Sesi latihan pertama dan kedua di Le Mans telah pun berakhir. Izhan berjaya menduduki tempat ke-8 manakala Adrian berada di tempat ke-10. Walaupun ini bukanlah kedudukan terbaik, tetapi bagi pasukan baharu seperti PR1M3 Racing Team, ia sudah cukup membanggakan. Kedudukan di kalangan sepuluh terbaik adalah pencapaian awal yang membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pasukan yang ingin mencuba nasib. Mereka benar-benar bersedia untuk bersaing.
Namun, Izhan sedar ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya hari itu.
Sesi latihan pagi sepatutnya menjadi waktu dia merasai litar dan memperhalusi pelarasan motor. Tapi entah mengapa, dia terasa kosong di dalam topi keledarnya. Fokusnya tidak tajam seperti biasa. Dia kerap terlambat menekan brek, masuk selekoh terlalu awal, atau terlalu agresif di bahagian keluar selekoh. Hatinya tidak benar-benar di litar. Dia menamatkan sesi dengan rasa tidak puas hati, walaupun masa catatan tidaklah terlalu buruk.
Adrian pula tampil lebih tenang. Dia tidak terlalu menekan diri dan lebih fokus mengumpul data untuk keesokan harinya. Mereka berdua berbincang panjang dengan jurutera masing-masing selepas latihan, cuba mencari set-up terbaik untuk hari esok.
Selesai sesi latihan, mereka perlu menghadiri sidang media ringkas bersama media tempatan dan antarabangsa. Ramai wartawan yang teruja dengan kehadiran dua pelumba muda dari sebuah pasukan baharu. Mereka ditanya tentang pengalaman pertama berlumba di Le Mans menggunakan mesin PR1M3, harapan untuk perlumbaan esok, dan bagaimana tekanan sebagai pelumba utama dalam pasukan yang dibina sendiri.
Izhan menjawab seperti biasa—penuh keyakinan dan profesional. Tapi jauh dalam hatinya, dia tahu fikirannya sedang berkelana ke tempat lain.
Selepas itu, mereka menyertai acara bersama peminat di luar kawasan paddock. Ramai peminat yang hadir membawa sepanduk PR1M3 dan gambar Izhan serta Adrian. Beberapa orang peminat perempuan kelihatan menangis apabila dapat bertemu mereka buat kali pertama. Ada kanak-kanak yang meminta tandatangan di topi dan baju. Izhan tetap tersenyum, menandatangan, bergambar, dan melayani mereka sebaik mungkin.
Namun setelah semuanya selesai, dia terus meminta izin daripada pengurus pasukan untuk pulang lebih awal ke hotel. Adrian sempat bertanya, “Kau okay, bro?”
Izhan hanya mengangguk. “Aku cuma nak rehat. Nak cari balik fokus aku.”
Sampai sahaja di bilik hotel, Izhan melemparkan diri ke atas katil. Matanya menatap siling kosong. Bunyi penghawa dingin berdengung perlahan. Dalam kesunyian malam itu, fikiran Izhan kembali melayang ke tanah air... dan Aurora.
Dia tidak tahu kenapa wajah gadis itu muncul dalam fikirannya sepanjang hari. Sejak sampai di Perancis, dia cuba fokus sepenuhnya pada perlumbaan. Tapi sejak hari pembukaan, hatinya seperti berat. Seolah-olah ada sesuatu yang tertinggal di belakang.
Dia membuka telefon. Tiada mesej dari Aurora.
Dia bangun dari katil dan berdiri di balkoni bilik hotel, memandang langit malam Le Mans. Angin dingin berhembus lembut menyapu wajahnya. Jauh di bawah, bandar perlumbaan itu masih hidup dengan lampu dan suara kenderaan yang lalu lalang.
“Kenapa susah sangat nak lupakan?” bisiknya perlahan kepada diri sendiri.
Dia tahu, Aurora telah membuat pilihan. Dan dia tidak mahu mengganggu hidup gadis itu. Tapi sebagai manusia biasa, perasaan bukan sesuatu yang mudah dikawal. Kenangan mereka terlalu kuat, dan setiap kali dia menutup mata, dia dapat melihat senyuman Aurora—senyuman yang pernah memberi kekuatan dalam hidupnya.
Keesokan harinya, Izhan bangun awal. Dia bangkit dari tidur dengan semangat yang sedikit berbeza. Walaupun fikiran masih terganggu, dia tahu dia tidak boleh terus lemah. Ini bukan masanya untuk dibelenggu perasaan.
Dia bersiap dan turun awal ke litar. Adrian sudah menunggunya di pit, sedang berbincang dengan ketua jurutera mereka. Apabila melihat Izhan datang, Adrian tersenyum.
“Nampak macam tidur cukup,” gurau Adrian.
Izhan membalas senyuman tipis. “Lebih kurang lah. Tapi aku okay hari ni.”
Mereka terus ke sesi latihan ketiga dengan lebih fokus. Izhan berjaya mencatat masa yang lebih baik berbanding semalam. Dia mula menemui ritma dan keserasian dengan motor. Di beberapa sektor, dia mencatat masa terpantas dan memberikan tekanan kepada pelumba-pelumba berpengalaman.
Adrian juga menunjukkan peningkatan. Mereka berdua kini berada dalam kedudukan 5 teratas untuk sesi kelayakan nanti. Pasukan PR1M3 kembali bersemangat. Jurutera-jurutera berpelukan sesama sendiri di garaj, sementara petugas media PR1M3 mula menyiarkan kejayaan kecil itu di laman sosial pasukan.
Share this novel