Hari peperiksaan pun hampir tamat. Debaran sudah mula berkurang, dan dewan peperiksaan kini menjadi saksi kepada wajah-wajah yang semakin lega. Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, mereka semua akan bercuti panjang — berehat sebelum memulakan semester baru.
Izhan dan rakan-rakannya merancang untuk meluangkan masa bersama sebaik sahaja peperiksaan berakhir. Aktiviti seperti berkelah, menonton filem, dan malam barbeku mula dirancang. Aurora dan rakan-rakannya juga ada dalam perancangan mereka. Ia bukan sahaja sebagai ganjaran selepas berhempas pulas menghadapi peperiksaan, tetapi juga cara untuk mencipta kenangan terakhir sebelum masing-masing pulang ke kampung halaman.
Bagi Izhan, tempoh ini sangat bermakna. Dia bakal pulang ke Sepanyol untuk menyertai musim perlumbaan MotoGP . Dalam tiga bulan akan datang, dia dan Adrian perlu memberikan sepenuh perhatian kepada perlumbaan, latihan, perbincangan strategik dan pelbagai tugasan penting bersama pasukan.
Dia tahu, selama itu, dia tidak akan dapat berjumpa Aurora. Tiga bulan mungkin nampak singkat bagi sesetengah orang, tetapi bagi Izhan, ia terasa panjang — lebih-lebih lagi apabila dia kini semakin pasti tentang perasaannya terhadap Aurora.
Justeru, waktu yang tinggal ini dianggapnya sebagai peluang terakhir untuk meluangkan masa dengan gadis itu sebelum mereka membawa haluan masing-masing buat sementara waktu. Setiap detik, setiap perbualan, setiap senyuman Aurora — Izhan hargai dengan sepenuh hati.
Namun, kali ini, dia tidak dapat menghantar Aurora pulang ke kampung seperti sewaktu cuti midsem lalu. Jadual mereka berdua ke Sepanyol dipercepatkan kerana keperluan perbincangan teknikal bersama pihak pengurusan pasukan. Hatinya berat, tetapi dia tahu ini adalah komitmen yang tidak boleh dielakkan.
Izhan memberitahu Aurora dengan nada lembut suatu petang, ketika mereka duduk di bawah pohon besar berhampiran tasik kampus.
“Saya minta maaf, Aurora... sebab tidak dapat menghantar awak balik kampung kali ni. Saya dan Adrian perlu berlepas awal ke Sepanyol untuk perbincangan dengan pasukan sebelum perlumbaan bermula.”
Aurora terdiam seketika, sebelum tersenyum kecil. “Tidak mengapa. Saya faham.
Izhan tersenyum sambil menatap wajah Aurora yang tenang itu.
Dan dalam hati mereka, kedua-duanya tahu — walaupun tiada janji dilafazkan, ada sesuatu yang sedang tumbuh kuat dan perlahan. Cuti ini mungkin akan memisahkan mereka buat sementara, tapi rasa yang telah mereka bina… tidak akan mudah luntur.
Selepas perbualan itu, Izhan dan Aurora semakin menghargai setiap detik bersama. Mereka meluangkan masa berjalan di sekitar kampus, menikmati udara petang yang nyaman sambil berbual kosong. Izhan berkongsi sedikit tentang tekanan yang dia rasakan menjelang perlumbaan pertama menggunakan enjin ciptaan nya sendiri.
Malam terakhir sebelum Izhan berlepas, dia dan Adrian berkumpul bersama sahabat-sahabatnya termasuk juga Aurora dan rakan-rakan di sebuah kafe kecil yang sering menjadi tempat kegemaran mereka. Suasana penuh dengan gelak tawa, tetapi dalam hati Izhan tersimpan rasa hiba yang sukar diungkapkan. Hal ini disebabkan dia berat hati untuk berjauhan dengan Aurora. Dia tahu perpisahan ini bukan selamanya, tapi tiga bulan tanpa bertemu terasa seperti ujian yang besar.
Sebelum berpisah, Izhan menyerahkan sebuah gelang tangan kecil yang dia bawa khas dari Sepanyol kepada Aurora. “Nah, gelang ini untuk awak, supaya awak sentiasa ingat dekat saya, walau jauh mana pun saya pergi,” katanya dengan suara perlahan.
Aurora menerima gelang itu. “Terima kasih. Saya akan jaga ni baik-baik.”
Ketika hari berlepas tiba, Izhan berdiri di pintu masuk lapangan terbang, matanya mencari wajah Aurora di kalangan orang ramai. Mereka berdua tersenyum, melambai dan berjanji untuk saling menghubungi walaupun berjauhan.
Di dalam hati Izhan, tekad semakin kuat untuk memberi yang terbaik dalam perlumbaan dan membawa pulang kejayaan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk Aurora yang menjadi inspirasinya.
Share this novel