MALAM di hospital semakin larut. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul dua pagi, tetapi suasana di tingkat itu tetap sunyi.
Hanya bunyi langkah perlahan jururawat yang sesekali mengisi ruang, seperti gema yang menyeramkan di tengah kesepian.
Zani duduk di kerusi panjang di luar bilik rawatan Mila. Dia memejamkan mata seketika, cuba mengumpul kekuatan selepas insiden di tandas tadi. Suzi duduk di sebelahnya tetapi tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang wajah Zani yang nampak tegang.
"Abang tak nak balik rehat kejap ke? Esok pagi boleh datang lagi," Suzi akhirnya bersuara.
Zani membuka mata, memandang adik iparnya.
"Tak apalah. Abang tunggu sini. Kalau Mila bangun, dia mesti nak abang ada," katanya ringkas, walaupun dia tahu tubuhnya sudah lama memohon untuk berehat.
Suzi memerhati Zani dengan rasa simpati. Dia tahu, abang iparnya itu cuba menunjukkan kesetiaan tetapi hati kecilnya tidak dapat menafikan rasa ragu yang mula berakar sejak kebelakangan ini.
"Kalau abang perlukan apa-apa, panggil je Suzi, ya?" Suzi bangkit perlahan.
"Suzi pergi tengok akak kejap."
Zani mengangguk.
Dia memandang Suzi hilang di sebalik pintu bilik rawatan sebelum menghela nafas panjang. Fikirannya mula melayang kembali ke tandas tadi.
“Apa sebenarnya yang jadi? Aku penat ke... atau ada benda lain?” Dia bercakap dengan dirinya sendiri, suara perlahan tetapi penuh resah.
Tiba-tiba, telefon pintarnya berbunyi. Dia meraba poketnya, mengambil telefon dengan sedikit tergesa-gesa. Nama yang terpapar di skrin membuatkan jantungnya berdegup kencang.
Maia Karina.
Zani menelan air liur, teragak-agak sebelum menjawab.
“Hello?”
“Zani...” suara Maia Karina lembut tetapi ada sesuatu dalam nada itu yang membuatkan bulu romanya berdiri.
“Kenapa kau call aku malam-malam macam ni?” Zani cuba mengawal nadanya tetapi dia tahu suaranya bergetar sedikit.
Maia Karina ketawa kecil di hujung talian.
“Nothing cuma nak pastikan you are okay. Kan tadi nampak macam stres.”Ujar suara di talian.
Zani mengetap bibir.
“Aku tak ada masa nak borak panjang. Mila tengah sakit. Jangan ganggu aku sekarang.”
Panggilan terputus sebelum suara itu, sempat membalas. Dia memandang skrin telefonnya dengan rasa tidak sedap hati.
DALAM bilik hotel yang suram, Maia Karina duduk bersila di atas lantai dengan lilin-lilin kecil yang menyala di sekelilingnya.
Dia memegang seutas benang merah yang sama, melilitkannya secara perlahan pada boneka kecil yang diperbuat daripada kain dan benang.
"Zani, kau boleh cuba lari. Tapi ingat, aku dah tanam kau dalam hidup aku. Kau milik aku," bisiknya sambil melafazkan mantera yang suaranya berdesir tetapi penuh dengan maksud gelap.
Dia mencelup jarinya ke dalam mangkuk kecil berisi minyak, menyapu sedikit pada boneka itu sambil tersenyum sinis.
"Aku akan pastikan hati kau sentiasa mencari aku, walaupun kau cuba jauhkan diri," ujarnya penuh yakin.
Di hospital, Zani mula terasa dadanya berat. Nafasnya semakin pendek dan peluh dingin mula menitik di dahinya.
Dia memegang kepala. Dia cuba menenangkan diri. Dia risau sekiranya anxiety kembali.
“Abang Zani?” Suzi muncul semula, memandangnya dengan risau.
“Abang okay tak ni? Muka abang pucat.”
Zani menggeleng perlahan, cuba memaksakan senyuman.
“Abang okay, Suzi. Jangan risau," jawab Zani tapi suara jelas nyata dia keresahan.
Tetapi Suzi tidak yakin. Dia melangkah mendekati Zani, duduk di sebelahnya.
“Abang jangan tipu Suzi. Kalau ada apa-apa, abang cakaplah.”Suzi sudah mula curiga. Dia sememangnya dah lama suspek sesuatu.
“Abang cuma penat,” Zani menjawab ringkas, matanya memandang ke lantai. Namun dalam hatinya, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Dia cuba memejamkan mata tetapi setiap kali dia menutup kelopak matanya, wajah Maia Karina muncul. Dia tersenyum dengan pandangan mata yang menggoda tetapi menyeramkan. Dia membuka mata semula, nafasnya semakin tercungap.
“Abang!” Suzi memegang bahu Zani.
“Abang betul-betul okay ke ni?”
“Suzi…” Zani berkata perlahan.
“Boleh tolong ambilkan air? Abang rasa macam nak pitam.” Suara kehilangan nafas Zani memohon.
Suzi bangun dengan segera, berlari ke arah pantri kecil di hujung koridor. Zani memejamkan mata lagi, cuba melawan perasaan tidak enak yang semakin kuat.
Tetapi kali ini, dia mendengar sesuatu. Ada suara lembut sedang memanggil menyeru-yeru namanya.
“Za...ni…”
Dia membuka mata tetapi tiada siapa di sekelilingnya. Koridor itu sunyi, hanya disinari lampu suram. Dia memandang ke kiri dan kanan tetapi tetap tiada sesiapa.
“Za...ni...”
Suara itu semakin dekat, seperti berbisik di telinganya. Dia berpaling dengan pantas tetapi tiada apa-apa.
Jantungnya berdegup kencang. Tiba-tiba, dia merasakan angin dingin meniup perlahan di belakangnya. Dia menoleh lagi, kali ini dengan lebih perlahan.
Di hujung koridor, dia melihat sesuatu. Sesuatu yang tidak jelas bentuknya tetapi cukup untuk membuatkan tubuhnya menggigil.
Bayangan itu berdiri diam, seolah-olah memerhatikannya.
Zani menggosok matanya, cuba memastikan apa yang dia lihat itu benar. Tetapi ketika dia membuka mata semula, bayangan itu sudah tiada.
“Air dah ada, bang.” Suzi muncul semula dengan sebotol air mineral, langsung memotong lamunannya.
Zani menarik nafas lega, walaupun hatinya masih berdebar. Dia mengambil botol itu, mengucapkan terima kasih sebelum meneguk air dengan tergesa-gesa.
“Abang pasti ke ni, okay?” Suzi bertanya lagi, suaranya penuh kerisauan.
“Ab… abang okay,” Zani menjawab, walaupun suaranya tidak sekuat tadi.
“Cuma penat sangat.”
Namun dalam hati Zani tahu, ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku. Sesuatu yang tidak mampu dia jelaskan dengan logik tetapi cukup untuk membuatkan dia rasa terperangkap.
Malam semakin larut tetapi hospital terasa lebih sunyi daripada sebelumnya.
Zani cuba meyakinkan dirinya bahawa semua yang terjadi hanyalah kesan daripada keletihan dan tekanan. Namun rasa berat di dadanya tidak hilang, seolah-olah sesuatu sedang memerhatikan setiap gerak-gerinya.
Dia bangkit dari tempat duduk, berjalan perlahan ke arah tingkap besar di hujung koridor. Pandangannya merenung jauh ke luar, melihat lampu-lampu jalan yang bersinar samar. Tetapi fikirannya tidak di situ.
"Abang," suara Suzi memecah lamunannya.
"Suzi rasa abang kena balik kejap, rehat. Kalau abang terus macam ni, nanti abang pula yang sakit," jelas Suzi. Dia susah hati juga.
Zani memandang Suzi, dan kali ini dia tersenyum kecil.
"Abang okay. Abang nak pastikan Mila betul-betul stabil dulu." Jawab Zani cuba mengukirkan senyuman.
"Kalau macam tu, Suzi tunggu sekali," Suzi berkata, walaupun jelas dia juga kelihatan keletihan.
Zani hanya mengangguk, tidak mahu memanjangkan perbualan. Dia kembali duduk di kerusi panjang, tetapi rasa gelisah itu semakin menghimpit.
CAHAYA lilin yang semakin malap mencipta bayang-bayang yang bergerak pada dinding.
Dia memegang boneka yang sama. Kali ini, dengan seutas benang baru berwna hitam pekat, melilit kemas pada tubuh boneka itu.
Dia memejamkan mata, bibirnya bergerak-gerak, melafazkan mantera yang kedengaran lebih perlahan tetapi tajam.
"Jiwa dan tubuh, terikat dalam genggaman ini. Selagi nafasnya masih ada. Dia akan tunduk. Dia akan ikut..."
Dia membuka matanya, senyuman puas terukir pada wajahnya.
“Zani, kau boleh cuba lari. Tapi aku tahu kau akan kembali.”
Share this novel