Dua minggu kemudian, hari khamis, hanya Adrian yang ke perpustakaan kerana Izhan masih terikat dengan mesyuarat berkaitan fakulti mereka. Sahabat-sahabat yang lain pula mengisi masa lapang dengan pelbagai cara — ada yang bermain bola, ada yang bermain badminton, dan ada juga yang memilih untuk pulang ke rumah bagi berehat.
Adrian ke perpustakaan dengan niat untuk menyiapkan tugasan. Beberapa minit selepas tiba, dia tidak sengaja terserempak dengan Sofea, rakan kepada Aurora. Mereka saling menyapa, dan tanpa dirancang, mereka akhirnya duduk bersama dan menyiapkan tugasan masing-masing — walaupun berlainan bidang.
Selesai belajar, mereka memutuskan untuk makan bersama sebelum pulang. Di meja makan itu, perbualan mereka menjadi semakin santai dan terbuka. Mereka berbicara tentang kehidupan, pelajaran, dan akhirnya — soal Izhan dan Aurora.
Adrian, yang sudah lama menyimpan tanda tanya, akhirnya bertanya secara jujur tentang Aurora. Sofea, setelah berfikir sejenak, menceritakan segalanya. Tentang hubungan Aurora dan Irfan yang sudah lama berakhir, tentang perasaan yang mungkin masih terpendam, dan tentang bagaimana Aurora sebenarnya tidak pernah berhenti ambil tahu tentang Izhan dari jauh.
Adrian termenung sejenak selepas mendengar cerita dari Sofea. Dalam diam, rasa bersalah mula menyelubungi dirinya. Beberapa bulan yang lalu, dia langsung tidak pernah menghubungi atau mengabari Aurora tentang Izhan.
Kini setelah tahu semuanya, Adrian sedar — mungkin selama ini dia turut menyumbang kepada jarak dan salah faham yang terbina antara dua hati yang saling menunggu tapi tidak pernah berani mendekat.
Setelah memikirkan segalanya, Adrian akhirnya membuat keputusan — dia tidak mahu terus berdiam diri. Sudah terlalu lama Izhan dan Aurora terperangkap dalam kekeliruan dan salah faham yang tidak sepatutnya wujud.
Dengan niat yang ikhlas, Adrian menyuarakan hasratnya kepada Sofea untuk cuba mengeratkan kembali hubungan antara Izhan dan Aurora. Tanpa ragu, Sofea terus bersetuju. Dia memahami isi hati sahabatnya itu lebih daripada sesiapa. Aurora mungkin kelihatan tenang, tetapi Sofea tahu — ada sesuatu yang disimpan rapi dalam diam.
“Kalau itu boleh buat dia bahagia, aku akan bantu,” kata Sofea sambil tersenyum.
Mereka berdua mula menyusun rancangan kecil, tidak drastik, tetapi cukup untuk memberi ruang dan peluang agar dua hati yang terpisah itu kembali bertemu — kali ini tanpa bayang-bayang masa lalu.
Petang Jumaat itu, langit agak mendung. Adrian sengaja mengajak Izhan ke kafe berhampiran kampus, kononnya untuk berbincang mengenai tugasan kumpulan yang belum selesai. Izhan pada awalnya agak keberatan — dia penat selepas kelas panjang, tetapi akhirnya akur.
Sementara itu, Sofea pula mengajak Aurora keluar minum petang. Alasannya ringkas, katanya mahu ‘hilangkan tekanan’ selepas seminggu yang penuh dengan kuliah dan tutorial. Aurora menurut, walaupun sebenarnya fikirannya agak serabut sejak kebelakangan ini — tanpa sebab yang jelas, atau mungkin dia sendiri tahu sebabnya tapi enggan mengaku.
Kafe itu tidak terlalu sesak, namun cukup ramai untuk mengaburkan niat sebenar dua yang sedang merancang sesuatu di balik senyuman.
Dan seperti yang dirancang, dua meja kosong yang bersebelahan menjadi tempat duduk mereka. Izhan yang sedang menunduk melihat menu, tidak menyedari kehadiran Aurora — sehinggalah suara lembut itu menyapa pelayan tidak jauh dari tempat duduknya.
Serentak, Izhan mengangkat muka. Aurora pun begitu. Mata mereka bertemu seketika. Sunyi. Hanya beberapa saat, namun cukup untuk menghidupkan kembali segala rasa yang pernah mereka pendam.
Adrian dan Sofea hanya memandang dari sisi, berpura-pura seperti tidak tahu apa-apa. Tapi di dalam hati, mereka berharap — moga pertemuan kali ini bukan hanya kebetulan, tapi permulaan yang baru.
Untuk seketika, mereka hanya saling berpandangan. Tiada siapa yang tahu siapa patut memulakan bicara terlebih dahulu. Suasana di kafe terasa sepi dalam kepala masing-masing, walaupun bunyi hiruk-pikuk pelanggan lain masih kedengaran.
Akhirnya, Izhan memberanikan diri. Dia senyum kecil, dan dengan nada lembut, berkata:
“Lama tak nampak… awak sihat?”
Aurora sedikit terkejut, tapi dia membalas dengan senyuman yang hampir tidak dapat disembunyikan.
“Sihat…”
Izhan mengangguk. Canggung itu masih terasa, tapi anehnya, perasaan tenang juga menyelinap perlahan. Sebelum ini, dia selalu membayangkan pertemuan semula itu akan menjadi lebih tegang, tapi ternyata — ia tidak seteruk yang difikirkan.
Aurora menyambung perlahan, matanya tidak lepas dari cawan kopi di hadapannya.
“Saya dengar awak sibuk dengan program fakulti… baguslah, awak makin aktif sekarang.”
Izhan tersenyum. “Kadang-kadang terlalu sibuk sampai tak sempat fikir benda lain.”
Aurora tidak membalas, hanya mengangguk kecil. Tapi Izhan tahu, itu bukan diam yang kosong — itu diam yang penuh cerita yang belum diceritakan.
Setelah beberapa minit, Adrian bersuara,
“Berdua je?” tanyanya sambil tersenyum nakal, matanya memandang Izhan dan Aurora bergilir-gilir.
Sofea senyum tipis lalu menjawab, “Ye, saja nak healing.”
Aurora menjeling Sofea, kemudian menggeleng perlahan sambil tersenyum malu. “Healing la sangat…”
Izhan menyambung, bersahaja, “Kebetulan pula semua orang datang sini nak ‘healing’ hari ni.”
Adrian ketawa kecil. “Kadang-kadang healing tak perlu jauh. Duduk dengan orang yang betul pun dah cukup.”
Ayat itu membuatkan suasana sedikit sunyi, tapi dalam cara yang hangat. Aurora memandang ke arah Izhan seketika — dan buat pertama kali sejak sekian lama, Izhan tidak mengalihkan pandangan.
Sofea perasan suasana itu, lalu berpura-pura mencari alasan.
“Eh, air kita lambat betul… Jom pergi kaunter tanya, Adrian.”
Adrian, faham benar isyarat itu, cepat-cepat bangun. “Ya lah, jom. Kesian awak tunggu lama sangat,” katanya sambil menahan senyum.
Mereka berdua berlalu ke kaunter, meninggalkan Izhan dan Aurora berdua semula — kali ini dengan lebih banyak ruang untuk berbicara, tanpa gangguan.
Sekarang tinggal mereka berdua sahaja di meja itu. Walaupun suasana masih sedikit janggal, kedua-duanya tetap berusaha membuka perbualan.
Mereka mula bertukar cerita secara perlahan — tentang bagaimana hari-hari mereka sepanjang minggu, tugasan yang semakin bertambah, kelas yang padat, serta program-program yang dianjurkan di fakulti masing-masing.
Izhan juga sempat bertanya tentang aktiviti sukan di fakulti Aurora, sambil berkongsi tentang perlawanan bola yang disertainya bersama rakan-rakan.
Aurora pula menceritakan tentang aktiviti badminton yang dia dan rakan-rakannya sertai, walaupun hanya sekadar mengisi masa lapang.
Perbualan mereka mungkin ringkas, tetapi cukup untuk menghapuskan sedikit demi sedikit rasa kekok yang terbina sejak sekian lama. Dalam bicara biasa itu, ada ketenangan yang perlahan-lahan kembali terasa.
Dari jauh, Adrian dan Sofea hanya tersenyum memerhati dari kaunter. Pandangan mereka tertumpu kepada Izhan dan Aurora yang kini sedang rancak berbual, walaupun pada awalnya agak canggung.
Sofea menyiku perlahan lengan Adrian sambil berbisik, “Nampaknya rancangan kita menjadi…”
Adrian ketawa kecil, menahan rasa puas hati. “Langkah pertama yang sangat memberangsangkan.”
Mereka berdua saling berpandangan, gembira melihat dua insan itu kembali berhubung — bukan sebagai orang asing, tetapi sebagai sahabat yang sedang menapak semula ke arah yang mungkin lebih istimewa.
Tanpa perlu campur tangan lagi, mereka tahu, selebihnya kini terpulang kepada Izhan dan Aurora sendiri.
Share this novel