan antara dua sepupu itu.

Sebaik tiba di hadapan rumah Izhan, Adrian menoleh ke arahnya dan bertanya, “Macam mana hari kau hari ni?”

Izhan tidak terus menjawab. Dia hanya tersenyum kecil sambil membuka pintu kereta. Tapi tanpa sepatah pun kata, jelas terpancar di wajahnya — hari itu merupakan hari yang membahagiakan.

Adrian hanya menggeleng perlahan sambil tersenyum. Dia faham benar maksud diam itu.

Hari-hari berikutnya berjalan seperti biasa. Kuliah diteruskan, tugasan disiapkan, dan kehidupan kampus kembali kepada rutin asal. Namun di sebalik kesibukan itu, ada sesuatu yang perlahan-lahan berubah — Izhan dan Aurora mula kelihatan lebih tenang apabila bertembung, walaupun tiada yang diungkap secara jelas.

Dalam diam, Adrian dan Sofea masih menyusun langkah seterusnya. Mereka tidak tergesa-gesa, tetapi jelas ada niat untuk meneruskan rancangan yang telah mereka mulakan — semua itu dilakukan tanpa pengetahuan Izhan dan Aurora.

Bagi mereka, jika ada peluang untuk menyatukan dua hati yang pernah renggang, biarlah ia dilakukan perlahan-lahan, tanpa paksaan… tetapi dengan keikhlasan.

Pada suatu petang selepas kelas, Adrian dan Sofea bertemu secara kebetulan di kafe kecil berdekatan fakulti. Kedua-duanya mengambil tempat duduk di bahagian luar, menghadap pemandangan kampus yang mula lengang menjelang waktu senja.

Tanpa perlu berbasa-basi, Sofea membuka mulut, “Awak rasa dah sampai masa untuk langkah seterusnya?”

Adrian menyedut minumannya perlahan sebelum menjawab, “Kalau tunggu lagi, takut makin jauh. Saya rasa ini masa yang sesuai.”

Mereka berbincang, tetapi tidak terlalu serius. Rancangan yang mereka susun bukanlah satu paksaan — sebaliknya cuma mahu mencipta peluang, ruang, dan suasana agar Izhan dan Aurora boleh berbual lagi seperti hari itu.

“Ada satu program anjuran universiti minggu depan. Nanti saya boleh cadangkan Izhan untuk jadi ketua kumpulan,” kata Adrian sambil senyum nipis.

Sofea membalas, “Dan Saya boleh pastikan Aurora dimasukkan dalam kumpulan sama… dengan alasan 'keseimbangan bidang'.”

Mereka ketawa kecil, bukan kerana mempermainkan, tetapi kerana lega — semuanya terasa semakin masuk akal. Tiada yang dirancang secara paksaan. Mereka cuma menjadi penggerak kecil kepada sesuatu yang mungkin besar.

“Yang penting, jangan buat mereka sedar,” ujar Sofea sambil mengangkat kening.

Adrian angguk perlahan. “Kita bantu di belakang je. Kalau memang ada rasa tu… selebihnya, biar mereka sendiri yang pilih jalan.”

Petang itu ditutup dengan satu persetujuan diam-diam — rancangan seterusnya sudah bermula. Kini tinggal masa untuk melihat sama ada dua hati itu benar-benar mahu kembali bertaut… atau sekadar berlalu.

Minggu berikutnya, program anjuran universiti bermula seperti yang dirancang.

Setiap kumpulan dibentuk oleh pensyarah dan fasilitator atas cadangan urus setia — salah satunya ialah Adrian, yang sememangnya sudah mengatur susunannya bersama Sofea.

Izhan tiba sedikit awal ke dewan aktiviti dan mengambil tempat di barisan hadapan. Ketika senarai kumpulan mula ditampal di papan kenyataan, dia bangun untuk melihat.

Matanya tertancap pada nama sendiri di bawah Kumpulan 3:
Izhan, Aurora, Daniel, Sofea, Nurul

Dahi Izhan sedikit berkerut. “Aurora?” bisiknya perlahan. Dia menoleh ke arah Adrian yang berdiri tidak jauh darinya, tapi sepupunya itu hanya menjawab dengan senyuman selamba.

Beberapa minit kemudian, Aurora tiba bersama Sofea. Mereka turut melihat senarai kumpulan dan reaksi Aurora hampir sama — matanya cepat terpaku pada satu nama: Izhan.

Aurora menoleh ke arah Sofea. “Awak tahu ke pasal ni?” soalnya separuh curiga.

Sofea angkat bahu, cuba berlagak tidak tahu. “Saya pun baru tengok tadi. Tapi okey lah… kan?”

Aurora tidak menjawab. Dia hanya menghela nafas dan mengangguk perlahan. Dalam hati, dia tidak tahu mahu rasa apa — terkejut, canggung… atau mungkin, sedikit lega.

Ketika semua ahli Kumpulan 3 mula berkumpul di satu sudut, Izhan dan Aurora bersalaman dan menegur seperti biasa. Tiada riak berlebihan, tetapi senyuman masing-masing kelihatan lebih jujur daripada sebelumnya.

“Lama tak kerja kumpulan sekali,” ujar Izhan dengan nada ringan.

Aurora membalas sambil tersenyum.

Sofea dan Adrian yang berada tidak jauh hanya berpandangan dan tersenyum. Bagi mereka, ini bukan tentang memaksa — tetapi memberi ruang. Ruang untuk dua hati yang mungkin belum selesai.

Program tersebut berlangsung dengan lancar dari awal hingga akhir. Setiap kumpulan bekerjasama dengan baik, termasuk Kumpulan 3 yang dianggotai oleh Izhan dan Aurora.

Walaupun pada awalnya suasana antara mereka sedikit kekok, namun ketika bekerja dalam kumpulan, segalanya berjalan dengan baik. Perbincangan mereka profesional, dan pembahagian tugas dilakukan dengan teratur tanpa sebarang masalah.

Aurora dan Izhan menunjukkan sikap matang dalam bekerjasama — tiada ketegangan, tiada kejanggalan yang ketara. Malah, sesekali mereka saling bertukar pandangan dengan tenang dan saling menghormati.

Dari jauh, Adrian dan Sofea memerhati dengan perasaan gembira.

Rancangan kecil mereka mungkin tidak sempurna, tapi hasilnya lebih daripada apa yang mereka harapkan — dua hati yang pernah menjauh, kini kembali mampu duduk dan bekerja bersama dalam suasana yang harmoni.

Program akhirnya melabuhkan tirai menjelang petang. Semua kumpulan selesai membentangkan projek masing-masing, termasuk kumpulan Izhan dan Aurora yang menerima pujian atas persembahan mereka yang teratur dan kemas.

Selepas majlis penutup, para peserta mula bersurai perlahan-lahan. Ada yang mengambil gambar kenangan, ada yang terus pulang, dan ada juga yang berbual santai di luar dewan.

Izhan sedang mengemas bahan-bahan pembentangan ketika Aurora menghampirinya.

“Terima kasih."katanya dengan senyuman kecil.

Izhan memandangnya dan membalas, “Sama-sama. Senang kerja sama dengan awak.”

Aurora hanya mengangguk perlahan. Tiada yang terlalu istimewa dalam kata-kata itu, namun nada mereka kali ini terasa berbeza — lebih terbuka, lebih tenang, dan jauh dari rasa janggal yang dulu.

Dari kejauhan, Adrian dan Sofea hanya tersenyum puas hati melihat interaksi kecil itu. Mereka tidak perlu campur tangan lagi. Bagi mereka, misi telah selesai.

Sebelum mereka semua berpisah, Izhan sempat memandang Aurora sekali lagi. Dia tidak berkata apa-apa, cuma memberi isyarat kecil dengan tangannya — seperti mahu berkata, “Jumpa lagi.”

Aurora membalas dengan anggukan dan senyuman yang ringkas… tetapi bermakna.

Petang itu mereka berpisah dengan langkah yang ringan, namun masing-masing tahu — ada sesuatu yang perlahan-lahan sedang kembali tumbuh… tanpa paksaan, hanya dengan rasa yang jujur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience