Bab 26: Dua Garisan Hadapan ke Garisan Luka

Romance Series 967

Sesi kelayakan MotoGP di Le Mans akhirnya melabuhkan tirainya. Litar penuh sejarah itu menjadi saksi kepada kejutan yang tidak dijangka—dua pelumba muda dari PR1M3 Racing Team berjaya mencuri tumpuan. Adrian berjaya meraih petak kedua, hanya terpaut 0.092 saat daripada pole position, manakala Izhan menempati petak ketiga, satu pencapaian yang mengujakan buat pasukan baharu yang baru saja membuat debut mereka di kelas premier dunia.

Sorakan bergema di dalam garaj PR1M3. Para jurutera dan kru pasukan bersorak dan berpelukan sesama sendiri. Beberapa orang daripada mereka kelihatan menitiskan air mata. Tidak ada siapa menyangka bahawa dalam perlumbaan pertama musim ini, dua pelumba muda itu akan berada di barisan hadapan grid bersama pelumba-pelumba senior yang sudah lama mendominasi litar.

Adrian turun dari motornya dengan wajah puas. Topi keledar ditanggalkan dan senyuman lebar terpancar di wajahnya. “Kita hampir dapatkan pole!” katanya kepada pasukan.

Sebaliknya, Izhan turun dari motornya dengan langkah perlahan. Walaupun kedudukannya sangat baik untuk permulaan esok, dia kelihatan sedikit kecewa. Di luar, dia menampilkan ketenangan, namun raut wajahnya jelas menggambarkan kekecewaan yang ditahan. Dia tahu, dia berpeluang besar untuk mencatat masa terpantas sekiranya tidak kehilangan fokus di pusingan terakhir.

Ketika sesi hampir tamat, Izhan telah mencatat masa sektor pertama dan kedua yang terpantas. Namun, ketika masuk ke selekoh ke-12, dia sedikit terlambat menekan brek, menyebabkan motornya keluar terlalu lebar dari garisan ideal. Dia cuba memperbaiki catatan di sektor terakhir, tetapi kesilapan kecil itu sudah cukup untuk menggagalkan impiannya meraih pole position pertamanya.

Setelah sesi kelayakan tamat, Izhan dan Adrian kembali ke motorhome pasukan PR1M3 untuk berehat seketika sebelum perlumbaan Sprint bermula. Kedua-dua pelumba muda itu memerlukan masa untuk menenangkan fikiran dan menstabilkan emosi selepas melalui tekanan kelayakan yang sengit.

Sambil berbaring di katil dalam ruang rehat peribadi mereka, Izhan memejamkan mata, bernafas dalam-dalam, cuba mencari semula fokusnya. Sementara itu, Adrian duduk di sofa, menonton semula rakaman kelayakan tadi untuk mengenalpasti ruang yang boleh diperbaiki.

Tiga jam pun berlalu. Jam di dinding menunjukkan waktu semakin hampir ke Sprint Race. Jantung mereka mula berdegup kencang. Meskipun mereka berdua sudah terbiasa dengan tekanan sejak zaman perlumbaan junior, ini adalah pentas dunia—MotoGP. Dan kali ini, mereka berada di barisan hadapan.

Di petak kedua dan ketiga, mereka berdiri di sebelah pelumba utama dari pasukan pengeluar Ducati, yang kini mendahului kejuaraan dunia. Sorakan penonton bergema di seluruh Litar Le Mans. Kamera dari seluruh dunia menyorot wajah tegang mereka.

Izhan menggenggam erat handle bar motornya. Adrian pula menutup mata seketika, cuba menenangkan diri. Kedua-duanya tahu, apa yang bakal berlaku dalam sepuluh pusingan akan menentukan sejarah pasukan PR1M3.

Lampu isyarat merah mula menyala satu demi satu di atas grid. Bunyi enjin V4 mereka bergema memecah keheningan litar.

Tiga… dua… satu… padam!

Perlumbaan bermula!

Izhan memecut laju dari petak ketiga, berjaya memotong pelumba di hadapan pada selekoh pertama. Gaya tunggangannya jelas agresif—dia menekan brek lewat, mengambil selekoh dengan sudut yang tajam, dan tidak memberi ruang langsung kepada pesaingnya.

Adrian pula mengekalkan gaya tunggangan yang lebih halus—lebih lancar dalam pergerakan, konsisten dan stabil di setiap pusingan. Walaupun tidak seberani Izhan, gaya Adrian membolehkannya mengekalkan momentum dan menunggu peluang yang tepat.

Pusingan demi pusingan, kedudukan mereka semakin kukuh. Izhan memimpin di hadapan, disusuli Adrian yang berjaya memotong pelumba Ducati di selekoh ke-9 pada pusingan ke-6. Kini, dua pelumba PR1M3 berada di tangga pertama dan kedua.

Penonton bersorak. Komentator di seluruh dunia menyebut nama mereka tanpa henti. “ Two young rider from Spain who also has Malaysian blood. A very solid combination makes them both the best riders currently on the circuit – PR1M3 is taking over Le Mans!”

Namun cabaran belum tamat. Di pusingan ke-8, pelumba Ducati cuba menyerang kembali. Izhan hampir tersasar di selekoh terakhir kerana terlalu menekan brek, tetapi dia berjaya mengawal motosikalnya. Adrian, yang berada tepat di belakangnya, menutup ruang serangan dari belakang dan melindungi kedudukan pasukan.

Tiba di pusingan terakhir, mereka saling berkomunikasi melalui isyarat tangan—Izhan memberi isyarat kepada Adrian untuk kekal di belakang, dan fokus menghalang serangan dari pesaing lain. Mereka tidak perlu berlumba sesama sendiri sekarang. Apa yang penting ialah memastikan podium satu dan dua kekal milik PR1M3.

Izhan melintasinya terlebih dahulu, diikuti Adrian hanya 0.321 saat di belakang. Mereka berjaya!

Podium pertama dan kedua untuk PR1M3 Racing Team.Satu kejayaan luar biasa dalam perlumbaan sulung mereka dalam kelas MotoGP.

Kejayaan yang Menyentuh Hati. Tangisan kegembiraan kedengaran dalam garaj PR1M3. Frederick Mola memeluk ketua mekanik sambil menjerit kegembiraan. Dani Ortola, pengurus teknikal mereka, menepuk dada bangga melihat dua pelumba mudanya mendominasi litar bersejarah.

Setelah segalanya selesai, pada malam itu juga, pasukan PR1M3 mengadakan sesi taktikal dan simulasi perlumbaan di dalam bilik mesyuarat pasukan. Adrian dan Izhan duduk di hadapan layar bersama pasukan teknikal, meneliti semula data daripada sprint race tadi.

“Kita akan gunakan strategi yang sama untuk Main race esok,” kata Frederick Mola, Prinsipal Pasukan mereka. “Untuk perlumbaan utama esok, kita akan fokus untuk mendapat podium lagi seperti hari ini. Kalau kita sukar berada di kelompok depan seperti hari ini untuk esok, cuba konsisten dan kekal dalam kelompok depan sehingga lap terakhir.”

Ketua jurutera Izhan menambah, “Izhan, sektor 2 dan 3 kau sangat kuat. Tapi bila masuk sektor 4, kau sedikit hilang masa di selekoh 12 dan 13. Kami akan ubah sedikit suspensi depan kau untuk bantu kau kawal lebih stabil waktu brek.”

Izhan mengangguk. “Saya setuju. Saya rasa motor agak berat di depan bila saya masuk lewat.”

Adrian menyampuk, “Kalau esok hujan... kita semua dalam dunia yang berbeza.”

Semua tertawa kecil, tetapi tahu betapa seriusnya situasi itu. Perlumbaan dalam keadaan basah menuntut kemahiran, ketekalan, dan keberanian yang lebih tinggi. Segala latihan dan data dalam cuaca kering boleh berubah sekelip mata.

Keesokan harinya, langit di atas Litar Le Mans tampak mendung. Awan kelabu menggantung berat, seolah-olah memberi isyarat bahawa hari ini bukan hari biasa. Suasana terasa sunyi sebelum ribut—ribut bunyi enjin, degupan jantung, dan adrenalin yang membuak-buak.

Tepat jam 2 petang, bendera hijau dikibarkan. Perlumbaan utama MotoGP pun bermula.
Izhan dan Adrian, dua pelumba muda sensasi dari PR1M3, memulakan perlumbaan dari petak kedua dan ketiga. Seperti semalam, Izhan memecut pantas ke hadapan, gaya tunggangannya agresif dan tajam—seakan tiada ruang untuk kompromi. Adrian juga memulakan perlumbaan dengan baik, kali ini lebih bertenaga dan yakin, menyedari bahawa peluang untuk meraih kemenangan penuh sangat besar.

Cuaca tidak membantu. Angin bertiup lembut tetapi membawa titisan halus yang mula menyentuh visor pelumba. Awan semakin gelap. Dalam suasana yang penuh ketegangan itu, Izhan, Adrian, dan pelumba utama Ducati terlibat dalam persaingan tiga penjuru yang mendebarkan.Setiap selekoh dilalui dengan penuh risiko, setiap pecutan menuntut ketepatan mutlak.

Namun, pada pusingan ke-15, tragedi berlaku. Di selekoh ke-4, pelumba Ducati cuba memotong Izhan dari dalam. Kedua-duanya bersaing rapat, dan dalam sekelip mata—bam!—perlanggaran kuat berlaku. Izhan terpelanting tinggi ke udara sebelum jatuh terhempas ke atas trek. Motorsikalnya meluncur jauh dan hancur berkecai, asap mula keluar dari bahagian enjin.

Bendera merah segera dikibarkan.

Perlumbaan dihentikan. Semua pelumba diarahkan masuk ke pit. Pegawai perubatan bergegas ke tempat kejadian. Adrian melihat insiden itu dan segera ke arah garaj, tidak berhenti bertanya kepada kru, "Macam mana dia? Apa jadi? Sedar tak dia?"
Namun tiada siapa yang tahu. Izhan tidak sedarkan diri. Dia dikejarkan ke pusat perubatan litar sebelum dipindahkan ke hospital berdekatan. Seluruh pasukan PR1M3 tergamam dan terguncang. Kejayaan semalam terasa jauh dari ingatan. Kini, yang tinggal hanya kegusaran dan ketakutan.

Selepas hampir 10 minit menunggu, perlumbaan disambung semula. Namun tidak bagi Izhan. Adrian, walau hatinya berkecamuk, dipaksa untuk kembali ke atas motorsikal dan menyambung perlumbaan. "Lakukan ini untuk Izhan," bisik ketua pasukan Frederick Mola dengan suara berat.

Adrian mengambil tempat di grid dengan hati yang hancur. Pandangannya kabur, bukan kerana hujan, tetapi kerana air mata yang ditahan sejak tadi. Namun, sebaik perlumbaan disambung, dia cuba untuk fokus. Dalam kepalanya hanya ada satu perkara—“Aku mesti menang untuk Izhan.”

Pusingan demi pusingan, Adrian berlumba dengan penuh emosi. Dia masih sama tidak agresif, perlumbaannya begitu bersih, begitu tepat. Seolah-olah setiap selekoh adalah satu dedikasi buat sepupu nya yang kini terbaring tanpa sedar.

Dan akhirnya, Adrian melintasi garisan penamat—tempat pertama. Tetapi tiada senyuman. Tiada sorakan dari pasukan yang biasanya melompat kegembiraan. Di garaj PR1M3, hanya tangisan yang kedengaran.

Adrian naik ke podium dengan langkah perlahan. Lagu kebangsaan Sepanyol bergema, namun wajahnya suram, tidak seperti semalam. Tangannya mengangkat trofi dengan longlai.

Di seberang dunia, di sebuah pusat membeli-belah, Aurora sedang berjalan bersama Irfan. Mereka baru sahaja selesai menonton wayang apabila skrin besar di ruang legar menayangkan siaran langsung MotoGP.

Aurora berhenti sejenak apabila nama Izhan disebut oleh penyampai berita. Kemudian, paparan memperlihatkan rakaman perlumbaan tadi—dan detik kemalangan Izhan. Aurora kaku.

“Eh, kenapa?” soal Irfan, melihat wajah Aurora yang tiba-tiba berubah.

Aurora menelan air liur, cuba untuk tidak panik. Tetapi dalam hatinya, gelombang keresahan sudah melanda. Dia memandang skrin lagi—melihat tubuh Izhan yang tidak bergerak di atas litar, kemudian diselimuti oleh pengusung.

Air matanya bergenang, namun dia cuba menahan.

“Saya rasa tak sihat… Boleh tak awak hantar saya balik ke kolej sekarang?” katanya perlahan.

Irfan segera mengangguk. Tanpa banyak soal, dia berjalan bersama Aurora ke parkir. Sepanjang perjalanan, Aurora hanya diam. Dalam fikirannya, wajah Izhan bermain-main tanpa henti. Walau apa pun yang terjadi antara mereka, walau sejauh mana hubungan mereka telah berubah, dia tahu… sebahagian dari hatinya masih milik Izhan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience