BAB 13

Thriller Series 21293

"HUH! It's okay. Kalau cara penuh diplomatik tak jalan. Kan aku ada satu lagi jalan. Laila, jangan kau ingat kau dah menang. Bos... bos... terlalu lembut hati you, rupa-rupanya," ujar Maia Karina setelah botol kecil itu dia simpankan semula ke dalam tas tangan.

Yang ada di jari manisnya disapu-sapukan di belakang telinganya. Haruman berjampi itu pasti akan melemahkan Zani yang Maia amat pasti, semakin terpesona pada dirinya.

Setelah itu, gincu yang juga sudah dijampi dibuka lalu dioleskan atas bukaan bibir munggilnya itu. Bibir yang sudah tertanam dengan susuk pemanis.

Bibir tersapu gincu warna merah hati itu dikebam-kebamkan supaya sapuannya merata. Tas tangan dia sangkutkan ke bahu kanan.

Setelah memperkemaskan rambutnya yang sudah pun dilepaskan dari ikatan sanggul serta letak duduk suit office nya itu. Maia melenggang keluar.

Dari jauh setelah keluar dari dalam lif, Maia sudah nampak Zani di tepi keretanya. Dia berjalan dengan laju. Zani yang sedang ingin menunduk masuk, terdongak buat seketika lalu ternampak Maia sedang ingin ke arahnya membuatkan dia tegakkan semula tubuh dan tak jadi masuk ke dalam keretanya.

"Maia kenapa?" Soal Zani sedikit tertanya. Setahu dia, semuanya sudah dia jelaskan tadi tentang salah faham mereka pada Laila.

"Ouh, nothing. Ingatkan boss dah balik dahulu. Actually I ingat nak you dinner sekali dengan I, boleh? Alang-alang nak dekat pukul lapan kan?" Maia mengumpan pada Zani yang mulai terpaku itu.

Maia Karina semakin giat bermain hujung rambut gelombang warna perangnya itu dengan jari-jemarinya. Sesekali, pinggir bibir digigit seakan mahu menggoda.

Zani tergeleng-geleng setelah tersedar semula. Sungguh, dia sendiri pun kadang terasa hairan mengapa dua tiga hari ini, setiap kali bertemu muka dengan wanita seksi depan dia ini pasti dia merasa amat terpesona.

"Bolehla ya, boss. Alah...bukannya selalu kan? Lagipun boss pun bukannya ada isterikan..." Ujar Maia dengan selamba tangannya mengusap-usap lengan lelaki itu.

Bukannya Maia tidak tahu status Zani apa tetapi sengaja ingin bermain api. Bukan Maia Karina lah jika gentar pada cabaran.

"Sebenarnya I..."

"Alah...please...." Rayu Maia dengan memaut pula tangan lelaki itu. Hampir tidak bergerak Pak Guard sewaktu ingin memeriksa kawasan parkir bila ternampak ulah majikannya itu dengan wanita seksi.

"Sejak bila boss aku ni dah pandai main perempuan? Tahu dek Puan Mila tak ke naya?" Tegurnya terus menyuluh dari balik tiang.

"Baiklah. Kali ini saja," jawab Zani dengan cukup mudah menyerah. Maia sudah sembunyi senyuman kemenangannya. Umpan mengena!

"Nak ke mana pula tu mereka berdua?" Soal si Pak Guard tetap mahu tahu tanpa ingin bergerak melakukan pantauan.

Kereta mewah yang dipandu oleh CEO Zani terus menyusuri laluan sepi tersebut dan menuju ke arah jalan besar.

"Abang... jawablah. Dah dua malam asyik stay back ni. Betul ke?" Mila mulai berasa curiga. Sudahlah panggilan darinya langsung tidak berangkat.

Nasiblah Ika sudah tidur tidaklah nampak mamanya itu mundar-mandir kegelisahan menanti kepulangan sang papa.

"Tengok tu. Asyik engage je. Sibuk sangat ke? Call Laila pun tak berangkat. Kalau angkat memang nak tahu, busy sangat ke ofis sekarang ni..." Mila mengomel resah. Mata kejap-kejap memandang ke arah jam.

Penat mundar-mandir dengan telefon masih terpekap di telinga. Mila menghenyakkan punggungnya atas sofa dan mata terhala ke arah pintu yang memaparkan jalan raya nan gelap hanya di temani remang-remang tiang lampu jalan.

"THANK YOU sangat you sudi temankan I dinner. Drive safely ya boss," ujar Maia yang sudah keluar namun masih bertenggek lengan di jendela kereta Zani.

Zani yang keresahan dek panggilan tidak berjawab dari isterinya itu tetap mengangguk dan mengukirkan senyuman.

Zani terus saja berderas tatkala Maia berpusing tubuh untuk menuju ke arah keretanya di parkir bangunan syarikat.

"Mila, maafkan sayang. Maafkan abang," ujar Zani melajukan lagi pemanduannya di jalan raya tersebut. Dia tahu, dia sudah terlalu lewat sedangkan pagi tadi dia berkata lain pada isterinya itu.

Sementara Maia Karina pula masih lagi tersenyum. Lengan dia tongkatkan seketika di tebing jendela kereta yang terbuka. Jari bermain bibir tersenyumnya itu lalu merenung side mirror.

"Maia. Maia, good starting. Hahahaha!" Ujarnya lalu menarik kepala gear dan menekan minyak. Kereta dia pula meluncur pergi tepat sebelas setengah malam.

Dia masih lagi teringat lagi betapa terpesonanya Zani sewaktu mereka berdua makan malam tadi. Tidak sukar sebenarnya mahu menjinakkan seorang Zani.

Mila yang tertidur terus terbangun semula bila mendengar bunyi katup pintu. Dia terus merenung jam. Tepat dua belas tengah malam baru suaminya itu pulang.

Mila langsung bangun dan berdiri di depan muka pintu dengan wajah masam mencuka. Zani yang sudah pun keluar dari dalam kereta nampak isterinya itu.

"Ma..." Belum lagi Mila bersuara Zani sudah memotong dahulu. Mila memberi laluan suaminya itu bercakap dengan hati tidak berpuas hatinya.

"Abang tahu apa yang Mila nak tanya. Maafkan abang. Abang ada hal emergency. Bukan sengaja abang balik lewat dengan tak angkat call sayang. Percayalah sayang. Abang ada hal emergency. Tadi kawan abang datang ofis time nak balik tadi. Dia minta pertolongan abang. Tu yang abang terpaksa ikut dia," ujar Zani bersedia lama dengan alasan tersebut.

Mila tetap mendengar walau hati penuh tanda tanya pada kebenaran kata-kata suaminya itu tatkala hidungnya terbau satu haruman lain selain yang suaminya itu pakai.

Tapi Mila tetap mendiamkan dirinya dahulu. Dia mahu tengok sejauh mana kejujuran kata-kata Zani. Biar pun hatinya semakin banyak benih-benih prasangka terhadap Zani.

"Bagi abang masuk sayang. Abang dah melekit badan ni. Bagi abang mandi dahulu ya sayang," pinta Zani dengan lembut dan Mila memberikan laluan.

"Kawan abang yang mana? Kalau iyapun mesej sajalah sayang. Taklah sayang tertunggu-tunggu. Lauk pun dah sejuk..." Ujar Mila benar-benar tidak puas hati. Penat sajalah dia memasak banyak lauk.

Spontan Zani menggosok-gosok lehernya yang kesengalan selain salah-satu fiil, bila diri di landa serba-salah. Dia tahu salah dia tapi takkanlah dia mahu beritahu perkara sebenar.

"Sayang, please... abang tahu salah abang. Abang minta maaf sangat-sangat. Ya, memang sepatutnya abang mesej sayang tadi. Tapi sayang tahu sajalah bila berada dalam situasi macam tadi. Dengan terkejutnya lagi, menerpa macam tu datangnya kat tepi kereta abang," jelas Zani yang terpaksa berpusing tubuhnya semula mengadap Mila.

"Kawan abang tu lelaki ke?" Mila menyoal lagi. Zani mengeluh halus dia mahu naik sudah. Kenapa Mila pula giat bertanya.

Entah mengapa, bila bayangan wajah jelita dan penuh menggoda milik Maia Karina hadir. Zani spontan terasa marah pada isterinya itu.

"Dah tu, sayang fikir perempuan ke? Lelaki lah sayang. Boleh tak jangan terlalu paranoid sangat. Mila dulu takde macam ni sangat. Entah apalah yang adik awak tu hasutnya," jawab Zani suara kedengaran tegang di telinga Mila.

"Suzi, adik saya tu takde kena-mengena dalam hal ini abang. Yang abang pun nak marah pula kenapa? Salah ke Mila bertanya suami sendiri kenapa dia lewat balik. Salah?" Mila juga tidak kurang melahangnya juga.

Dia bertanya elok-elok. Di tuduh pula paranoid. Sudahlah dia penat menjadi penunggu pintu. Zani nak marah-marah pula!

"Dah tu sayang. Abang tak nak bergaduh dengan sayang atas hal kecil macam ini. Lauk tu kan boleh dipanaskan untuk esok. Tak ada salah pun kan? Abang penat ni sayang. Sayang pun naiklah. Dari kita bergaduh baik kita buat pahala malam ini..." Ujar Zani penuh makna.

Mila tahu malam ini, malam apa. Mila tetap berpaling dan menutup pintu.

'Tapi takkan kawan lelaki abang tu pakai minyak wangi perempuan? Hal apa sampai langsung tak boleh nak jawab call. Kenapa nak babitkan Suzi pula?' Mila bersoaljawab dalam hati sambil kaki melangkah tangga.

Zani kelam-kabut memadam mesej ucapan selamat malam yang Maia Karina hantar sewaktu dia melihat pergerakan tombol pintu bilik.

Setelah telefon pintar diletakkan atas meja. Zani terus menapak ke arah bilik air. Terbuka saja pintu, perkara utama dalam pandangan Mila adalah telefon pintar milik suaminya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience