Bab 16: Dalam Jeda, Ada Jawapan.

Romance Series 967

Keesokan harinya, Aurora berdiri di hadapan cermin biliknya, memandang pantulan dirinya sendiri. Mesej Irfan malam tadi masih belum dibalas. Hatinya berperang. Ada sebahagian dirinya yang ingin tahu apa yang ingin Irfan katakan, tetapi ada juga sebahagian yang belum bersedia. Dia akhirnya membalas dengan nada lembut tetapi tegas:

"Maaf, Irfan. Saya sibuk dengan kerja dan urusan keluarga minggu ni. Mungkin lain kali."

Irfan hanya membalas, “Tak apa, saya faham. Jaga diri, Aurora.”
Tiada desakan. Tiada paksaan. Dan itu sebenarnya yang membuat Aurora semakin keliru.

Hari-hari selepas itu terasa panjang. Aurora cuba menyibukkan diri — membantu ayahnya menyusun dokumen, menyemak rekaan grafik, malah mengambil projek freelance kecil-kecilan untuk mengalih perhatian. Namun dalam sunyi waktu malam, fikirannya kembali berputar kepada dua nama: Izhan dan Irfan.

Dia tahu Izhan sedang berusaha mengejar impian. Gadis mana yang tidak kagum dengan lelaki sepertinya? Tabah, fokus, dan ada cita-cita besar. Tetapi selama ini, walaupun Izhan baik padanya, Aurora belum benar-benar membuka hatinya. Mereka terlalu baharu, terlalu terbiasa dalam suasana ‘selesa’, tanpa pernah benar-benar bercakap soal hati secara terbuka.

Sebaliknya, Irfan pula adalah kenangan lama yang kembali muncul — hadir ketika Aurora sendiri sedang mencari makna dan rasa tenang dalam kehidupan. Tapi dia juga tahu, kenangan tidak semestinya membawa kepada masa depan. Dan masa depan bersama Irfan adalah sesuatu yang dia sendiri belum pasti.

Beberapa malam kemudian, Aurora duduk di beranda rumahnya. Angin kampung bertiup sepoi, langit dihiasi bintang. Dia membuka mesej Izhan yang masih belum dibalas. Nafasnya panjang sebelum akhirnya dia menaip:

"Izhan… maaf sebab menyepi. Saya ada banyak kerja yang perlu dilakukan."

Dia menekan ‘hantar’ dan memeluk lututnya rapat.

Dan jauh di Sepanyol, ketika Izhan menerima mesej itu, dia menatap lama skrin telefonnya. Tidak marah, tidak kecewa dan hanya diam.

Beberapa hari kemudian, setelah sekian lama tidak bersua, akhirnya Aurora berpeluang bertemu sahabat baiknya, Yasmin. Mereka berdua berpelukan erat di hadapan kafe kecil yang sering mereka kunjungi sewaktu zaman persekolahan. Senyuman dan tawa memenuhi ruang pertemuan itu, seolah-olah segala kerinduan yang terpendam sekian lama kini dilepaskan tanpa perlu banyak kata.

Yasmin kini sudah bekerja di negeri lain sebagai pegawai komunikasi di sebuah syarikat perunding. Dia mendapat cuti seminggu sempena perkahwinan kakaknya yang bakal berlangsung hujung minggu itu. Meski sibuk, dia tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Aurora, sahabat yang paling memahami dirinya sejak kecil.

Mereka duduk berdua di meja tepi tingkap, ditemani kopi panas dan biskut kegemaran mereka. Perbualan mengalir lancar, dari kisah kerja, keluarga hingga ke soal hati.

“Aurora… kau nampak macam serabut je. Okay ke sebenarnya?” tanya Yasmin lembut sambil memandang tepat ke mata Aurora.

Aurora menghela nafas panjang. “Entahlah Min. Hati aku… macam tak tenang. Ada dua orang lelaki yang datang dalam hidup aku. Seorang, Izhan — baik, berprinsip, dan penuh semangat. Seorang lagi… Irfan — kawan lama yang pernah aku suka dulu, yang tiba-tiba muncul balik.”

Yasmin mengangguk perlahan. “Dan kau tak tahu siapa yang kau benar-benar suka?”

Aurora mengangguk kecil. “Aku rasa aku belum bersedia untuk bagi hati aku. Tapi dalam masa yang sama, aku takut kalau aku terlepas orang yang betul.”

Yasmin tersenyum, menggenggam tangan sahabatnya. “Aurora… kadang-kadang jawapan tu tak datang sekelip mata. Tapi kau jangan paksa diri untuk mencintai hanya sebab takut kehilangan. Bila kau betul-betul bersedia, hati kau sendiri akan tahu siapa yang paling kau perlukan.”

Aurora tersentuh. Kata-kata Yasmin bagai memeluk hatinya yang berkecamuk. Mereka berbual hingga petang menjelang, mengenang zaman sekolah, mengusik satu sama lain, dan untuk beberapa jam, Aurora rasa dirinya kembali ke versi paling tulus dan tenang — jauh dari tekanan, kekeliruan dan beban hati.

Sebelum berpisah, Yasmin berkata dengan senyuman:
“Kau jangan risau. Kadang-kadang kita perlu sedikit masa jauh dari semua orang… untuk tahu siapa yang akan tetap tunggu kita dari jauh.”

Aurora mengangguk, kali ini dengan senyuman yang lebih ikhlas. Dia belum punya semua jawapan, tetapi hatinya mula belajar untuk perlahan dan jujur dengan diri sendiri.

Sebulan telah berlalu sejak Irfan mula mendekati Aurora secara perlahan dan berhati-hati. Setiap kali ada waktu lapang, dia akan singgah membawa makanan kegemaran Aurora, atau mengajaknya berjalan santai di taman berdekatan. Mereka tidak pernah berbicara tentang perasaan secara langsung, tetapi Aurora tahu... perhatian itu bukan lagi sekadar sahabat lama.

Di sisi Irfan, Aurora merasa tenang. Dia tidak perlu berpura-pura menjadi siapa-siapa. Dia boleh ketawa, mengadu, dan meluahkan isi hati tentang hidup — dan Irfan sentiasa mendengar. Mungkin, kerana Irfan adalah cinta pertamanya, kenangan itu lebih mudah tumbuh kembali dalam diam.

Selang beberapa hari selepas satu petang yang indah di tepi tasik, Irfan akhirnya menyatakan isi hatinya.

“Aurora,” katanya perlahan sambil memandang jauh ke permukaan air yang tenang. “Dulu saya pernah jadi sebab awak kecewa. Tapi kali ini, saya tak mahu ulang perkara yang sama. Kalau awak beri peluang… saya nak cuba bahagiakan awak semampu saya.”

Aurora diam sejenak. Hatinya berdegup kencang, tetapi bukan kerana terkejut — kerana dalam hatinya, jawapan itu sudah lama terbentuk.

Dia mengangguk perlahan. Entah kenapa dia boleh memberi peluang kepada Irfan sedangkan dia baru sahaja bertemu kembali dengan Irfan sebulan yang lalu dan menerima Irfan dengan sekelip mata.

Irfan tersenyum kerana anggukan itu bermakna Aurora telah memberinya peluang.
Dan sejak hari itu, Aurora dan Irfan mula menyemai cinta yang pernah terkubur. Tiada pengumuman besar. Tiada status media sosial. Hanya dua hati yang kembali bertaut dalam diam.

Dalam masa yang sama, komunikasi antara Aurora dan Izhan terputus sepenuhnya. Tiada lagi mesej ringkas, tiada lagi kata semangat, tiada lagi "jaga diri" yang dulu menjadi rutin. Aurora tidak memberitahu Izhan tentang Irfan, dan Izhan pula… tidak pernah bertanya.

Namun bukan kerana dia tidak peduli. Di Sepanyol, Izhan tenggelam dalam dunia perlumbaan nya. Siri perlumbaan yang padat, pengujian teknikal untuk jentera PR1M3, serta rundingan bersama Adrian dan pasukan jurutera membuatkan fikirannya hanya fokus pada satu perkara iaitu menang.

Sesekali dia terfikir tentang Aurora, tetapi setiap kali dia ingin menulis mesej, dia terhenti. "Mungkin dia sibuk," bisiknya. "Mungkin dia perlukan ruang. Aku pun tak mampu beri masa sekarang."

Dia tidak tahu.

Dia tidak tahu yang hatinya kini bukan lagi tempat utama dalam hidup Aurora.

Dan dia tidak tahu bahawa cinta yang pernah mereka bina dalam diam… kini perlahan-lahan telah berganti arah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience