Hari-hari berlalu di Universiti Nexus seperti biasa, namun dalam hati Izhan, segalanya terasa luar biasa. Sejak dia tahu nama gadis itu, sejak dia lihat wajah Aurora di artikel pelajar cemerlang, dia tahu… ada sesuatu tentang gadis itu yang membuatnya ingin lebih.
Namun, Izhan sedar — Aurora bukan seperti gadis-gadis yang pernah dia kenal sebelum ini. Dia bukan jenis yang akan terpikat dengan senyuman manis atau gaya ‘friendly’ yang selalu berhasil buat Izhan. Untuk mendekati Aurora, dia perlu jadi lebih daripada sekadar Izhan Zayn si playboy kampus.
Izhan mula mencari alasan untuk selalu ada di sekitar kawasan Fakulti Sains Sosial. Kadangkala dia akan berjalan melalui bangunan fakulti itu dengan alasan "shortcut ke café", walaupun jelas-jelas itu jalan yang lebih jauh.
Suatu petang, ketika dia lalu di laluan berhampiran taman kecil universiti — tempat yang sama dia terlihat Aurora tempoh hari — dia melihat gadis itu lagi. Masih dengan buku di tangan, masih dengan ekspresi tenang yang sama. Rambutnya panjang, namun kemas diikat ke belakang, memberi aura sederhana yang memikat.
Izhan menarik nafas perlahan. “Okay, jangan buat gila. Perlahan-lahan…” bisiknya sendiri sambil menyusun langkah.
Namun, sebelum dia sempat menghampiri, Aurora sudah bangun dan berjalan ke arah perpustakaan.
Izhan hanya sempat melihat belakangnya menghilang di sebalik pintu kaca.
**
Di perpustakaan, Aurora duduk di satu sudut yang agak sunyi, menyambung kajian untuk tugasan sosiologi. Dunia luar bagaikan hilang setiap kali dia menyelam dalam bacaan. Dia tidak tahu ada sepasang mata sedang memerhati dari jauh.
Izhan masuk perlahan-lahan, duduk di meja dua baris dari tempat Aurora. Dia memandang buku di hadapannya — sekadar helah — hakikatnya fokusnya hanya pada seorang.
“Apa aku nak cakap kalau aku jumpa dia nanti?” soalnya sendiri dalam hati.
Namun, belum sempat dia merancang langkah seterusnya, Aurora bangun. Dia meletakkan beberapa buah buku kembali ke rak dan bersedia untuk pulang.
Izhan yang masih duduk, hanya mampu melihat… sekali lagi. Kali ini, dia tersenyum sedikit. Sekurang-kurangnya, dia tahu Aurora bukan gadis yang mudah dikejar. Dan itu membuatkan dia lebih berminat.
“Esok,” katanya. “Aku akan mulakan esok.”
**
Malam itu, Izhan duduk di balkoni rumahnya. Angin malam dingin menyapa kulit, namun hatinya terasa hangat — penuh semangat dan rasa baru.
Dia menaip satu mesej ringkas kepada Adrian:
"Aku jumpa dia lagi. Dan aku rasa... aku nak serius kali ni."
Izhan merebahkan tubuh ke katil selepas menghantar mesej kepada Adrian. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia tidak mahu dilihat sebagai ‘lelaki mudah’. Dia mahu dikenali kerana kejujuran, bukan pesona kosong yang selalu menjadi senjatanya.
Matanya terpejam seketika, namun bayangan Aurora tetap bermain di benaknya. Wajah tenang, gerak langkah penuh sopan, senyum yang tidak pernah berlebihan — semuanya membuatkan hati Izhan bergetar setiap kali teringat.
"Aurora..." dia menyebut nama itu perlahan. Nama yang bunyinya sendiri sudah cukup untuk menenangkan jiwanya.
Esok, dia akan cuba berbual. Bukan dengan gaya biasa. Bukan dengan ayat manis atau gatal yang sering digunakan.
Dia mahu mulakan dengan jujur.
**
Keesokan paginya, Izhan keluar lebih awal dari biasa. Dia berjalan ke kafe yang berdekatan dengan bangunan fakulti Aurora, berharap pertemuan mereka berlaku secara semula jadi. Dia bawa buku, konon mahu belajar. Tapi hakikatnya, matanya liar memerhati setiap arah datangnya pelajar.
Dan kemudian — dia nampak Aurora.
Gadis itu berjalan tenang sambil memegang satu fail biru dan buku nota. Rambutnya yang panjang masih diikat seperti semalam. Dia kelihatan begitu tenang, seolah tidak pernah menyedari ada seorang lelaki yang telah jatuh cinta hanya dengan memandangnya dari jauh.
Izhan berdiri. Dia mahu menegur — tapi belum sempat, Aurora sudah disapa oleh rakannya dan mereka berjalan bersama. Izhan menahan diri.
“Bukan hari ini… tapi aku takkan biarkan hari-hari terus berlalu begitu saja,” bisiknya dalam hati.
Dia tahu, bukan mudah menawan hati Aurora. Tapi dia juga tahu, untuk cinta seperti ini — dia sanggup tunggu.
Share this novel