bab 18

Thriller Series 21293

ZANI menggigit bibir, cuba menepis rasa cemas yang menyelubungi dirinya.

"Apa yang aku fikirkan ni? Ini cuma delusi, Zani. Semua ni sebab stress... tak lebih dari itu." Dia cuba menenangkan diri.

Mata dia tetap fokus pada jalan raya di depan, seolah-olah dia boleh menghalau bayangan itu jauh-jauh.

Namun wajah Maia Karina terus menghantui, muncul dari bayang-bayang di dalam fikiran.

"Tak logik... ni cuma permainan minda aku. Terlalu banyak kerja, terlalu banyak tekanan. Aku penat. Itu saja."

Setelah berkata, Zani menggelengkan kepala berharap dapat mengusir gambarannya yang semakin jelas dan nyata.

Bayangannya yang penuh teka-teki, masih jelas senyuman manis dan mata yang penuh dengan rahsia.

"Tak mungkin... Aku tak boleh biarkan diri aku terperangkap macam ni." Dia cuba bercakap dengan dirinya sendiri, menafikan segala perasaan yang datang begitu mendalam.

"Aku ada keluarga. Aku ada tanggungjawab. Ni semua hanya akibat dari terlalu banyak tekanan kerja."

Namun seiring dengan semakin panjang perjalanan, suara dalam hatinya semakin membingungkan.

Zani meraup wajahnya dengan tangan kiri berharap dapat menghapus segala rasa bingung yang menguasai dirinya.

"Tak boleh jadi begini... Aku mesti kuat." Dia menguatkan hatinya tetapi bayangan Maia Karina terus mencuri tumpuan, menyelinap ke dalam fikirannya tanpa diundang.

Senyumannya yang menggoda. Pandangannya yang penuh dengan teka-teki dan suara lembut itu, semuanya terasa lebih nyata daripada sekadar ilusi.

"Aku mesti berhenti fikirkan dia... ini cuma stres. Aku tak boleh biarkan benda merapu ni... menguasai hidup aku." Ujarnya lagi seakan bernekad.

Zani menggenggam stereng dengan lebih erat, cuba untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada jalan raya.

Namun setiap detik yang berlalu, bayangan Maia semakin jelas. Seperti dia sedang berada di sebelah memerhati dengan senyuman yang penuh dengan rahsia.

"Kenapa aku terus teringatkan dia?" Zani berbisik perlahan, matanya melirik cermin pandang belakang lagi.

"Dia cuma satu gangguan. Ini bukan aku. Aku tak boleh biarkan diri aku terperangkap dalam permainan ni."

Tapi semakin dia cuba menepis, semakin kuat perasaan itu datang. Laksana sesuatu yang sudah tertanam jauh di dasar hatinya.

"Apa aku buat ni?" Fikirannya bukan saja rimas malahan kian bercelaru.

"Aku... aku ada isteri. Ingat tu, Zani. Dia bukan sesiapa yang kau perlu teringat-ingat!"

Satu lagi hon panjang menyedarkan Zani dari lamunannya. Dia terkejut, hampir melanggar garisan jalan. Nafasnya kembali tercungap dan seketika itu, dia sedar betapa teruknya situasi yang dihadapinya.

Zani memejamkan mata seketika, berusaha untuk menenangkan denyutan jantung yang semakin cepat.

Roman jelita, Maia Karina tetap hadir dalam setiap ruang fikirannya, seperti bayang-bayang yang tak dapat dilupakan.

Zani kembali menumpukan perhatian pada jalan namun perasaan itu tidak hilang. Dan
Zani melawannya dengan memegang stereng seeratnya. Sungguh dia dapatkan bahawa jasadnya sedang terhimpit di antara dua dunia.

Dunia yang dia kenal, yang penuh dengan tanggungjawab dan kewajipan dan dunia Maia Karina yang penuh dengan godaan dan keseronokan yang sulit untuk ditinggalkan.

"Sampai bila aku nak terus jadi manusia yang tak tahu apa yang dia mahu?"

Sebagai jawapan, hanya keheningan yang menyelimuti Zani dan dalam diam dia tahu, semakin dia berusaha untuk lari dari perasaan ini, semakin ia mencengkam erat.

MAIA KARINA melangkah keluar dari bar dengan wajah yang tenang tetapi hatinya sedikit kacau.

Angin malam menyapa lembut, mengibarkan helaian gaun satin merah yang dipakainya. Tumit tinggi yang mengetuk lantai batu berbunyi perlahan namun setiap langkahnya penuh keyakinan.

Dia menyandarkan tubuh seketika di tiang luar bar menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya selepas malam yang penuh dengan godaan dan bicara kosong.

Namun langkahnya terhenti, apabila pandangannya menangkap satu susuk tubuh yang begitu dikenalinya. Izlan.

Bekas suaminya berdiri tidak jauh. Dia bersandar di tiang lampu dengan tangan dimasukkan ke dalam poket jaket kulit hitamnya.

Mata lelaki itu memandangnya dengan tenang tapi ada sesuatu di sana. sekelumit rasa yang tidak pernah benar-benar hilang.

Maia Karina mengetap bibir, berusaha menyembunyikan riak wajahnya yang terganggu. Dia menarik nafas dalam sebelum mendekat.

"Izlan... apa you buat di sini?" Nadanya mendatar dan agak dingin.

Izlan tersenyum kecil, memandangnya dengan mata yang menyimpan rasa rindu yang enggan diakui.

"Aku cuma kebetulan ada di sekitar sini. Tak sangka jumpa kau... lepas sekian lama." Suaranya lembut, seperti dia masih berhati-hati di sebalik ketenangannya.

Maia Karina mengangkat kening sedikit, matanya memerhatikan lelaki itu dengan dingin.

"Kebetulan? Hmm... Menarik."

Dia melipat tangan di dada. Berdiri tegak cuba mencipta jarak yang tidak terlihat.

"Apa yang you nak, Izlan? Kalau ni tentang masa lalu... I think, I tak ada masa untuk ulang cerita lama."

Izlan tersenyum pahit, tapi dia tetap kelihatan tenang.

"Aku tak cari apa-apa, Maia. Aku cuma nak tahu... kau sihat? Hidup kau sekarang macam mana?"

Maia Karina menghela nafas, pandangannya dialihkan ke arah jalan raya yang sunyi.

"Well, yes I'm. Sihat. Hidup I baik. Tak ada apa yang perlu dirisaukan." Nada suara tajam, seolah-olah ingin memotong percakapan itu dengan cepat.

Izlan tetap berdiri di tempatnya, tidak berganjak walau sedikit.

"Aku gembira dengar tu. Kau memang selalu pandai jaga diri." Suaranya masih tenang, tapi ada nada sayu yang tidak dapat disembunyikan.

Maia Karina mendongak sedikit, matanya bertaut dengan mata Izlan.

"You alone or with someone? Atau you masih..." Dia berhenti, enggan melanjutkan soalan yang mungkin membuka sejarah lama.

Izlan tersenyum tipis.

"Aku? Aku masih sama. Hidup sederhana. Kadang-kadang rindukan benda yang tak sepatutnya, tapi... aku baik-baik saja." Suara Izlan pula kedengaran sedikit sayu.

Kata-kata itu membuat Maia Karina diam seketika. Dia tahu maksud tersiratnya tapi dia memilih untuk tidak mengendahkan.

"Bagus kalau macam tu. Kalau you dah tak ada apa-apa, I need to go." Suaranya keras, tapi sedikit bergetar.

Izlan mengangguk perlahan, senyumannya masih di bibir.

"Maia... jaga diri, ya. Walaupun kau tak suka dengar ni, aku tetap harap kau bahagia." Izlan titip pesan.

Maia Karina tidak menjawab, hanya memalingkan badan dan melangkah pergi dengan cepat. Namun ketika dia menjauh, langkahnya terasa berat.

Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa pertemuan ini tidak bermakna apa-apa tetapi jauh di sudut hatinya, dia tahu kehadiran Izlan mengganggu tembok yang dia bina selama ini.

Izlan berdiri di tempatnya, memerhatikan Maia Karina yang semakin menjauh.

Wajah masih tenang tetapi di dalam hati, dia merasakan pertemuan itu lebih berat daripada apa yang cuba ditunjukkannya.

Sisa rindu yang dia simpan selama ini kembali menyeruak, mengingatkannya pada setiap momen bersama wanita yang kini kelihatan seperti orang asing.

Maia Karina terus berjalan dengan langkah yang laju, cuba menjauhkan dirinya daripada kenangan yang enggan padam.

Tangannya menggenggam erat clutch yang dibawanya, seolah-olah cuba menahan gelora emosi yang mulai memuncak.

Namun di sebalik wajahnya yang dingin, hati kecilnya bergetar hebat.

"Kenapa dia perlu ada di sini? Kenapa sekarang?" Maia berbisik dalam hati, namun dia tahu jawapannya tak akan muncul.

Pertemuan ini bukan sesuatu yang dia inginkan.

Izlan akhirnya menghela nafas panjang dan melangkah perlahan ke arah bertentangan.

Namun sebelum dia benar-benar pergi, dia sempat berkata perlahan, cukup untuk Maia Karina dengar walaupun dia tidak berhenti.

"Aku masih harap kau jumpa apa yang kau cari, Maia. Tapi aku tahu kau belum berhenti berlari."

Langkah Maia Karina terhenti seketika. Kata-kata itu menikam tepat ke dalam dirinya. Namun dia tidak berpaling memilih untuk terus melangkah, meninggalkan lelaki yang suatu ketika dahulu pernah menjadi dunia buatnya.

Di tengah kesunyian malam, kedua-dua mereka melangkah menjauh, membawa episod masing-masing yang tidak pernah benar-benar sembuh.

Tetapi di dalam hati Izlan, masih ada satu doa kecil untuk wanita itu. Doa yang tidak pernah berubah sejak kali terakhir mereka berpisah.

Dan bagi Maia Karina, dia cuba meyakinkan dirinya bahawa Izlan hanyalah masa lalu.

"Masa depan ku adalah bersama-sama dengan Zani." Ujarnya seraya membayangi wajah CEO muda itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience