Musim sejuk telah pun tiba di Sepanyol. Sempena musim yang mendamaikan ini, keluarga besar Izhan menganjurkan sebuah majlis makan-makan. Saudara-mara terdekat dan sahabat handai turut diundang bagi memeriahkan suasana. Tidak ketinggalan, Ryena dan keluarganya juga dijemput hadir ke majlis tersebut.
Di dalam bilik, Izhan sedang bersiap-siap. Wajahnya kelihatan segar — seolah-olah kehidupannya baru sahaja bermula semula.
Sementara itu, Adrian telah pun berada di ruang tamu bersama ahli keluarga dan para tetamu yang hadir. Mereka berbual mesra, ketawa, dan saling mengimbau kenangan lama. Hari-hari penuh derita dan penantian yang menyakitkan kini telah pun berlalu. Kini tiba masanya untuk mereka bergembira dan bersyukur.
Majlis makan malam itu juga diiringi dengan doa selamat, sebagai tanda kesyukuran atas kebangkitan Izhan dari derita yang panjang — satu keajaiban yang tidak pernah mereka lupakan.
Izhan perlahan-lahan menuruni anak tangga, mengenakan senyuman tenang di wajahnya. Saat matanya menyapu seluruh ruang tamu, dia melihat wajah-wajah yang dirinduinya — semuanya kelihatan gembira, penuh syukur dan kelegaan. Suasana hangat dipenuhi gelak ketawa, perbualan mesra, dan kasih sayang yang tidak tergambar dengan kata-kata.
Dia menyertai mereka, berbual dengan saudara-mara dan sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat. Setiap detik di majlis itu dirai dan dihargai — kerana mereka tahu betapa mahalnya waktu yang telah hilang ketika Izhan terlantar dalam ketidaksedaran.
Hari itu dinikmati sepenuhnya, seolah-olah masa ingin diberhentikan seketika. Namun dalam hati mereka, terukir satu hakikat — majlis ini bukan sekadar perjumpaan, tetapi juga perpisahan sementara.
Tidak lama lagi, Izhan dan Adrian bersama ahli keluarga akan kembali ke Malaysia. Kedua-duanya masih perlu meneruskan pengajian yang tertangguh. Walaupun berat untuk berpisah lagi, mereka membawa semangat dan harapan baru — kerana selepas segalanya, mereka tahu: hidup ini adalah perjuangan yang tidak boleh disia-siakan lagi.
Malam itu, selepas majlis selesai dan suasana kembali tenang, Izhan dan Ryena duduk di anjung rumah, ditemani udara sejuk musim dingin dan langit yang cerah bertabur bintang. Mereka berbual panjang — tentang masa lalu dan tentang detik-detik manis yang pernah tercipta di antara mereka suatu ketika dahulu.
Ryena tersenyum, walaupun ada sedikit harapan di matanya. Namun Izhan tenang, jujur dan matang dalam tutur katanya. Dia tidak memberi harapan palsu, malah menyatakan dengan lembut bahawa hatinya masih tetap untuk Aurora. Walaupun dia tahu kemungkinan untuk memiliki Aurora sangat tipis, namun cinta itu tidak pernah berubah. Ia tetap hidup, walaupun dalam diam.
“Ryena, saya sangat menghargai awak .. dan awak akan tetap menjadi sahabat saya.Tapi hati aku... masih pada seseorang yang lain,” katanya perlahan.
Ryena mengangguk perlahan, dan senyuman tipis terukir di wajahnya walaupun hatinya sedikit hiba. Dia tahu, apa yang berlaku antara dia dan Izhan dulu adalah kerana kesilapan dirinya sendiri.
Dia menunduk, menahan sebak dalam dada.
"Saya tahu, Izhan... Saya yang salah, tak sepatutnya buat semua tu pada awak. Saya silap... dan kehilangan orang yang benar-benar sayangkan saya."
Izhan tidak membalas dengan kemarahan atau kesal. Sebaliknya dia memandang Ryena dengan penuh ketenangan dan empati.
"Apa yang dah jadi... kita tak boleh undurkan. Tapi saya maafkan. Saya tak pernah simpan dendam. Saya cuma harap... kita boleh teruskan hidup kita dengan lebih baik, walau pun dalam jalan yang berbeza."
Air mata Ryena menitis perlahan, namun dia mengangguk. Dalam hatinya, dia tahu dia sudah kehilangan Izhan untuk selamanya. Tetapi dia juga tahu, Izhan akan tetap menjadi seseorang yang akan dia kenang sepanjang hayat — sebagai lelaki yang pernah dia sia-siakan, dan sebagai sahabat yang masih mendoakan kebahagiaannya.
Malam itu, mereka berpisah dengan jiwa yang lebih tenang. Tiada lagi kekeliruan, tiada lagi harapan palsu. Hanya kenangan... dan persahabatan yang kembali jernih setelah sekian lama dibayangi kesilapan masa silam.
Share this novel