BAB 17

Thriller Series 21293

SUASANA di ruang tamu kecil itu sunyi, hanya bunyi jam dinding berdetik perlahan. Mila duduk di sofa dengan wajah kusut, matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis.

Suzi duduk di sebelah, memandang kakaknya dengan rasa simpati yang mendalam. Suzi sudah mendengar segalanya. Tentang apa yang Mila lihat di lobi pejabat Zani.

“Kak… jangan macam ni. Kakak kena kuat. Kalau kakak terus biarkan diri kakak macam ni, Zani menang. Perempuan tu menang.” Suara lembut Suzi memecah hening.

Mila mengangkat wajahnya, matanya yang merah memandang Suzi. Air matanya hampir menitis lagi, tetapi dia cepat-cepat mengesatnya.

“Macam mana akak nak kuat, Suzi? Akak nampak dengan mata kepala akak, sendiri. Abang Zani… dengan perempuan tu. Ketawa… berbual mesra. Siapa akak ni pada dia? Kalaulah akak hilang, agaknya dia peduli ke?”

Suzi menggenggam tangan kakaknya erat-erat, cuba memindahkan sedikit kekuatan kepadanya.

“Kak, jangan cakap macam tu. Kakak lebih daripada cukup. Kalau Abang Zani tak nampak semua pengorbanan kakak selama ni, itu salah dia. Itu kelemahan dia. Bukan kakak.” Suzi bertegas.

Mila memandang Suzi lama-lama, seolah-olah cuba mencari kekuatan dalam kata-kata adiknya itu.

“Akak takut, Suzi. Akak takut kalau akak kehilangan dia… hidup akak tak ada makna.”

Suzi menarik nafas panjang sebelum membalas, kali ini lebih serius.

“Kak, hidup kakak tak pernah bergantung pada Abang Zani, semata. Kakak ada diri kakak sendiri. Kakak ada keluarga. Kakak ada adik. Kalaulah Abang Zani tu, betul-betul curang...itu bukan pengakhiran untuk kakak. Itu cuma petunjuk yang Allah nak, kakak buka mata...mungkin ada sesuatu yang lebih baik menanti.”

“Akak cintakan dia, Suzi. Aku dah bagi segalanya…” Jawab suara tak terdaya, Mila benar-benar luluh hatinya.

Suzi memegang kedua-dua bahu Mila, memaksanya memandang tepat ke matanya.

“Akak! Dengar sini. Cinta pada orang lain itu, tak salah. Tapi jangan sampai kakak lupa untuk cintakan diri sendiri. Kalau Abang Zani betul-betul buat kakak macam ni, dia tak layak pun dapat cinta kakak. Kakak layak dapat lebih dari ni. Kakak faham tak?”

Mila terkedu mendengar kata-kata Suzi. Hatinya masih sakit tetapi jauh di sudut hati, ada sedikit rasa lega. Suzi sentiasa ada untuknya seperti tembok yang menahannya, daripada jatuh terlalu dalam.

“Kak, apa pun yang jadi… kita cari jalan sama-sama. Kakak tak perlu hadap ni seorang diri. Kalau kakak rasa nak marah, nak menangis, buatlah. Tapi jangan sekali-kali biarkan Abang Zani atau perempuan tu hancurkan hidup kakak. Jangan bagi mereka kuasa tu.” Ujar Suzi sambil meramas jemari si kakak.

Mila akhirnya bersandar di sofa, air matanya mengalir perlahan tetapi tangisannya mula reda. Kata-kata Suzi meresap dalam dirinya, memberi sedikit kekuatan untuk berdiri semula.

“Terima kasih, dik. Kalau kau tak ada, akak... akak tak tahu apa jadi dekat.”

“Adik sentiasa ada, kak. Sampai bila-bila. Kakak, takkan pernah bersendirian.” Sahut Suzi memegang kedua belah bahu, Mila yang sudah melepaskan tudungnya buat seketika itu.

Malam itu berlalu perlahan-lahan dengan Mila akhirnya mula sedar bahawa dia tidak sendirian dalam ujian ini.

Suzi tetap di sisinya, menjadi penguat untuk dia bangkit semula. Di luar, angin malam berhembus lembut, seolah-olah memberi harapan baru kepada seorang isteri yang sedang belajar mencintai dirinya semula.

Di ruang tamu rumah Mila, malam yang sama setelah Suzi menghantar pulang...

Lampu kecil di ruang tamu menerangi suasana sepi. Jam dinding berdetik perlahan, menambah keheningan yang terasa menyakitkan.

Mila duduk sendirian di sofa, pandangannya kosong ke arah pintu rumah yang masih tertutup rapat. Di hadapannya, cawan berisi teh sudah lama sejuk, dibiarkan begitu sahaja.

Dia menggenggam kedua-dua tangannya, cuba menenangkan debaran di dada tetapi hatinya terasa begitu berat. Nafasnya turun naik, matanya mulai berkaca.

“Zani… di mana abang sebenarnya? Apa salah Mila, bang... sampai tergamak buat macam ni?” Bicaranya bersama sendu.

Dia tunduk memandang jari jemarinya yang menggigil halus. Suara hatinya semakin kuat dan akhirnya dia meluahkan segalanya, seolah-olah berharap dinding-dinding rumah itu memahami perasaannya.

'Aku tak minta banyak pun, Zani… cuma kau jadi suami yang setia. Cukup kau ada untuk aku… cukup kau sayang aku macam dulu. Tapi kenapa sekarang semuanya terasa jauh? Aku rindu, Zani… aku rindu lelaki yang pernah janji nak bahagiakan aku seumur hidup.' Batin mengharap. Jiwa remuk.

Mila menyeka air mata yang mula menitis di pipi. Suara bergetar tetapi dia terus bercakap, seolah-olah memaksa dirinya melepaskan beban di hati.

“Dulu abang cakap, Mila isteri sempurna. Mila lah dunia, abang. Tapi sekarang? Siapa Mila ni, bang? Hanya seseorang yang di tinggalkan macam ni?”

Dia memandang pintu rumah seperti mengharapkan Zani akan muncul pada bila-bila masa, memberikan jawapan yang diinginkannya.

Tetapi yang kedengaran, hanyalah bunyi angin dari luar tingkap. Suasana sunyi itu membuatkan hatinya semakin terluka.

“Mila tahu, bang... Mila tak boleh jadi sempurna macam dulu tapi Mila cuba, bang. Mila cuba jadi isteri yang abang mahu… jadi perempuan, yang di perlukan. Tapi... kalau betul ada orang lain dalam hidup, abang. Kalau betul hati, abang dah berubah… kenapa biarkan Mila tertanya-tanya begini?” Soal Mila sambil memejamkan matanya saat bulir-bulir bening itu ingin turun kembali.

Mila bangun perlahan. Dia berjalan ke arah tingkap, memandang ke luar dalam kegelapan malam. Matanya kabur dengan air mata yang terus mengalir.

'Kau tahu tak, Zani… apa yang paling sakit? Bila kau mula rasa diri kau tak cukup… tak layak. Bila kau mula percaya, kau bukan lagi pilihan seseorang yang kau sayang.' Mila berdesis dan air bening itu tetap mengalir lesu di lekuk pipi.

Dia menarik nafas panjang, cuba menahan tangis yang mahu pecah lagi. Suasana malam itu semakin sunyi. Hanya kedengaran bunyi kenderaan jauh di luar.

“Kalau abang dah tak sayang Mila lagi, kalau perempuan tu lebih penting bagi kau… lepaskan saja Mila, bang... Mila... Mila redha. Jangan siksa begini.” Mila hampir mahu menyerah.

Mila akhirnya kembali duduk di sofa, memeluk lututnya sendiri. Tangisannya semakin reda, hanya tinggal sedu kecil yang memenuhi ruang tamu yang kosong.

“Tapi kalau kau balik malam ni… walau apa pun kebenarannya… aku janji aku akan dengar, Zani. Aku cuma nak tahu… aku ni siapa pada kau sekarang?” Mila berkata dengan nekad sambil memandang ke arah pintu.

Jam dinding terus berdetik, jarum jam menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Tetapi pintu rumah masih tidak terbuka. Mila membiarkan dirinya larut dalam kesunyian itu, sambil memejamkan mata, berharap malam itu akan segera berlalu.

Di luar, bulan kelihatan samar di langit seolah-olah menyaksikan seorang isteri yang terluka, yang masih setia menunggu kepulangan suami yang entah di mana.

ZANI menghela nafas panjang, matanya fokus ke jalan raya yang gelap diterangi lampu jalan.

"Kerja makin banyak. Setiap hari rasa macam tak cukup masa nak selesaikan semua. Tapi... ini syarikat aku. Kalau aku tak jaga, siapa lagi?"

Dia mengetap bibir, cuba menepis rasa bersalah yang mulai menyelinap.

"Mila mesti dah mula syak. Balik lewat tiap-tiap malam, alasan kerja pun dah tak boleh pakai lama. Tapi apa pilihan aku? Kalau aku tak stay back, projek besar tu boleh terlepas. Kalau aku gagal, semua orang akan nampak aku tak layak jadi CEO."

Tangannya menggenggam stereng dengan kuat, fikirannya bersimpang-siur.

"Tapi apa harga kejayaan ni? Masa aku dengan Mila makin hilang. Rumah sendiri rasa macam hotel. Adakah aku korbankan benda yang lebih penting... untuk benda yang aku sendiri tak pasti?" Zani tertanya sendiri.

Dia menggeleng perlahan, cuba mengusir keresahan yang semakin menghimpit.

"Aku buat semua ni untuk masa depan. Tapi... kenapa aku rasa makin kosong?" Dia pertikaikan pula.

Zani memandang kosong ke hadapan, stereng di tangannya terasa berat. Tiba-tiba, seakan tanpa kawalan wajah Maia Karina melintas di fikirannya.

Senyumannya yang penuh misteri, mata galak yang menikam dan suara lembut yang memanggil namanya. Semuanya terasa nyata, seperti Maia sedang berada di sebelahnya.

Dia dapat bayangkan sentuhan lembut Maia di tangannya, bau wangian yang selalu dipakai wanita itu amat memikat, menggoda dan berbahaya.

Wajah itu menghantui, menghiasi setiap ruang fikirannya. Bibir Maia yang melengkung perlahan dengan senyuman penuh teka-teki bagaikan tahu kelemahannya.

"Kau tak akan dapat lari dariku, Zani." Bagai terdengar pula bibir seksi itu bersuara.

Sebuah hon panjang dari kenderaan belakang menyedarkan Zani. Dia tersentak, menyedari keretanya hampir melanggar garisan jalan. Nafasnya tercungap, tangan kembali menggenggam stereng dengan erat.

'Apa aku buat ni? Kenapa bayangan dia tak pernah pergi?' Bisik hatinya.

Maia Karina bukan sekadar bayangan. Dia adalah mimpi indah dan igauan ngeri yang akan terus membelenggu hidupnya tanpa dia sedari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience