MILA menggenggam erat selimut hospital di atas ribanya, wajahnya penuh kerisauan. Suzi memandang kakaknya dengan hati yang berat.
Dia tahu, Mila sedang melawan sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri. Sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi jelas meninggalkan kesan mendalam.
Sejurus selepas itu, telefon Suzi bergetar. Nama abang Zani tertera di skrin. Dia segera menjawab namun suaranya cuba dikawal agar tidak terdengar terlalu mendesak.
"Abang, Suzi ni. Mila kat hospital. Akak perlukan abang sekarang," kata Suzi tegas tanpa memberi ruang untuk alasan.
"Hospital? Kenapa tak bagitahu awal-awal? Saya sibuk tadi," jawab Zani dengan nada yang sedikit defensif.
Namun Suzi dapat menangkap sedikit keresahan dalam suaranya.
"Abang sibuk dengan siapa sebenarnya? Jangan cakap Suzi tak tahu apa yang abang buat belakang akak!" Suzi membentak, tidak lagi mampu menyembunyikan rasa marahnya.
Mila memandang Suzi dengan mata yang terbelalak, terkejut dengan keberanian adiknya. Namun dia tidak berkata apa-apa.
Zani terdiam di hujung talian. Suzi mengambil kesempatan itu untuk menyambung.
"Abang boleh tipu akak, tapi abang takkan boleh tipu Suzi. Kalau betul abang ada dengan perempuan tu, lebih baik abang cakap sekarang. Akak tengah sakit, abang tak malu ke buat dia macam ni?"
"Kau jangan buat tuduhan melulu, Suzi!" Zani akhirnya bersuara tetapi nada suaranya goyah.
"Tuduhan? Abang tahu dalam hati abang sendiri. Abang fikir Suzi tak tahu apa-apa, kan? Abang takkan terlepas kali ni," Suzi berkata tegas sebelum mematikan panggilan.
Mila memandang Suzi, air matanya mula bergenang.
"Suzi... kalau apa yang kau cakap tadi betul, akak tak tahu macam mana nak hadap."
"Akak tak keseorangan, kak. Kita akan selesaikan ini sama-sama," Suzi berbisik, memegang tangan kakaknya erat.
Dalam hati, dia tahu mereka perlu bertindak sebelum semuanya hancur.
Di bilik hotel yang suram, Maia Karina mula melafazkan mantera dengan suara perlahan tetapi tegas.
Tangannya memegang gambar Zani erat, sementara asap kemenyan semakin tebal memenuhi ruang. Lilin yang mengelilinginya berkelip-kelip.
"Darahmu dan nadimu, kini bersatu dalam kuasaku. Hatimu terikat, jiwamu terpikat. Wahai Zani... tiada jalan kau menjauh dariku. Apa yang aku kehendaki... itu akan kau beri. Dengan tanah ini dengan api ini... dengan roh ini, aku perintahkan cintamu hanya padaku."
Maia Karina kemudian melilitkan benang merah itu pada gambar Zani sambil meneruskan bacaan...
"Tali ini mengikat, kasihmu terpaut. Apa pun penghalang, tiada yang dapat melawan. Segala janji kau pada dia, kini hancur di bawah kuasa ini. Datang padaku, Zani, kau takkan pernah lepas."
Dia meniup perlahan pada lilin di hadapannya, mengakhiri bacaan dengan suara yang mendesak.
"Dengan nama segala yang ghaib, aku seru roh pengikat ini. Bawalah dia kembali padaku. Apa pun halangannya, biar hancur, biar musnah."
Seketika, lilin-lilin itu menyala lebih terang sebelum padam serentak, meninggalkan bilik dalam kegelapan. Maia Karina tersenyum puas.
Di dalam pesawat, Zani yang sedang terlelap tiba-tiba tersentak. Jantungnya berdegup kencang dan peluh dingin mula membasahi dahinya. Dia memegang dada, terasa sesak seolah-olah ada sesuatu yang mencengkam dirinya.
"Kenapa aku rasa... pelik?" bisiknya pada diri sendiri. Tetapi dia menepis perasaan itu, cuba meyakinkan dirinya ia hanya keletihan.
Namun jauh di sudut hatinya, Zani mula merasakan sesuatu yang ganjil sedang berlaku. Sesuatu yang tidak dapat dia kawal, seolah-olah ada tangan ghaib yang perlahan-lahan merantai jiwanya.
Setibanya di Kuala Lumpur, Zani terus menuju ke hospital tempat Mila dirawat. Badannya lemah. Langkahnya berat tetapi dia tetap berusaha menahan diri untuk tidak rebah.
Fikiran tentang Mila menjadi satu-satunya alasan untuknya terus kuat malam itu.
Di hospital, Suzi sedang menunggu di luar bilik rawatan. Wajahnya jelas mempamerkan keletihan dan kebimbangan. Melihat Zani menghampiri, Suzi bangun, matanya tajam memandang abang iparnya itu.
"Abang lambat," tegur Suzi tanpa menyembunyikan kekecewaannya.
"Akak tunggu abang dari tadi."
Zani hanya mengangguk, tidak mahu berdebat.
"Macam mana Mila?" tanyanya, nadanya serak.
"Akak masih lemah. Dia tunggu abang masuk," jawab Suzi, mengalah kerana tahu Mila lebih memerlukan perhatian sekarang.
Zani melangkah masuk ke bilik rawatan dengan hati yang berat. Mila terbaring dengan wajah yang pucat, matanya tertutup rapat. Tangannya yang lemah berada di atas selimut.
"Mila," panggil Zani perlahan, menggenggam tangan isterinya.
Mila membuka mata perlahan, memandang Zani dengan air mata yang bergenang.
"Abang... kenapa abang lambat?" Suaranya lemah tetapi penuh rasa rindu dan sakit hati.
Zani menelan air liurnya, berusaha untuk tidak menangis.
"Abang minta maaf, Mila. Abang ada urusan tadi... Tapi abang ada di sini sekarang."
Mila tidak menjawab, hanya mengalihkan pandangannya ke arah lain. Zani tahu luka itu lebih daripada fizikal.
Namun,sebelum Zani sempat berkata lebih, tubuhnya tiba-tiba terasa kaku. Matanya memandang kosong ke depan dan jantungnya berdegup kencang. Telinganya menangkap suara halus seperti bisikan yang datang dari jauh.
"Zani... jangan lupa siapa yang kau miliki sekarang..."
Itu suara Maia Karina.
Zani memejamkan mata dengan kuat, cuba menepis suara itu dari fikirannya. Namun ia semakin kuat, semakin mendesak.
Mila yang memerhatikan perubahan wajah Zani mula cemas.
"Abang, kenapa? Abang sakit ke?"
Zani memegang kepalanya, rasa pening menyerang tiba-tiba.
"Abang... tak apa. Abang cuma penat," katanya, cuba menenangkan Mila tetapi nadanya jelas tidak meyakinkan.
Di bilik hotel,
Maia Karina tersenyum nipis, memandang ke arah lilin yang padam. Dia tahu, usahanya mula membuahkan hasil.
"Zani, kau boleh cuba lawan. Tapi kau tahu, semakin kau jauh, semakin kuat aku menarikmu kembali," bisiknya, penuh keyakinan.
Di hospital, Zani cuba mengumpul kekuatannya untuk fokus kepada Mila tetapi di dalam dirinya, dia tahu ada sesuatu yang perlahan-lahan meracuni fikirannya.
Dia mula bertanya kepada dirinya sendiri. Adakah semua ini hanya kebetulan atau memang ada sesuatu yang lebih besar sedang menguasai hidupnya?
Selepas memastikan Mila tidur dengan lena, Zani keluar dari bilik rawatan. Badannya terasa lelah, dan fikirannya masih berkecamuk.
Dia melangkah menuju ke tandas lelaki untuk mencuci muka dan menyegarkan diri.
Masuk ke dalam tandas, suasana terasa sunyi, seolah-olah ruang itu terasing dari seluruh hospital.
Lampu suram memancarkan cahaya samar, mencipta bayang-bayang yang tidak sekata. Zani berdiri di depan cermin, memandang wajahnya sendiri yang kelihatan letih dan kusut.
Dia membuka paip sinki, membiarkan air mengalir sebelum mencuci muka. Rasa dingin air itu sedikit sebanyak membantu menenangkan dirinya. Namun ketika dia mengangkat wajah, cermin di hadapannya memantulkan sesuatu yang ganjil.
Bayangannya sendiri kelihatan... berbeza. Matanya kelihatan redup, hampir gelap. Zani menggosok-gosok matanya, cuba memastikan dia tidak berhalusinasi. Tetapi bayangan itu kembali seperti biasa. Dia menghela nafas, menyalahkan dirinya kerana terlalu penat.
Namun, sebaik sahaja dia mematikan paip air. Bunyi titisan air yang perlahan masih kedengaran. Dia memandang ke arah sinki tetapi tiada air yang menitis. Bunyi itu datang dari arah lain. Dari salah satu bilik kecil di belakangnya.
Zani memandang ke cermin, cuba mengintai refleksi bilik tetapi pintunya sedikit terbuka, menampakkan hanya gelap di dalamnya.
Hatinya mula berdebar. Dia memalingkan badan, melangkah perlahan ke arah pintu itu.
"Hello? Ada orang dalam tu?" tanyanya perlahan, cuba meyakinkan dirinya ia hanya staf hospital yang terlupa menutup pintu.
Tiada jawapan. Dia berdiri sejenak, memandang pintu yang separuh terbuka itu. Fikirannya berperang antara rasa ingin tahu dan rasa takut.
Tiba-tiba, pintu bilik itu bergerak perlahan seperti ditolak angin. Tetapi tiada siapa di sana. Zani menelan air liur, merasakan bulu romanya meremang. Dia memutuskan untuk tidak ambil peduli dan berbalik ke arah pintu keluar tandas.
Namun, ketika dia memegang tombol pintu, dia terasa sesuatu yang dingin menyentuh bahunya, seperti sentuhan jari yang ringan tetapi cukup untuk membuatkan tubuhnya kaku seketika. Dia menoleh dengan pantas tetapi tiada siapa di belakangnya.
Suasana terasa semakin berat bagai udara di sekelilingnya menjadi tebal. Zani menggenggam tombol pintu dengan kuat dan segera keluar dari tandas, nafasnya sedikit sesak.
Di luar, dia terserempak dengan Suzi yang sedang berjalan ke arah bilik rawatan.
"Abang, kenapa ni? Muka abang macam nampak hantu," tegur Suzi, nada suaranya separuh bergurau.
Zani memaksa diri untuk tersenyum kecil, cuba menutup kegelisahan yang masih bersisa.
"Tak ada apa-apa... Abang cuma penat."
Namun jauh di sudut hatinya, Zani tahu apa yang berlaku tadi bukan sekadar kebetulan.
Sesuatu yang tidak kelihatan sedang membayangi hidupnya, dan dia tidak pasti bagaimana untuk melarikan diri daripadanya.
Share this novel