MILA duduk bersandar di sofa, menonton televisyen untuk menghilangkan rasa sunyi.
Suaminya Zani, masih outstation. Meninggalkan dia seorang diri di rumah. Drama komedi yang ditontonnya langsung tidak lucu malam itu, malah membuatkan dia semakin resah.
Ketika dia ingin menukar saluran, skrin televisyen tiba-tiba berkelip-kelip sebelum terus mati.
Mila mengerutkan dahi, cuba mencari alat kawalan jauh yang tadi ada di atas meja kopi. Tapi alat itu hilang entah ke mana.
Di saat itu, kedengaran bunyi ketukan perlahan pada tingkap dapur. Mila menoleh dengan pantas, hatinya berdegup kencang.
"Kucing agaknya," dia cuba berbisik pada diri sendiri tetapi bulu romanya sudah mula meremang.
Beberapa saat kemudian, lampu ruang tamu berkelip-kelip, diikuti bunyi aneh seperti nafas berat datang dari sudut bilik.
Dia berpaling namun tiada apa-apa di situ. Tapi dia tahu... dia tidak lagi keseorangan.
Mila cuba menenangkan dirinya, mengatur nafas perlahan-lahan sambil memandang sekeliling.
Dia yakin bunyi tadi hanyalah halusinasi akibat kepenatan tetapi hatinya tetap berasa tidak sedap.
Dia mencapai telefon bimbit di sebelah, cuba menghubungi Zani untuk mendengar suaranya dan merasa sedikit tenang.
Ketika dia menekan nombor Zani, telefon tiba-tiba mati sendiri seperti kehabisan bateri walaupun, dia tahu ia baru sahaja dicas penuh.
Mila menggenggam telefon itu erat, kini perasaan takut mula menguasai.
Tiba-tiba, bunyi televisyen kembali hidup dengan sendiri tetapi kali ini, bukan rancangan yang dia tonton tadi. Skrin hanya memaparkan saluran kosong dengan bunyi statik yang berdengung kuat.
Dalam kekeliruan, Mila cuba memadamkan televisyen menggunakan alat kawalan jauh yang tiba-tiba muncul kembali di atas meja.
Namun sebelum dia sempat menekan butang, bayang-bayang gelap melintas di tepi dinding, bergerak pantas ke arah dapur.
Mila terdiam. Tatapan pegunnya terbeliak memandang ke arah itu.
"Siapa di sana?" dia cuba bersuara tetapi suaranya tersekat. Tidak ada jawapan. Hanya sunyi yang semakin menekan jiwa.
Mila menelan liur, pandangannya tidak lepas dari arah dapur yang kini kelihatan semakin gelap. Dia cuba meyakinkan diri, mungkin cuma bayang-bayang dari luar.
Tetapi langkah kakinya terasa berat apabila dia bangun untuk memeriksa.
“Bertenang, Mila... jangan fikir bukan-bukan,” dia berbisik perlahan, memaut erat tepi sofa.
Dia berjalan perlahan menuju dapur, setiap derap kaki terasa gema dalam rumah yang sepi.
Ada bau bunga kemboja yang samar mula menyapa hidungnya, cukup untuk membuatkan bulu tengkuknya berdiri tegak.
Sampai sahaja di pintu dapur, dia melihat sesuatu yang membuatkan jantungnya hampir terhenti.
Pintu peti sejuk terbuka sendiri, perlahan-lahan seperti disentuh oleh tangan yang tidak kelihatan.
Di dalamnya, tiada makanan yang biasa hanya beberapa kuntum bunga kemboja putih tersusun rapi di rak.
Mila terkaku, langkahnya mundur tanpa sedar.
Sebelum sempat dia berbuat apa-apa, bunyi ketukan kembali kedengaran, kali ini di pintu belakang.
Ketukan itu semakin kuat, seolah-olah 'ada' yang ingin masuk. Di celah-celah bunyi ketukan, suara perempuan berbisik sayup-sayup...
"Mila... aku datang..."
Tubuh Mila menggigil. Dia tahu, apa sahaja yang ada di luar pintu itu, bukan manusia.
Dengan tangan yang sedikit menggigil, Mila mencari kekuatan di dalam dirinya.
Dia ingat kembali apa yang ibubapanya selalu ajar, untuk tidak membiarkan ketakutan menguasai.
Perlahan-lahan dia mengangkat tangan, membuka telefon pintarnya dan mencari aplikasi bacaan online yang selalu menenangkan hatinya.
Dengan suara bergetar, dia mula membaca Ayat Kursi perlahan tapi penuh penghayatan.
Setiap perkataan yang diucapkan terasa memberikan sedikit rasa aman dalam dirinya.
Tetapi ketika dia menyebut "A'udhu billahi minash-shaytaan ir-rajim..."
Tiba-tiba, angin sejuk berhembus begitu kuat dari arah pintu belakang, membuatkan lilin wangi sentiasa ada itu, hampir terpadam.
Tanpa menunggu lagi, Mila melangkah maju dan mula membaca surah Al-Ikhlas diikuti dengan surah Al-Falaq dan An-Naas.
Suara lirihnya memecah keheningan. Ketika dia menyelesaikan bacaan terakhir, rasa berat di dada sedikit berkurang namun ketukan di pintu belakang masih berlanjutan, kini lebih cepat dan keras seperti sedang menanti sesuatu.
Tiba-tiba, sebuah suara bergema tidak jelas, namun cukup untuk membuatkan tubuh Mila terkejut.
"Aku bukan apa-apa, Mila... aku hanya mahu dia..."
Mila tercegat di tempat yang sama dengan bibir terketar-ketar.
Dia tahu, yang datang bukanlah makhluk yang dia kenal. Dengan tekad, dia terus membaca ayat-ayat terakhir itu, berharap agar Allah melindunginya.
ZANI duduk bersandar di kerusi hotel, matanya masih memandang telefon yang terletak di atas meja.
Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi Mila, tetapi panggilannya tidak dijawab. Walaupun kawasan ini ada sambungan yang baik, dia sedikit gelisah mengenangkan isteri dan anaknya itu.
"Mila pasti baik-baik saja," Zani berbisik pada dirinya sendiri.
Dia tahu isterinya cukup kuat untuk menguruskan dirinya, apatah lagi dengan keperibadiannya yang tegas. Walau begitu, ada rasa pelik yang menghinggapinya.
Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan fikiran.
"Mungkin dia tengah sibuk atau tak perasan panggilan aku. Tak ada apa yang perlu dirisaukan," Zani cuba meyakinkan diri.
Namun tetap ada perasaan tidak enak yang menyelinap, tapi dia cepat-cepat menepisnya.
"Tak perlu panik. Mila tahu apa yang dia buat. Dia selalu tahu macam mana nak handle segala-galanya." Dengan senyuman kecil, Zani kembali meletakkan telefon dan cuba untuk fokus pada kerja yang masih belum selesai.
MILA berdiri kaku di ruang tamu, hatinya berdegup kencang. Suara ketukan yang datang dari pintu belakang kini semakin kuat, seperti ada yang menunggu untuk masuk.
Bunyi itu berulang kali, seakan-akan memanggilnya. Dalam hati, dia berdoa agar suara itu hilang namun setiap detik terasa lebih menakutkan.
Tiba-tiba, suara itu berubah. Dari ketukan pintu, ia menjadi suara bisikan lembut yang datang dari sudut bilik.
"Mila… aku tahu kamu ada di sini..." Suara itu bergema, meresap ke dalam dinding rumah seperti ia berasal dari setiap penjuru.
Mila menggigil, tubuhnya tidak mampu bergerak.
"Siapa?" suaranya serak, cuba bertanya walau tanpa keyakinan. Tapi tiada jawapan. Hanya bisikan yang semakin jelas, semakin mendekat.
Di luar tingkap, bayang-bayang bergerak pantas, menembus cahaya bulan yang samar. Mila memandang ke arah tingkap, matanya membulat.
Sesuatu seolah-olah melintas, seakan-akan menyentuh kaca. Hati Mila semakin kacau, namun dia tahu, dia tidak boleh lari.
Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba untuk menenangkan diri. Dengan suara yang agak serak, dia mula mengulang ayat-ayat Al-Qur'an yang selalu dia baca ketika perasaan takut datang.
"Bismillah…"
Dia mengucap perlahan, berharap agar perlindungan Tuhan mengalir melalui setiap kata.
"Kamu tak boleh lari, Mila..." Kini, suara itu seakan berbicara langsung dalam fikiran menambahkan lagi, rasa takut yang melanda.
Namun Mila tahu, dia harus bertahan. Dia tidak boleh biarkan rasa takut menguasai diri.
Dengan tekad, dia terus membaca berharap agar kekuatan ayat-ayat suci itu, dapat mengusir gangguan yang semakin mengerikan.
'Mila... ingat kau kuat. Allah Maha kuat! Kau haru s lawan. Kau jangan terlalu nak ikut perasaan takut kau tu...' Hati cuba menutur semangat.
Share this novel