Bab 21: Sudah Sembuh, Masih Luka

Romance Series 967

Hari demi hari berlalu, namun bagi Izhan, setiap satunya terasa berat dan memenatkan. Walaupun dirinya sibuk dengan latihan, tugasan universiti, dan persiapan menghadapi perlumbaan seterusnya, fikirannya tetap kembali kepada Aurora.

Setiap kali terserempak dengan Aurora — sama ada di kafe kampus mahupun di perpustakaan — hatinya seperti disentap perlahan. Aurora kelihatan tenang, tersenyum seperti biasa.

Suatu petang ketika sedang menunggu Adrian di kafe kampus, Izhan terdengar sekumpulan pelajar perempuan bercakap tidak jauh dari tempat duduknya. Salah seorang daripada mereka merupakan rakan sekelas Aurora. Mereka berbual agak kuat tanpa menyedari kewujudan Izhan yang duduk berdekatan.

“Aku dengar Aurora sudah berpunya sekarang?"

"Betul, aku dengar juga begitu,” ujar salah seorang gadis itu.

Izhan hanya tunduk. Tangannya menggenggam cawan kopi yang hampir sejuk. Hatinya retak lagi. Kali ini, bukan sekadar retak — tapi terasa hancur sepenuhnya. Benarlah apa yang dilihat dan dirasainya selama ini. Aurora bukan lagi miliknya, dan mungkin tidak pernah betul-betul jadi miliknya.

Selang beberapa hari kemudian, pada suatu petang selepas kuliah, Izhan, Adrian dan sahabatnya yang lain sedang berbual-bual di tepi tasik sambil menikmati angin petang.

Tiba-tiba, suara yang tidak disangka-sangka menyapa dari arah belakang.

“Hai, Iz.”

Izhan menoleh — Ryena.

Dia berdiri dengan senyuman yang sama seperti dahulu. Rambutnya dibiarkan lepas, dan gaya pakaian kasualnya masih menampilkan auranya.

Adrian dan rakan-rakan lain terdiam, masing-masing saling berpandangan. Mata mereka tertumpu pada Ryena.

“Ryena?” Izhan bersuara perlahan.

“Ya. I’m back,” jawab Ryena ringkas sambil tersenyum lembut.

Kehadiran Ryena tidak memberi kesan apa-apa kepada Izhan. Hal ini disebabkan dia sudah benar-benar melupakan cinta pertamanya itu. Waktu telah mengubah banyak perkara dalam hidupnya, dan luka lama bersama Ryena sudah lama sembuh—tanpa niat untuk diungkit kembali.

Walaupun rakan-rakannya kelihatan terkejut dengan kemunculan Ryena, Izhan tetap tenang. Dia sekadar mengangguk kecil dan tersenyum nipis sebagai tanda hormat. Tiada debaran, tiada rasa rindu, tiada sebarang bayangan nostalgia yang hadir dalam fikirannya.

"Selamat kembali," katanya pendek.

Ryena sedikit tergamam. Dia mengharapkan lebih—reaksi yang mungkin menunjukkan bahawa Izhan masih menyimpannya walau sedikit dalam hati. Tapi ternyata, wajah Izhan begitu kosong, tenang, dan... jauh. Bukan seperti Izhan yang dia tinggalkan dahulu.

Izhan pula segera menukar fokusnya. Baginya, hidup perlu terus ke hadapan. Luka yang baru jauh lebih dalam dan pedih untuk dia hadapi—dan ia bukan disebabkan oleh Ryena. Aurora masih menghantui setiap fikirannya, dan walaupun dia nekad mahu melupakan, hakikatnya... dia masih belum mampu.

Setelah memperlihatkan dirinya di hadapan Izhan dan sahabat-sahabat Izhan, Ryena beredar untuk membiarkan mereka meluangkan masa bersama. Namun begitu, dia dan tiga sahabatnya duduk tidak jauh dari tempat Izhan dan rakan-rakannya berkumpul. Tujuannya jelas—dia masih mahu mencari ruang untuk berbual dengan Izhan secara peribadi.

Beberapa minit berlalu. Suasana di meja Izhan dipenuhi dengan gelak tawa dan perbincangan ringan mengenai pelbagai perkara terutama tentang perlumbaan yang bakal tiba.
Setelah dia melihat Izhan dan rakan-rakannya berdiri untuk pergi, Ryena bangkit dari tempat duduknya dan perlahan-lahan menghampiri Izhan. Melihat kedatangan Ryena semula, mereka memandang antara satu sama lain, seolah-olah faham bahawa sesuatu akan berlaku.

"Maaf menganggu," sapa Ryena dengan senyuman tenang. "Iz ... boleh kita cakap berdua?"

Izhan memandang Adrian seketika, seolah-olah meminta isyarat. Adrian hanya mengangguk kecil. Izhan mengikuti Ryena. Mereka berbual tidak jauh dari situ.

“Apa yang awak nak cakap?” soal Izhan dengan nada yang sopan tapi hambar.

Ryena kelihatan sedikit gelisah. “Saya tahu saya tak patut jumpa awak lagi. Tapi... saya nak minta maaf. Tentang semuanya. Tentang cara kita berakhir dulu.”

Izhan memandangnya, wajahnya tetap tenang. “Itu semua dah lama berlalu. Saya dah maafkan awak lama dah. Awak tak perlu risau.”

“Tapi... awak nampak macam tak sama lagi. Saya tahu, saya tak boleh minta awak kembali. Saya cuma nak awak tahu yang saya menyesal."

Izhan tersenyum nipis lalu meminta diri untuk pergi dari situ. Dia berasa bahawa tiada lagi yang mahu dibincangkan bersama Ryena. Kisah mereka sudah tamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience