Bab 30: Menanti Dalam Ketidakpastian

Romance Series 967

Sebulan telah berlalu sejak kali terakhir Aurora mendengar berita tentang Izhan. Adrian juga langsung tidak kelihatan di universiti. Tiada mesej, tiada panggilan. Sahabat-sahabat mereka yang lain juga tidak tahu pasti tentang Adrian terutama keadaan Izhan sekarang.

Aurora semakin gelisah. Fikirannya dibelenggu rasa takut — takut jika ada perkara buruk terjadi kepada Izhan, atau mungkin… sesuatu yang mereka semua tidak sanggup untuk sampaikan kepadanya. Namun dalam resah, dia tetap memaksa diri untuk hadir ke kelas dan menumpukan perhatian. Dia tahu, dia harus kuat. Dia bukan sahaja membawa harapan dirinya, tetapi juga keluarganya yang menaruh harapan besar untuk melihatnya berjaya.

“Aku tak boleh lemah sekarang…” bisiknya sendiri, menahan air mata yang mula bertakung di kelopak mata.

Setiap kali selepas kelas, Aurora akan memeriksa telefonnya — menunggu mungkin ada mesej daripada Adrian atau sesiapa sahaja. Namun, hari terus berlalu dalam kesunyian. Dia cuba menghubungi Adrian melalui panggilan dan mesej, tetapi semuanya masuk ke peti suara.
Perasaan cemas dalam dirinya semakin kuat. Dia merasakan seolah-olah sesuatu telah terjadi… sesuatu yang mungkin terlalu berat untuk diberitahu.

Pada suatu malam, Aurora tertidur di atas meja belajar setelah keletihan menelaah pelajaran. Dalam tidurnya yang lena, dia bermimpi.

Dia berdiri di sebuah taman yang tenang. Angin meniup perlahan, dan di hadapannya… Izhan. Tersenyum, berdiri dengan pakaian lumba miliknya, dikelilingi cahaya senja.

“Aurora…”
Suara itu lembut dan tenang.
“Jangan risau… Saya kuat.”

Aurora cuba menghampiri, namun tubuh Izhan makin jauh, seperti kabur. Dia cuba mengejar, memanggil, namun tubuh itu perlahan-lahan hilang di balik cahaya.
Dia terjaga dalam keadaan termengah-mengah, jantungnya berdegup kencang. Mimpi itu terasa terlalu nyata, terlalu hidup…

Aurora duduk di hujung katil, wajahnya pucat, nafasnya masih belum teratur. Mimpi itu… suara Izhan… senyuman itu… terasa begitu nyata. Dia memeluk dirinya sendiri. Suasana malam di luar jendela sunyi, hanya bunyi detik jam yang menemani kegelisahan hatinya.

Dia mengusap skrin telefonnya perlahan, membuka galeri gambar. Satu persatu foto kenangan bersama Izhan kembali — senyuman, gelak tawa, detik-detik manis yang kini terasa sangat jauh.

"Kenapa tiada siapa beritahu aku apa-apa…? Apa sebenarnya yang berlaku pada Izhan? Kenapa Adrian senyap? Apa mereka cuba sembunyikan dari aku?"

Soalan demi soalan menyesakkan dada. Sudah hampir dua bulan sejak dia mendapat berita terakhir — dan berita itu dia dapat daripada laman sosial PR1M3 yang hanya memberitahu bahawa Adrian sedang berehat dari dunia perlumbaan namun tidak tahu alasan nya. Tiada butiran lanjut, tiada maklumat tambahan.

Walaupun dia masih hadir ke kelas, mindanya tidak pernah benar-benar ada di situ. Pandangannya sering kosong, fikirannya melayang. Pensyarah dan rakan-rakan mula menyedari perubahan pada dirinya.

“Aurora, awak okay ke?” tanya salah seorang pensyarahnya, penuh prihatin.

Dia hanya mengangguk kecil, tersenyum tawar. “Saya okay, Sir … Cuma penat sikit.”

Tetapi dalam diam, Aurora semakin tertekan. Dia mula menjauhkan diri daripada rakan-rakan. Kadang kala dia menangis sendirian selepas kelas. Kadang kala dia termenung berjam-jam di perpustakaan tanpa membaca satu muka surat pun.

Pada suatu petang hujung minggu, dia duduk sendirian di taman universiti — tempat biasa dia dan Izhan belajar bersama dulu. Daun-daun berguguran, dan angin sejuk menyapa kulitnya. Tangannya menggenggam telefon. Dia cuba menghantar mesej sekali lagi kepada Adrian:

“Adrian, tolonglah… kalau pun kau tak boleh bercerita semuanya, beritahu saja… Izhan masih hidup, kan?”
“Aku cuma nak tahu dia masih bernafas…”

Namun tetap… tiada balasan.

Aurora mula dihimpit satu ketakutan yang lebih dalam. Dia takut jika sebenarnya Izhan telah tiada, dan mereka sengaja tidak mahu memberitahunya. Dia takut jika semua ini adalah satu usaha diam-diam untuk melindunginya daripada kenyataan pahit.

Tapi jika benar, kenapa tiada siapa yang sanggup berkata jujur?

Malam itu, dia membuka buku diarinya yang sudah lama tidak disentuh. Dengan pen, dia mula menulis:

“Izhan, jika awak masih di sana, walau di alam separa sedar sekalipun, ketahuilah saya masih menunggu. Saya masih berharap. Saya tidak akan berhenti mendoakan awak. Saya hanya mahu satu perkara — jangan pergi diam-diam…”

Tangisnya tumpah perlahan.

Hari-hari berlalu dalam kesuraman yang tidak bertepi. Walaupun matahari terus terbit dan waktu terus berdetik, hati Aurora masih gelap. Namun satu hal yang pasti — dia semakin lemah, bukan sahaja fizikal, malah emosinya juga semakin terhakis.

Wajahnya tidak lagi berseri seperti dulu. Tawa yang pernah menghiasi hari-harinya kini telah lama menghilang. Senyumannya kaku. Matanya sering kosong, seolah-olah jiwanya tertinggal di satu tempat — di bilik hospital yang tidak pernah dia jejaki.

Dia tahu, dia sedang karam.

Dan akhirnya, pada suatu petang yang sunyi, ketika dia hanya duduk di sudut taman kampus memandang langit kelabu, rakannya mendekat dan memecahkan diam.

"Aurora... sampai bila kau nak terus begini? Lihat diri kau. Kau semakin jauh dari pelajaran, dari cita-cita kau. Aku tahu kau sayangkan Izhan dan masih rasa bersalah terhadapnya .. tapi kau kena sayang diri sendiri juga."

Kata-kata itu tepat menikam jiwanya.

Beberapa hari selepas itu, ibu bapanya pula bersuara dalam nada yang lebih lembut, namun tegas.

"Nak... kami tahu kau sayangkan Izhan. Tapi kalau keluarga dia sendiri pun tak mahu beritahu apa-apa, kenapa kau nak terus sakiti diri sendiri? Izhan mungkin dalam jagaan yang terbaik. Tapi sekarang, yang paling penting adalah masa depan kamu. Kami tak mahu kamu hanyut dalam sesuatu yang tiada jawapan."

Aurora hanya diam waktu itu. Tapi malamnya, dia menangis sepuas-puasnya sendirian.
Tangis yang bukan kerana sedih semata-mata, tapi tangis untuk melepaskan...

Hari-hari berikutnya, Aurora mula mengubah rutin hidupnya sedikit demi sedikit. Dia mula berbual dengan rakan-rakan, walaupun tidak semesra dulu. Dia mencuba untuk membaca buku semula, memfokuskan semula terhadap pelajaran — walaupun hatinya masih terasa kosong.

Tapi yang paling besar, dia mula belajar untuk melepaskan Izhan dari hatinya… perlahan-lahan.

Bukan kerana dia tidak menyayanginya lagi.
Tapi kerana dia tahu, jika dia terus begini — dia sendiri yang akan hancur.

Dia masih berdoa setiap malam untuk Izhan. Masih berharap agar Izhan suatu hari nanti akan membuka mata dan kembali hidup seperti dulu. Tapi dia juga tahu, dia tidak boleh terus hidup dalam bayangan harapan yang tidak pasti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience