Izhan, Adrian dan sahabat-sahabat mereka berkunjung ke sebuah litar baharu yang baru sahaja siap dibina minggu lalu. Litar itu dibangunkan khusus untuk Izhan dan Adrian bagi sesi latihan mereka. Ia dijadual akan dirasmikan pada minggu hadapan. Perasmian tersebut akan disempurnakan Jorge Viegas iaitu presiden FIM bersama kehadiran beberapa tetamu VVIP dari Sepanyol, para staf pasukan PR1M3, serta individu-individu penting yang berkaitan dengan dunia pemotoran.
Litar ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Izhan dan Adrian dalam usaha mengembangkan fasiliti latihan profesional serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak-anak Malaysia. Selain litar utama untuk latihan MotoGP, mereka kini turut membangunkan sebuah kawasan khas bagi latihan motocross, yang dijangka siap sepenuhnya dalam beberapa bulan akan datang.
Segala pembangunan ini merupakan inisiatif sepenuhnya oleh Izhan dan Adrian. Mereka terlibat secara langsung dalam setiap aspek—daripada rekaan, pengurusan, hinggalah kepada operasi harian fasiliti ini—tanpa campur tangan pihak luar.
Apa yang menjadikan projek ini istimewa ialah kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh Izhan dan Adrian sendiri, tanpa campur tangan langsung daripada ahli keluarga mereka. Walaupun fasiliti ini masih bernaung di bawah syarikat utama keluarga mereka, namun segala aspek pengurusan dan pelaksanaan dirancang serta diurus terus oleh mereka berdua. Ini merupakan usaha mereka untuk berdikari dan membuktikan kemampuan dalam mengemudi projek berskala besar atas inisiatif sendiri, bukan semata-mata bergantung kepada latar belakang atau sokongan keluarga.
Litar dan fasiliti motocross ini juga dirancang untuk dibuka kepada umum pada hari-hari tertentu, dengan sistem tempahan yang akan diurus secara profesional. Ia bukan hanya sebagai tempat latihan eksklusif mereka berdua, tetapi juga bakal menjadi pusat latihan untuk pelumba dalam negara dan dari luar negara.
Berita tentang siapnya litar yang diuruskan secara langsung oleh Izhan dan Adrian menjadi satu perkembangan yang amat membanggakan buat Universiti Nexus. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian luar biasa dua pelajarnya, malah turut menaikkan reputasi universiti tersebut di mata umum. Nama Universiti Nexus kini disebut-sebut bukan sahaja dalam kalangan akademik, tetapi juga dalam dunia permotoran profesional.
Aurora turut mendengar berita tentang kejayaan itu. Jauh di sudut hatinya, dia bangga—kerana dia masih ingat, Izhan pernah berkongsi impian ini bersamanya. Dia tahu betapa pentingnya projek ini buat Izhan dan Adrian, dan juga bagaimana mereka berdua pernah melalui pelbagai cabaran untuk menjadikannya kenyataan. Ketika itu, Izhan pernah meluahkan rasa bimbang jika ia tidak berhasil kerana beberapa isu teknikal dan logistik. Namun, dengan kesabaran dan ketekunan, mereka berdua akhirnya berjaya merealisasikan impian mereka.
Untuk meraikan pembukaan rasmi litar tersebut, seluruh warga Universiti Nexus dijemput hadir bagi memeriahkan acara. Antara tarikan utama ialah pameran eksklusif jentera jenama PR1M3—hasil kerja tangan Izhan dan Adrian sendiri—serta pelbagai aktiviti interaktif dan pameran berkaitan dunia permotoran.
Pada hari perasmian, suasana di litar begitu meriah. Ramai pelajar, pensyarah, serta tetamu khas dari dalam dan luar negara hadir memberikan sokongan. Bendera-bendera jentera PR1M3 berkibar megah di sekitar kawasan, dan deruman enjin jentera MotoGP menarik perhatian pengunjung yang mula memenuhi ruang pameran.
Izhan dan Adrian tampil dengan penuh karisma, mengenakan jaket rasmi pasukan PR1M3 mereka. Kehadiran mereka disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh. Walaupun nampak tenang dan tersenyum, Izhan menyimpan seribu satu rasa—bangga, lega, dan sedikit sebak melihat impian yang dulu cuma sekadar lukisan atas kertas kini berdiri megah di hadapan matanya.
Di kejauhan, Aurora memerhati dari kalangan para pelawat universiti. Dia hanya diam, namun hatinya bergetar. Melihat Izhan berdiri di pentas utama memberi ucapan perasmian, dia teringat akan kata-kata Izhan suatu ketika dahulu—bahawa dia mahu membina sesuatu yang boleh memberi manfaat untuk orang lain, bukan sekadar untuk kebanggaan diri sendiri.
Hari itu menjadi satu simbol kejayaan dan juga penanda aras baharu buat Izhan dan Adrian. Namun, bagi Izhan, jauh di dalam hati, kejayaan itu terasa tidak lengkap... kerana tidak dapat dikongsi bersama seseorang yang pernah menjadi sangat penting dalam hidupnya.
Share this novel