Bab 18: Yang Belum Selesai

Romance Series 967

Sejak bermulanya semester baharu dan kini sudah dua bulan berlalu, hubungan antara Izhan dan Aurora tidak lagi seperti dahulu. Tiada lagi mesej setiap pagi, tiada lagi panggilan di waktu malam, dan tiada lagi gelak tawa yang menemani hari-hari mereka seperti sebelum ini.

Izhan kelihatan tenang di mata luar, tetap hadir ke kelas, bersosial seperti biasa dan menjalani rutin harian tanpa sebarang cela. Namun, bagi mereka yang benar-benar mengenalinya seperti Adrian dan sahabat-sahabat lain, mereka tahu sesuatu telah berubah.

Mereka perasan Izhan kini lebih banyak termenung, sesekali kelihatan seperti hilang fokus, dan sering memandang skrin telefonnya dengan hampa. Namun, mereka memilih untuk tidak bertanya. Masing-masing tahu, jika Izhan mahu bercerita, dia akan lakukannya bila tiba masanya.

Satu malam setelah tamat sesi perbincangan, Izhan dan Adrian duduk menikmati kopi di koridor rumah. Angin malam bertiup lembut, dan suasana agak sepi.
Adrian akhirnya bersuara, perlahan tetapi jujur, “Iz … aku tahu ini mungkin bukan waktu yang sesuai, tapi kau okay ke?”

Izhan terdiam seketika, kemudian menghela nafas panjang. “Aku okay… cuma kadang-kadang aku rindu. Tapi aku pun tak pasti aku rindu siapa — dia yang dulu, atau waktu kita masih berbual setiap hari.”

Adrian memandang sepupunya itu dengan penuh simpati. “Kalau kau masih ada rasa, kenapa tak cari dia? Atau sekurang-kurangnya… tutup cerita itu dengan tenang.”
Izhan tersenyum hambar. “Aku tak tahu kalau aku masih ada tempat dalam hidup dia atau tidak."

Malam itu berlalu dengan perbualan-perbualan kecil, namun kata-kata Adrian berbekas dalam hati Izhan.

Beberapa hari kemudian, nasib seakan mengatur takdir. Izhan terlihat Aurora dari jauh di kafe universiti — dia sedang duduk bersama Irfan. Mereka kelihatan mesra, tertawa kecil, dan mata Aurora berbinar seperti dulu... tapi bukan untuknya.

Izhan tidak menghampiri. Dia hanya memerhati dari jauh, lalu berpaling dan melangkah pergi. Di hatinya, ada sesuatu yang mula dilepaskan perlahan-lahan — bukan kerana dia berhenti menyayangi, tetapi kerana dia sedar, kadang-kadang cinta juga perlu tahu bila harus melepaskan.

Beberapa hari selepas kejadian di kafe itu, Aurora tidak sedar bahawa Izhan pernah melihatnya. Dia masih meneruskan rutinnya seperti biasa, kelas demi kelas, tugasan demi tugasan. Di sisi Irfan, dia kelihatan tenang, tersenyum, malah kelihatan seolah-olah dia telah benar-benar move on. Namun, dalam diam… ada ruang kosong yang dia sendiri sukar untuk jelaskan.

Setiap kali Irfan bercakap tentang masa depan, tentang hubungan yang lebih serius, Aurora hanya mampu senyum nipis. Hatinya tidak lagi sekosong dulu, tetapi juga tidak penuh. Ada sesuatu yang tergantung. Sesuatu yang belum selesai.

Suatu malam, ketika dia menyusun semula nota kuliahnya, dia terpandang satu kertas kecil yang terselit di dalam fail lamanya — sekeping nota yang pernah ditulis Izhan ketika mereka belajar bersama semasa minggu ulangkaji dahulu:

"Semangat untuk final exam! Nanti dah habis exam kita hiking lagi. — Izhan"

Aurora terdiam lama. Jemarinya menggenggam nota itu erat. Wajah Izhan hadir kembali dalam ingatannya — senyumannya yang yakin dan bagaimana dia selalu meletakkan orang lain dahulu sebelum dirinya.

“Aku yang pergi tanpa kata… tapi kenapa rasa ni masih tinggal?” bisiknya perlahan.

Dalam diam, Aurora mula menyemak semula mesej-mesej lama antara mereka. Dia tidak tahu apa yang dia cari, atau mungkin, dia hanya ingin memastikan — sama ada yang mereka miliki dahulu hanyalah kenangan manis yang sementara, atau sesuatu yang lebih bermakna.

Sementara itu, Izhan meneruskan kehidupannya. Jadualnya padat dengan kelas, assignment, latihan untuk sukan fakulti, dan perbincangan mengenai perkembangan mesin motornya. Tapi setiap kali namanya dipanggil oleh pensyarah, atau saat dia melintasi tempat-tempat yang pernah mereka lalui bersama, ada gema halus dalam dirinya yang seolah-olah bertanya:

"Kalau aku cari dia sekarang… adakah semuanya akan berubah?"

Namun, dia tidak bertindak. Mungkin kerana ego. Mungkin kerana takut. Atau mungkin, kerana dia sedang belajar untuk mencintai dari kejauhan.

Dan dalam keheningan malam, dua hati yang pernah hampir bersatu itu… masih belum selesai menulis takdir mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience